Sunday, March 16, 2014

ORANG MISKIN PENGHUNI SYURGA

Kelebihan Orang-orang Miskin yang Sabar dan Ciri-ciri Penghuni Syurga

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Daripada Ibnu Abbas dan ‘Imran bin Hussain r.a, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang fakir miskin. Dan (apabila) aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan perempuan.” (Hadis riwayat Muttafaqun ‘alaih)

Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: "Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, aku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan."

Sesuatu yang perlu dikaji, kenapakah di dalam syurga ramai kaum fakir dan miskin? Di mana orang kaya? kenapa orang kaya tidak ramai di syurga? Apa pula kelebihannya si fakir dan miskin sehingga mereka pula menjadi penghuni yang ramai di syurga?

Jika kita merenung kepada mafhum hadis di atas, bahawa ramainya orang miskin di syurga, maka ada sesuatu yang patut kita pelajari daripadanya. Iaitu, jika orang kaya mahukan syurga, maka mereka mestilah berhati-hati dalam mengendalikan harta kekayaannya. Misalnya, wajib ditunaikan zakat hartanya, diringi pula sedekah kepada sesama manusia. Baharulah harta itu tidak menjadi bebanan di akhirat sana. Orang yang kaya dan berharta biasanya akan sombong dan bangga diri kerana kekayaannya sedangkan sifat itu amat dibenci oleh Allah SWT.

Kebanyakan orang kaya yang tidak mahu menderma kerana takut menjadi faqir dan selalu berusaha untuk menambahkan lagi kekayaannya yang sudah ada. Maka ketika hatinya sangat terpaut dengan harta yang dicintainya, maka pada ketika itulah masa yang paling baik untuk dia menderma kerana ia akan berhadapan dengan godaan iblis dan syaitan serta hawa nafsu yang selalu menakutinya agar terjerumus ke jurang kefaqiran. Maka sesiapa yang mampu melawan hawa nafsunya pada saat itu, bererti ia telah meraih kejayaan yang sangat besar kerana syaitan adalah sejahat-jahat makhluk yang sering mengajak kita agar menemani mereka bersama memasuki neraka Allah SWT.

Orang-orang miskin memang patut dianugerahi Allah SWT kelebihan di akhirat, kerana sejak di dunia lagi mereka sudah begitu banyak bersabar menahan ujian kesusahan. Mereka selalu kelaparan kala orang kaya kekenyangan, mereka hidup serba kepayahan di kala orang kaya dalam dakapan kesenangan dan mereka banyak berkorban kala si kaya menikmati pelbagai kelebihan. Kita ambil contoh dalam majlis kenduri sahaja sudah memadai, siapakah dianggap VIP, si miskin atau si kaya? 

Justeru, itulah senarionya di dunia ini. Si kaya hidup mereka sering di liputi kemewahan; si miskin sentiasa dirondong kesengsaraan. Maka tidak peliklah mereka diberikan ganjaran berupa syurga oleh Allah SWT, sebagai imbalan terhadap kesabaran mereka di dunia ini. Dengan syarat mereka menjadi si fakir yang taat dan si miskin yang ahli ibadat. Jika mereka taat, sabar dan kuat imannya, percayalah, mereka akan memasuki syurga Allah SWT 500 tahun lebih awal berbanding dengan orang-orang kaya di dunia ini yang pasti sahaja banyak hisabnya di akhirat sana.

Abul Laits As-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Anas bin Malik r.a, bahawa beliau berkata: “Orang-orang fakir mengutuskan utusan mereka kepada Nabi Muhammad SAW. Maka berkata utusan itu: “Wahai Rasulullah, saya adalah utusan fakir kepadamu.” 

Jawab Nabi Muhammad SAW : “Selamat datang kepadamu dan kepada orang-orang yang mengutuskanmu, engkau datang daripada orang-orang yang dicintai Allah SWT.”

Lalu utusan itu berkata: “Wahai Rasulullah, orang-orang miskin berkata: 'Bahawa orang-orang kaya telah memguasai semua kebaikan, mereka dapat menunaikan haji dan kami tidak, mereka memberikan sedekah sedang kami tidak dan jika sakit mereka dapat mengirim wang untuk tabungan mereka.”

Nabi Muhammad SAW. bersabda: “Sampaikan kepada orang fakir daripadaku, bahawa sesiapa yang sabar daripada kamu dan mengharapkan pahala daripada Allah SWT,  maka ia akan mendapat tiga kelebihan yang tidak boleh didapati oleh orang-orang yang kaya iaitu:

1. Di dalam syurga (kelak) ada kamar dari yaqut yang merah, penghuni syurga melihat tempat itu seperti melihat bintang di langit semasa di dunia, tidak dapat masuk ke tempat itu kecuali Nabi yang fakir atau orang yang mati syahid yang fakir atau seorang mukmin yang fakir.

2. Orang fakir yang (kelak dapat) memasuki syurga (lebih awal) sebelum orang kaya dengan kadar setengah hari, iaitu kira-kira lima ratus tahun. Mereka bersuka-suka dengan bebas di dalamnya. Dan Nabi Sulaiman bin Daud a.s. akan memasuki syurga sesudah nabi-nabi yang lain memasukinya kira-kira empat puluh tahun disebabkan oleh kerajaan yang diberikan Allah SWT. kepadanya (Nabi Sulaiman ialah nabi yang diberikan kekayaan dan kekuasaan di dunia).

3. Jika orang fakir membaca: "Subhaballah walhamdulillah walaa ilaha illalah wallahu akbar" dengan tulus ikhlas; dan orang kaya juga turut membaca kalimah itu, maka orang kaya itu tidak dapat mengejar (pahala) orang fakir meskipun ditambah dengan sedekah sepuluh ribu dirham. Demikian jugalah amal-amal kebaikan yang lain (yang dilakukan oleh si fakir)."

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu berkata : Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya : "Ya Rasulullah, sedekah yang manakah lebih besar pahalanya?". Nabi SAW menjawab : "Iaitu sedekah yang engkau berikan sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang untuk mendermakan harta), kerana engkau takut menjadi faqir dan engkau berangan-angan menjadi kaya. Maka janganlah engkau menangguh-nangguhkan sedekah sehingga apabila roh sampai di kerongkong lalu ketika itu baru engkau engkau berkata "Untuk si Fulan ini sekian, untuk si Fulan itu sekian dan sebenarnya harta engkau pada ketika itu memang akan dimiliki (diwarisi) oleh orang lain". (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam riwayat yang lain daripada Abi Zar radhiallahu anhu, bahawasanya segolongan manusia dari sahabat Rasulullah SAW berkata kepada baginda : "Ya Rasulullah, orang-orang yang mempunyai harta (kaya) telah mendapat pahala (lebih banyak daripada kami). Mereka bersembahyang sebagaimana kami sembahyang dan mereka berpuasa sebagaimana kami puasa serta mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka". 

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu suatu untuk bersedekah? Sesungguhnya dengan tiap-tiap tasbih itu sedekah, dan tiap-tiap takbir itu sedekah, dan setiap tahlil itu sedekah, dan menyuruh dengan makruf itu sedekah, dan melarang dari yang mungkar itu sedekah serta kemaluan daripada kamu itu menuju kepada yang halal adalah sedekah" (Hadis Riwayat  Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis-hadis di atas menjelaskan kepada kita bahawa masuknya kita kedalam syurga Allah SWT adalah bergantung kepada akhlak yang baik, kesabaran dan istiqamah dalam mentaati perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Samaada kalian miskin atau kaya, wanita atau lelaki semuanya berpeluang untuk memasuki syurga Allah SWT. Yang paling penting kalian jaga batas-batas syarak dan tidak terpengaruh dengan kehidupan di dunia yang sementara dan melekakan.

Orang miskin ramai ke syurga kerana kesabarannya dengan kemiskinan dan tetap taat kepada Allah SWT dan beramal soleh walaupun kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, dan bersyukur kepada Allah SWT dengan rezeki yang sedikit, rezeki yang dibawa balik kepada keluarga halal dan penuh berkat. Orang kaya masih berpeluang memasuki syurga seperti Abd Rahman bin Auf r.a. dengan syarat harta yang ada dizakatkan dan perbanyakkan sedekah dan infakkan dijalan Allah SWT dan jauhi sifat sombong dan bangga diri dan mementingkan diri sendiri. Begitu juga wanita masih berpeluang memasuki syurga Allah SWT dengan syarat sentiasa taat dengan suaminya, menjaga kehormatan diri dan jaga lidahnya supaya jangan mengumpat, memfitnah dan megadu domba. Wanita yang sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dibawa oleh suaminya walaupun sedikit adalah salah satu ciri penghuni syurga.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML