Sunday, March 16, 2014

PENGHUNI SYURGA

Tiga Golongan Yang Layak Memasuki Syurga

 Sahabat yang dimuliakan,

Untuk menghuni Syurga Allah, al-Quran menerangkan ciri-ciri hamba-Nya yang layak terdiri daripada orang beriman lagi bertaqwa :

Pertama ialah mereka yang menjauhi penyembahan berhala iaitu menjauhkan diri daripada mensyirikkan Allah yang boleh menyebabkan seseorang menjadi murtad dan orang yang mendengar arahan Allah dengan mengikutnya melakukan kebaikan, menjauhi larangan-Nya.

Dengan melakukan kebaikan dan menjauhi larangan Allah, jelaslah mereka itulah orang yang bertaqwa. Firman Allah yang bermaksud:

"Bagi mereka yang menjauhi penyembahan berhala dan kembali mentaati kepada Allah, tersedia khabar gembira. Beritakanlah khabar gembira itu kepada hamba-Ku yang mahu mendengarkan kata-kata (yang hakikatnya dari Allah) lalu mereka mengikuti kata-kata yang terbaik. Mereka itulah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.”
(Surah al-Zumar, ayat 17-18)

Kedua ialah orang yang beriman dan beramal soleh dengan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Ini dijelaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai hamba-Ku yang salih, tidak ada rasa takut pada diri kalian di hari ini (hari Kiamat) dan tidak pula kalian rasa sedih. Mereka itulah orang yang beriman kepada tanda kebesaran kami dan mereka yang Islam (menyerah diri kepada Allah).”
(Surah al-Zukhruf, ayat 68-69)

Dalam ayat ini Allah menjelaskan sifat hambanya yang beriman iaitu mereka yang rasa takut pada hari kiamat dan tidak pula berasa sedih untuk meninggalkan dunia kerana mereka adalah orang yang tunduk patuh kepada peraturan Allah di atas muka bumi semasa hayatnya.

Ketiga ialah orang Islam. Sesungguhnya Syurga itu adalah tempat orang naik saksi bahawa tiada Tuhan berhak disembah melainkan-Nya dan mengakui Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah hamba dan utusan-Nya.

Apabila orang yang sudah mengakui syahadah, walaupun sebelum itu mereka berada dalam kekufuran akan dimasukkan Allah ke dalam Syurga-Nya kerana ia adalah tempat kembali bagi orang yang sudah memeluk agama Islam.

Ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Aku. Rahmat-Ku sudah mendahului kemurkaan-Ku. Barang sesiapa yang naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah hamba dan utusan-Nya, nescaya ia berhak mendapat Syurga.”
(Hadis diriwayatkan al-Daimali)

Inilah tiga ciri-ciri manusia yang akan menjadi penghuni Syurga kelak. Sesungguhnya beruntunglah mereka yang akan menjejakkan kaki ke sana kerana ia adalah tempat yang tidak ada bandingnya dengan tempat dilihat manusia di atas muka bumi ini.

Tujuh Ciri-ciri Penghuni Syurga Firdaus

Sahabat yang dirahmati Allah,
Syurga adalah tempat balasan yang disediakan oleh Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, bertakwa dan mengerjakan amal soleh. Setiap amal ibadah, amal soleh dan kerja-kerja kebajikan yang kita kerjakan hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. bukanlah mengharapkan ganjarannya. Ganjaran atau pahala memang telah disediakan oleh Allah s.w.t. tetapi sebagai hamba yang merendahkan diri kepada-Nya dengan rasa khusyuk semua amalan yang dilakukan hanya semata-mata mengharapkan redha dan rahmat-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,
Manusia akan memperoleh ganjaran setimpal berdasarkan usaha atau amalan dilakukannya baik perkara kecil atau besar yang tergolong dalam perbuatan yang baik dan buruk.

Allah berfirman yang bermaksud: “Barang siapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya).”
(Surah al-Zalzalah, ayat 7-8) .

Setiap apa yang dilakukan memberi kesan kepada diri manusia itu dan mereka yang beriman dan bertakwa pastinya berusaha melakukan lebih banyak perbuatan baik.

Orang Mukmin yang taat adalah golongan yang mendapat kemuliaan dan kasih sayang Allah dan dijanjikan sebagai penghuni Syurga bernama Firdaus yang kekal di dalamnya. Firdaus adalah nama Syurga yang pertama (paling atas sekali). Tujuh ciri-ciri dimiliki golongan ini yang di dinyatakan Allah s.w.t.di dalam al-Qur'an Surah al-Mukminun, ayat 1 hingga 11.

Tujuh ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Khusyuk dalam menunaikan solat.
Insan yang Mukmin mampu melaksanakan solat dengan khusyuk sesuai dengan keteguhan dan kemantapan iman dimilikinya. Pengertian khusyuk mencakupi seseorang itu memahami apa yang dibaca dan dilakukannya dalam solat.

Menurut Imam al-Ghazali, dalam khusyuk itu juga harus ada rasa takut kepada Allah. Solat yang dikerjakan dengan khusyuk adalah syarat pertama untuk mewarisi syurga Firdaus.

Kedua : Memelihara diri daripada perbuatan yang tiada berguna.
Seseorang yang benar-benar Mukmin tidak akan membiarkan masa berlalu dengan tidak melakukan perkara berfaedah. Ia akan menggunakan sepenuh masa yang ada untuk mencari keredhaan Allah. Masa adalah kehidupan tidak berlalu masa itu melainkan telah habis sebahagiaan daripada kehidupannya. Oleh itu setiap saat masa berlalu akan dipenuhi dengan amal soleh dan kebaikan kerana setiap sesuatu itu akan ditanya oleh Allah s.w.t dihari akhirat nanti.

Ketiga : Menunaikan zakat.
Seorang Muslim sejati akan rela dengan ikhlas menunaikan kewajipan zakatnya tanpa wujud paksaan, lantaran sedar bahawa hartanya sudah memenuhi syarat untuk berzakat.

Selain itu, dia sedar bahawa pada harta miliknya itu ada hak orang lain yang harus diberikan, terutama hak fakir miskin. Hartanya yang sebenar hanyalah harta yang tinggal selepas dikeluarkan zakatnya.

Keempat : Memelihara kehormatan
Orang Mukmin berjaya akan menghindarkan diri daripada melakukan penyimpangan dalam hal seksual dan tidak mendekati zina. Dia tidak akan berlaku serong dan hanya menyalurkan keinginan syahwat (persetubuhan) melalui jalan halal dengan pasangan sah sahaja.

Kelima : Melaksanakan amanah.
Seseorang Mukmin yang diberi kepercayaan akan menunaikannya dengan baik kerana kepercayaan itu adalah penghormatan paling berharga baginya.

Keenam : Memenuhi janji.
Islam mengajar bahawa setiap janji mesti ditunaikan kerana janji itu ibarat hutang. Lantaran itu ia perlu dibayar. Segala sesuatu yang dijanjikan perlu dipenuhi kerana yang demikian adalah ciri Mukmin berjaya.

Ketujuh : Memelihara solat.
Solat pada pandangan Mukmin sejati paling penting. Jadi, solat mereka cukup terpelihara, sehingga dapat dilaksanakan dengan begitu baik lagi sempurna. Waktu solat dijaga dengan baik seperti solat pada awal waktu. Begitu juga dengan rukun dan pelbagai syarat lainnya yang mana semuanya itu sangat diberi perhatian.

Sahabat yang dihormati,
Sekirannya kita dapat melaksanakan tujuk ciri-ciri di atas dengan ikhlas, sabar dan istiqamah, insya Allah Syurga Firdaus akan dikurnaikan oleh Allah s.w.t. sebagaimana janji Allah di dalam Surah al-Mukminun ayat 1 hingga 11.

Jawapan Nabi s.a.w Mengenai Hari Akhirat

Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. bertanya kepada baginda tentang hari akhirat.

1. Makanan yang menjadi hidangan pertama kali penghuni Syurga :

Diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda ditanya,"Makanan apakah yang menjadi hidangan pertama kali penghuni Syurga?" Baginda menjawab, "Hati ikan." Ditanya kembali. "Kemudian apa lagi setelah itu?" Baginda menjawab,"Bagi mereka disembelihkan sapi Syurga yang biasa makan di tepian Syurga." Kemudian baginda ditanya lagi, "Apakah minuman mereka?" Maka, baginda menjawab, "Dari mata air Syurga yang bernama Salsabila."
(Hadis Riwayat Muslim).

2. Ketika manusia bertemu Allah s.w.t. di hari akhirat :

Diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda ditanya, "Apakah yang diperbuat oleh Tuhan kita ketika kita menemui-Nya? Baginda menjawab," Kalian dihidupkan di sisi-Nya, lembaran-lembaran jalan hidup kalian ditampakkan dihadapan-Nya, tidak ada hal sekecil apa pun yang tersembunyi di balik hati kalian. Demi Allah, Tuhan kalian tidak pernah salah sedikitpun dalam menghisab amal kalian. Seorang Muslim mukanya berseri-seri laksana kain yang putih bersih, adapun seorang kafir dihancur-leburkan seperti arang yang berwarna hitam pekat."
(Hadis Riwayat Ahmad).

3. Mata air yang mengalir di Syurga :

Rasulullah s.a.w. ditanya, seperti apakah mata air yang mengalir di Syurga? Maka, baginda menjawab," Mata air dari madu yang murni, sungai-sungai dari khamar (arak) yang tidak menyebabkan mabuk dan penyesalan, sungai-sunagai dari susu yang tidak berubah rasanya, air jernih yang belum berubah dan buah-buahan. Demi Allah, kalian tidak pernah melihat kenikmatan ini di dunia dan tidak ada sedikitpun yang serupa dengannya."
(Hadis Riwayat Ahmad).

4. Isteri-isteri di Syurga :

"Adakah kita akan mempunyai isteri di Syurga?" Maka, baginda menjawab, " Orang-orang yang soleh akan dinikahkan dengan wanita-wanita yang solehah. Kalian akan merasakan kenikmatan sebagaimana isteri-isteri kalian juga akan merasakan kenikmatan waktu di dunia. Perbedzaannya, hubungan intim di Syurga tidak menyebabkan kehamilan."
(Hadis Riwayat Ahmad)

5. Hubungan badan dengan isteri-isteri di Syurga :

"Apakah kita berhubungan badan dengan isteri-isteri kita di Syurga? Maka, baginda menjawab, "Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, seorang lelaki mampu berhubungan badan dengan seratus bidadari pada satu pagi." (Imam Hafidz Abu Abdullah al-Maqdisi mengatakan bahawa perawi hadis ini adalah sahih).

"Apakah ada hubungan badan di Syurga?" Maka, baginda menjawab, "Ya, demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya. Apabila ia telah berdiri dari isteri-isteri-Nya (telah selesai dari hubungan badan), mereka kembali perawan seperti semula." (perawi hadis ini adalah sahih dengan syarat Ibnu Hibban)

6. Makna kata "al-Kautsar."

Diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda ditanya tentang makna kata "al-Kautsar". Maka , baginda menjawab, "Al-Kautsar adalah sebuah sungai yang dianugerahkan oleh Allah kepadaku di Syurga. Lebih putih dari susu, lebih manis dari madu, terdapat burung yang lehernya seperti leher unta." Para sahabat bertanya, "Alangkah nikmatnya wahai Rasulullah! Maka, baginda bersabda,"Yang memakannya lebih merasakan nikmatnya berbanding yang sekadar mendengar saja."

7. Wanita yang pernah berkahwin lebih dari satu suami di dunia :

Diriwayatkan dari Rasulullah bahawa baginda ditanya , "Seorang wanita yang telah menikah dengan lebih dari dua atau tiga laki-laki, bersama siapakah ia tinggal di antara mereka di Syurga?" Maka, baginda menjawab, "Ia akan memilih yang paling mulia akhlaknya."

8. Penghuni Syurga saling menikah :

"Apakah penghuni Syurga saling menikah?" Maka, baginda menjawab, "Nafsu syahwat mereka tidak pernah putus dan kemaluan mereka tidak pernah lemas serta dorongan seksual mereka sangat kuat sekali."

9. Hubungan dengan isteri :

"Apakah penghuni Syurga juga berhubungan badan dengan isteri-isteri mereka?" Maka, baginda menjawab, " Sangat kuat dorongan seksualnya, tetapi mereka tidak mengeluarkan mani dan juga isterinya."

10. Penghuni Syurga tidak tidur.

"Apakah penghuni Syurga itu tidur?" Maka, baginda menjawab, "Tidur itu bererti mati, penghuni Syurga tidak pernah tidur,"

11. Di Syurga ada kuda dari permata :

"Apakah di Syurga ada kuda?" Maka, baginda menjawab, "Apabila masuk Syurga, kalian disiapkan seekor kuda tunggangan dari permata, yang mempunyai dua sayap, membawa terbang kemanapun kalian kehendaki di Syurga."

12. Wanita dunia lebih mulia dari bidadari :

"Apakah wanita dunia lebih utama dari bidadari yang bermata jelita?" Maka, baginda menjawab, "Wanita dunia adalah lebih mulia dari bidadari seperti keutamaan sesuatu yang nampak dari hal yang tersembunyi."

Lalu ia bertanya kepada Nabi s.a.w, "Hai Rasulullah, apakah yang menjadikannya demikian?" Baginda menjawab, "Kerana solat, puasa, dan ibadah mereka kepada Allah. Maka Allah menghiaskan cahaya di muka mereka dan membalutkan kain sutra pada tubuh mereka. Mereka berkulit putih, berpakaian hijau, perhiasannya kuning, pedupan mereka dari permata dan sisir mereka dari emas. Mereka seraya berkata, "Kita tinggal di Syurga selama-lamanya tidak pernah akan mati, menyelam dalam lautan kenikmatan tidak pernah mendapatkan musibah, dan kami menetap tidak pernah pindah selamanya, kami rela dan tidak pernah benci selamanya. Maka beruntunglah orang yang memiliki kami dan menjadi milik kami."

Kemudian ia bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Seorang wanita di dunia yang telah menikah dua suami, tiga atau empat dan ia meninggal, kemudian ia masuk Syurga dan mereka pun masuk Syurga. Waniat itu tinggal dengan siapakah diantara mereka?" Maka, baginda menjawab, "Hai Umi Salama, ia dipersilakan untuk memilih, kemudian ia memilih di antara mereka yang paling mulia akhlaknya. Lalu ia berkata, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya suamiku ini adalah yang paling mulia akhlaknya ketika saya bersamanya di dunia. Maka, nikahkan aku bersamanya," Hai Umi Salamah, akhlak yang mulia akan membawa kebaikan kehidupan dunia dan akhirat."

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML