Sunday, March 16, 2014

TIKET UNTUK KE SYURGA

Amalan Untuk Memasuki Syurga

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Untuk mendapatkan sesuatu yang berharga ianya perlu dibayar dengan harga yang tinggi. Semakin tinggi nilai sesuatu barang maka semakin tinggi pula bayaran yang perlu dibayar. Begitu juga dengan syurga yang disediakan oleh Allah SWT dihari akhirat nanti. Perlu ada beberapa syarat dan peraturan yang perlu dipenuhi oleh manusia sebelum mereka dikurniakan kenikmatan yang tiada tolok bandingnya itu.

Dari hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. berkata, "Rasulullah SAW. ditanya tentang (amalan) yang paling banyak memasukkan orang ke dalam syurga. Baginda menjawab, 'Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik (husnul khuluq).' Baginda ditanya tentang hal yang banyak memasukkan orang ke neraka. Baginda menjawab, 'Mulut dan kemaluan'." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Dari hadis diatas telah jelas kepada kita bahawa orang yang bertakwa (muttaqiin) dan akhlak yang baik adalah ciri utama yang boleh membawa jalan ke syurga. Orang muttaqiin adalah mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi disisi Allah SWT. Apakah sifat-sifat orang muttaqiin yang mempunyai kedudukan yang mulia disisi Allah SWT? Sifat-sifatnya adalah seperti berikut :

1. Merasa takut kepada Allah SWT dalam keadaan sembunyi-sembunyi atau terang-terangan. Sentiasa berhati-hati didalam kehidupan ini, takut kalau-kalau ada perkataan atau perbuatannya yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Model kehidupannya adalah bersumberkan Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW.

2. Mempunyai perasaan malu kepada Allah SWT. dan pada makhluk untuk melakukan maksiat.

3. Jika ia terlanjur berbuat maksiat kerana lupa atau jahil, tubuhnya bergoncang, yang kegoncangannya itu boleh dirasakan benar oleh manisnya bertaqarrub kepada Allah SWT, lantas mengucapkan 'Astaghfirullah...astaghfirullah'. akhirnya ia berdoa , 'Hamba mohon ampun, hamba bertaubat kepada-Mu, wahai Zat Yang Maha Penyayang. Hamba menyesal. Hamba berhasrat tidak kembali pada kemaksiatan lagi untuk kedua kalinya.'

4. Sentiasa jujur dalam perkataan, selalu ikhlas dalam amalannya. Jika hendak tidur, ia berzikir kepada Allah SWT, sehingga nilai tidurnya mengharap reda Allah SWT. Jika bangun, ia juga berzikir kepada-Nya sehingga bangunnya diselimuti oleh rahmat dan pertolongan Allah SWT.

5. Para muttaqin adalah ahli ihsan, kebaikan, cergas dan mempunyai perasaan belas kasihan. Ia tahu, mendengar dan sentiasa beramal diladang ketaatan dan ketauhidan, ladang bagi insan yang takut dan mencintai Allah.

6. Hatinya luhur, jiwanya murni dan kasih dan sayang sesama mukmin dan tidak mementingkan dirinya sendiri. Sentiasa mencari reda Allah SWT dan menjauhi kemurkaan Allah SWT .

Sahabat yang dimuliakan,

Akhlak yang baik sebenarnya datang dari hati yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Akhlak yang baik adalah natijah daripada jiwa yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Akhlak yang lahir bukan dari dorongan dalaman (iman dan takwa) ianya tidak diikhtiraf oleh Allah SWT. kerana ianya mungkin lahir kerana mengikut adat resam atau malu pada manusia. Contohnya memakai pakaian menutup aurat hanya ketika ada program agama atau ada urusan kematian, sedangkan pada masa yang lain masih membuka aurat.

Akhlak yang baik adalah salah satu maqam mulia daripada maqam-maqam takwa. Tidak mungkin kita menjumpai orang bertakwa dengan akhlak yang buruk. Amat sesuailah Rasulullah SAW. mengisyaratkan bahawa yang banyak masuk syurga adalah takwa kepada Allah SWT dan akhlak yang terpuji.

Jika seorang hamba tidak bertakwa kepada Allah SWT, ia akan merampas hak orang lain, mencuri, berbuat zalim, membunuh, merusak dibumi dan tidak punya perasaan malu, memakan harta anak yatim serta membela syahwatnya. Dengan sendirinya ia jatuh dalam lembah kemaksiatan dan dosa.

Rasulullah SAW. menjelaskan juga ramai dari ahli neraka adalah terdiri daripada mereka yang tidak menjaga mulutnya (mengumpat, memfitnah, berdusta, berbohong, mungkir janji, batu api, menyakiti hati orang lain, maki hamun, sumpah palsu dan menentang hukum-hukum Allah) dan tidak menjaga kemaluannya. Lidah memang tidak bertulang tetapi jika disalah gunakan boleh mendatangkan bencana yang besar didalam masyarakat begitu juga dengan kemaluan seseorang. Jika seseorang tidak menjaga kemaluan iaitu mereka yang berzina, liwath, lesbian dan onani. Kesemua perbuatan tersebut akan menjerumuskan pelaku-pelakunya ke dalam neraka jika tidak bertaubat kepada Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita memperbaiki akhlak dan keperibadian kita dan beramal dengan amalan yag baik dan ikhlas semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Syurga yang penuh nikmat hanya akan dapat masuki dan dinikmati oleh mereka yang dirahmati dan dikasihi oleh Allah SWT.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML