Thursday, March 13, 2014

NYANYIAN DAN MUZIK

Pandangan Islam Terhadap Nyanyian dan Muzik

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Dalam pembahasan hukum muzik dan menyanyi ini, terdapat beberapa pendapat ulama yang mengharamkan dan menghalalkan nyayaian dan muzik berdasarkan dalili-dalil daripada al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Maka dari itu, terdapat 3 (tiga) hukum fiqih yang berkaitan dengan aktiviti nyanyian dan bermain muzik  iaitu:

Pertama, hukum mendendangkan lagu (nyanyian).

Kedua, hukum mendengarkan nyanyian atau muzik

Ketiga, hukum memainkan alat muzik.

Huraiannya  :

Pertama, hukum mendendangkan lagu (nyanyian).

Terdapat dua pendapat iaitu yang mengharamkan dan menghalalkan :

Dalil-Dalil Yang Mengharamkan Nyanyian: 

a. Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan di antara manusia ada orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna (lahwal hadis) untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu ejekan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.” (Surah Luqmân [31] ayat 6)

Beberapa ulama menafsirkan maksud "lahwal hadis" ini sebagai nyanyian, musik atau lagu, di antaranya al-Hasan, al-Qurthubi, Ibnu Abbas dan Ibnu Mas’ud.

b. Hadis Abu Malik Al-Asy’ari r.a bahwa Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

“Sesungguhnya akan ada di kalangan umatku golongan yang menghalalkan zina, sutera, arak, dan alat-alat muzik (al-ma’azif).” (Hadis Riwayat Bukhari, Shahih Bukhari, hadits no. 5590)

c. Hadis Aisyah r.a Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah mengharamkan nyanyian-nyanyian (qoynah) dan menjualbelikannya, mempelajarinya atau mendengar-kannya."Kemudian baginda membacakan ayat di atas". (Hadis Riwayat Ibnu Abi Dunya dan Ibnu Mardawaih).

d. Hadis dari Ibnu Mas’ud r.a, Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

“Nyanyian itu boleh menimbulkan nifaq, seperti air menumbuhkan kembang.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Dunya dan al-Baihaqi, hadis mauquf)

e. Hadis dari Abu Umamah r.a, Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

“Orang yang bernyanyi, maka Allah SWT mengutus padanya dua syaitan yang menunggangi dua pundaknya dan memukul-mukul tumitnya pada dada si penyanyi sampai dia berhenti.” (Hadis Riwayat Ibnu Abid Dunya.)

f. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Auf r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

“Sesungguhnya aku dilarang dari suara yang hina dan sesat, iaitu: 1. Alunan suara nyanyian yang melalaikan dengan iringan seruling syaitan (mazamirus syaithan). 2. Ratapan seorang ketika mendapat musibah sehingga menampar wajahnya sendiri dan merobek pakaiannya dengan ratapan syaitan (rannatus syaitan).”

Dalil-Dalil Yang Menghalalkan Nyanyian:

a. Firman Allah SWT maksudnya :

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.” (Surah al-Maaidah [5] ayat 87).

b. Ruba’i Binti Mu’awwidz Bin Afra berkata:

Nabi SAW mendatangi pesta perkawinanku, lalu baginda duduk di atas dipan seperti dudukmu denganku, lalu mulailah beberapa orang hamba perempuan kami memukul gendang dan mereka menyanyi dengan memuji orang yang mati syahid pada perang Badar. Tiba-tiba salah seorang di antara mereka berkata: “Di antara kita ada Nabi SAW  yang mengetahui apa yang akan terjadi kemudian.” Maka Nabi SAW bersabda maksudnya :“Tinggalkan percakapan itu. Teruskanlah apa yang kamu (nyanyikan) tadi.” (Hadis Riwayat Bukhari, dalam Fâth al-Bârî, juz. III, hal. 113, dari Aisyah ra)

c. Dari Aisyah r.a; dia pernah menikahkan seorang wanita kepada pemuda Anshar. Tiba-tiba Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Mengapa tidak kalian adakan permainan kerana orang Anshar itu suka pada permainan.”  (Hadis Riwayat Bukhari)

d. Dari Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Umar melewati sahabat Hasan sedangkan ia sedang melantunkan syi’ir di masjid. Maka Umar memicingkan mata tidak setuju. Lalu Hasan berkata:

“Aku pernah bersyi’ir di masjid dan di sana ada orang yang lebih mulia daripadamu (iaitu Rasulullah SAW)” (Hadis Riwayat Muslim, juz II, hal. 485)

Atas dasar itu, kedua dalil yang seolah-olah bertentangan di atas dapat dirumuskan seperti  berikut : 

Bahawa dalil yang mengharamkan menunjukkan hukum umum nyanyian. Sedang dalil yang membolehkan, menunjukkan hukum khusus, atau perkecualian (takhsis), iaitu bolehnya nyanyian pada tempat, keadaan, atau peristiwa tertentu yang dibolehkan syarak, seperti pada hari raya Aidil Fitri atau Adha, majlis walimatulurus atau dapat pula difahami bahawa dalil yang mengharamkan menunjukkan keharaman nyanyian secara mutlak. 

Sedang dalil yang menghalalkan, menunjukkan bolehnya nyanyian secara muqayyad (ada batasan atau kriterianya) (Dr. Abdurrahman al-Baghdadi, Seni Dalam Pandangan Islam, hal. 63-64; Syaikh Muhammad asy-Syuwaiki, Al-Khalash wa Ikhtilaf an-Nas, hal. 102-103).

Dari sini kita dapat memahami bahwa nyanyian ada yang diharamkan dan ada yang dihalalkan. 

Nyanyian haram didasarkan pada dalil-dalil yang mengharamkan nyanyian, iaitu nyanyian yang disertai dengan kemaksiatan atau kemungkaran, baik berupa perkataan (qaul), perbuatan (fi’il), atau menggalakan (asy-yâ’), misalnya disertai arak, zina, pendedahkan aurat, ikhtilath (campur baur lelaki dan wanita yang bukan mahram), atau syairnya yang bertentangan dengan syarak, misalnya mengajak bercinta dengan berdua-duaan disaksikan bulan dan bintang, mengajak kepada pergaulan bebas, memuja kekasih melebihi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, putus asa kerana gagal dalam bercinta, mempropagandakan sekularisma, liberalisma dan sebagainya. 

Malangnya industri musik dan nyanyian seperti juga bidang-bidang lain, ia diterajui oleh Barat yang mempunyai muslihat yang jahat terhadap Islam terutama remajanya. Apabila industri muzik; nyanyian itu diterajui oleh Barat, maka umat Islam perlulah berhati-hati, unsur-unsur yang diketengahkan oleh mereka adalah bertujuan melalaikan manusia, menjatuhkan mereka kepada maksiat dan menjurus kepada manusia meninggalkan kehidupan beragama. Industri muzik Barat juga memperkenalkan pelbagai jenis muzik yang melampau seperti heavy metal, rap, rock, super dance . cha cha atau mamba dan lain-lain yang bertentangan dengan fitrah. Ini bertentangan dengan hiburan dalam Islam yang bertujuan memberi sedikit kerehatan kepada jiwa manusia.

Terutama apabila penyanyi wanita Islam mendendangkan nyanyian dengan pakaian mendedahkan aurat, terpekik-terlolong, bertabaruj (bersolek dan berhias) melampau batas, diiringi dengan penari-penari wanita yang tidak menutup aurat ini jelas haram di sisi Islam. Nyanyian seperti ini melampau batas daripada akhlak Islam, menggalakkan maksiat dan boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej Islam di mata masyarakat bukan Islam.

Nyanyian halal didasarkan pada dalil-dalil yang menghalalkan, iaitu nyanyian yang kriterianya adalah bersih dari unsur kemaksiatan atau kemunkaran. Misalnya nyanyian seperti nasyid yang syairnya memuji sifat-sifat Allah SWT, mendorong orang meneladani Rasul, mengajak taubat dari judi, mengajak menuntut ilmu, menceritakan keindahan alam semesta, dan sebagainyanya (Dr. Abdurrahman al-Baghdadi, Seni Dalam Pandangan Islam, hal. 64-65; Syaikh Muhammad asy-Syuwaiki, Al-Khalash wa Ikhtilaf an-Nas, hal. 103).

Saidina Ali k.wj ada menasihatkan:"Rehatkan hatimu dari masa ke semasa kerana hati jika dipaksa akan menjadi buta."

Juga dari Saidina Ali k.wj katanya :"Hati juga merasa jemu sepertimana juga badan merasa jemu; maka carilah perkara-perkara yang menarik untuk menghiburkannya".

Telah berkata Abu Darda’: "Aku menghiburkan diriku dengan sedikit al Lahwu untuk menguatkan diriku dalam melakukan perkara-perkara kebaikan."

"Apabila diajukan kepada Imam alGhazali apakah nyanyian termasuk al Lahwu? Beliau berkata:Ya begitulah sebenarnya. Sesungguhnya seluruh dunia adalah al lahwu dan permainan..dan semua guarauan bersama isteri adalah al lahwu melainkan jimak yang bertujuan melahirkan zuriat. Begitu juga setiap gurauan yang tidak mengandungi kejahatan dan kemaksiatan, maka ia adalah halal. Sebab itulah ada waktu-waktunya makruh mengerjakan solat nawafil (sunat) untuk memberi kerehatan kepada orang yang sering melakukannya. Kerehatan sebenarnya menolong untuk terus beramal. Sedikit dalam al lahwu dapat menolong seseorang dalam situasi tegang oleh kerana kita tidak akan mampu untuk sentiasa dalam keadaan serius dan kepahitan sepanjang masa kecuali jiwa para Anbiya’."

Kedua, hukum mendengarkan nyanyian dan muzik.

Perbuatan mendengar termasuk perbuatan jibiliyyah, sehingga hukum asalnya adalah boleh (harus). Mendengar suara apa sahaja di bolehkan,  suara gemericik air, suara halilintar, suara binatang, juga suara manusia termasuk di dalamnya nyanyian. Hanya sahaja di sini ada sedikit peringatan bahawa jika suara yang terdengar berisi suatu aktiviti maksiat, maka meskipun mendengarnya mubah, ada kewajiban amar makruf nahi munkar, dan tidak boleh mendiamkannya. Misalnya kita mendengar nyanyian  seseorang mengatakan, “Saya akan membelai dirimu!” , "hidupku tidak bererti jika kau tidak disampingku". Membelai seorang wanita sebelum berkahwin adalah haram dan meletakkan hidup untuk wanita juga haram hukumnya kerana kita hidup adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Oleh itu semua senikata lagu yang mengajak kepada maksiat adalah dilarang mendengarnya kerana penyanyi tersebut mengajak kepada perkara dosa dan maksiat.

Jika senikata nyanyian itu mengandungi kemungkaran, kita tidak dibolehkan berdiam diri dan wajib melakukan amar makruf nahi munkar.

Nabi SAW bersabda: “Siapa saja di antara kalian melihat kemungkaran, ubahlah kemungkaran itu dengan tangannya (dengan kuasa). Jika tidak mampu, ubahlah dengan lisannya (ucapannya). Jika tidak mampu, ubahlah dengan hatinya (dengan tidak meredai). Dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim, an-Nasa’i, Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Jika kita tidak mampu mencegahnya maka janganlah di dengar nyanyian tersebut dan kita benci dalam hati , jika kita beli CD nyanyian mengandungi unsur maksiat tersebut hukumnya haram kerana kita bersubahat dengan perkara yang haram.

Ketiga, hukum memainkan alat musik.

Bagaimanakah hukum memainkan alat musik, seperti gitar, piano, rebana, dan sebagainya? Terdapat nash, ada satu jenis alat musik yang  jelas diterangkan kebolehannya dalam hadis, iaitu ad-duff  atau al-ghirbal, atau rebana. 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud :“Umumkanlah pernikahan dan tabuhkanlah untuknya rebana (ghirbal).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah) 

Fuqaha terdahulu membenarkan musik apabila mempunyai konteks yang sesuai seperti muzik iringan ke medan perang, haji, perkahwinan, perayaan hari raya. Mengikut fuqaha Hanafi muzik yang dilarang ialah dengan bersyarat jika ia bercampur dengan sebutan arak, gadis penyanyi, menggalakkan maksiat, perzinaan dan keberhalaan. Dr Syaltut berpendapat larangan terhadap muzik adalah berdasarkan kepada konteks dan iringannya dengan yang lain dan bukanlah suatu reaksi terhadap muzik itu sendiri.

Prof Qardhawi berkata, "Nyanyian adalah harus (dibolehkan) tapi dalam acuan Islam . Muzik adalah termasuk dalam perkara tabi’iy (asasi) di sisi fitrah manusia. Ia juga termasuk bab Urf (adat resam sesuatu bangsa); ada bangsa yang amat suka kepada muzik dan nyanyian; Islam tidak menghalang sesuatu yang selari dengan fitrah dan diterima oleh urf (adat) atau cara hidup budaya setempat. (Prof Qardhawi, halal ; haram , juga Fatwa Mu’asirat) 

Bermain gambus dan nyanyian oleh hamba sahaya sudah diamalkan sejak zaman Saidina Ali bin Abi Talib k.wj dan tiada yang menegahnya..

Dalam hal ini pendapat Syaikh Nashiruddin al-Albani. Menurut Syaikh Nashiruddin al-Albani hadis-hadis yang mengharamkan alat-alat musik seperti seruling, gendang, dan sejenisnya, seluruhnya dha’if. 

Memang ada beberapa ahli hadis yang memandang sahih, seperti Ibnu Shalah dalam Muqaddimah ‘Ulumul Hadits, Imam an-Nawawi dalam Al-Irsyad, Imam Ibnu Katsir dalam Ikhtishar ‘Ulumul Hadits, Imam Ibnu Hajar dalam Taghliqul Ta’liq,

Akan tetapi Syaikh Nashiruddin al-Albani dalam kitabnya Dha’if al-Adab al-Mufrad setuju dengan pendapat Ibnu Hazm dalam Al-Muhalla bahawa hadis yang mengharamkan alat-alat musik adalah Munqathi’ (Syaikh Nashiruddin Al-Albani, Dha’if al-Adab al-Mufrad, hal. 14-16).

Imam Ibnu Hazm dalam kitabnya Al-Muhalla, juz VI, hal. 59 mengatakan:

“Jika belum ada perincian dari Allah SWT maupun Rasul-Nya tentang sesuatu yang kita perbincangkan di sini [dalam hal ini adalah nyanyian dan memainkan alat-alat musik], maka telah terbukti bahawa ia halal atau boleh secara mutlak.” (Dr. Abdurrahman al-Baghdadi, Seni Dalam Pandangan Islam, hal. 57).

Hukum mengenai muzik, pemuzik dan alat muzik mengikut Hujjatul Islam alGhazali (Ihya’ Ulumidin, vol 2, pg 283-301) menjelaskan ada tiga komponen penting yang mempengaruhi hukum muzik yang mungkin berubah dari masa kesemasa: zaman, makan dan ikhwan. 

‘Zaman’ merujuk kepada masa, apakah muzik itu melalaikan daripada jihad dan ibadah?

‘Makan’ merujuk kepada suasana, situasi  atau upacara di mana muzik itu dipersembahkan. 

‘Ikhwan’: merujuk kepada aktiviti muzik itu; jika dengan muzik itu boleh menyebabkan mereka terdedah kepada manusia yang jahat atau membawa kepada kejatuhan moral.

Menurut al Ghazali inilah tiga komponen yang menjadi neraca bagi muslim di setiap zaman menghukum muzik: zaman, makan dan ikhwan.

Berbalik kepada soalan asal: apakah alat muzik yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan dalam Islam?

Al Ghazali menjelaskan (Ihya’ Ulumiddin, vol2, pg 271-272): tidak ada keterangan yang jelas dari sunnah yang melarang alat-alat muzik bahkan setengah alat muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang, ia tidak lebih daripada seperti kemerduan suara burung. Ianya dilarang jika ada hubungan atau dikaitkan dengan kumpulan peminum arak, homoseks , lasbian dan lain-lain yang diarang.

Kesimpulannya :

Pada hukum nyanyian dan musik ada yang disepakati dan ada yang diperselisihkan. Ulama sepakat mengharamkan nyanyian yang berisi senikata yang kotor,  menggalakkan maksiat, menghalalkan apa yang diharamkan Allah dan berputus asa dari rahmat Allah SWT. adalah diharamkan oleh Islam.

Ulama juga sepakat membolehkan nyanyian yang baik, menaikkan semangat kerja dan tidak kotor,  tidak mendatangkan syahwat, tidak dinyanyikan oleh wanita asing dan tanpa alat musik. 

Adapun selain itu para ulama berbeda pendapat . Jumhur ulama menghalalkan mendengar nyanyian, tetapi berubah menjadi haram dalam keadaan seperti berikut:

1. Jika disertai kemungkaran, seperti sambil minum arak, berjudi , tari menari dan lain-lain lagi.

2. Jika dikhawatirkan menimbulkan fitnah seperti menyebabkan timbul cinta berahi pada wanita atau sebaliknya.

3. Jika menyebabkan lalai dan meninggalkan kewajiban, seperti meninggalkan solat atau menunda-nundanya . 

Madzhab Maliki, asy-Syafi’i dan sebagian Hambali berpendapat bahawa mendengar nyanyian adalah makruh. Jika mendengarnya dari wanita asing maka semakin makruh. Menurut Maliki bahawa mendengar nyanyian merosak muru’ah. Adapun menurut asy-Syafi’i kerana mengandung lahwu. Dan Imam Ahmad memberi komentar dengan ungkapannya: “Saya tidak menyukai nyanyian karena melahirkan kemunafikan dalam hati”.

Adapun ulama yang menghalalkan nyanyian, diantaranya: Abdullah bin Ja’far, Abdullah bin Zubair, Al-Mughirah bin Syu’bah, Usamah bin Zaid, Umran bin Hushain, Muawiyah bin Abi Sufyan. Secara umum dapat disimpulkan bahwa para ulama menghalalkan bagi umat Islam mendengarkan nyanyian yang baik-baik jika tidak terdapat perkara yang diharamkan sebagaimana disebutkan diatas.

Sedangkan hukum yang terkait dengan menggunakan alat musik dan mendengarkannya, para ulama juga berbeda pendapat. Jumhur ulama mengharamkan alat musik sesuai dengan beberapa hadis diantaranya :

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sungguh akan ada di antara umatku, kaum yang menghalalkan zina, sutera, khamr dan alat-alat yang melalaikan". (Hadis Riwayat Bukhari)

“Dari Nafi bahwa Ibnu Umar mendengar suara seruling gembala, maka ia menutupi telingannya dengan dua jarinya dan mengalihkan kendaraannya dari jalan tersebut. Ia berkata:”Wahai Nafi” apakah engkau dengar?. Saya menjawab:”Ya”. Kemudian melanjutkan berjalanannya sampai saya berkata :?Tidak?. Kemudian Ibnu Umar mengangkat tangannya, dan mengalihkan kendaraannya ke jalan lain dan berkata: Saya melihat Rasulullah SAW. mendengar seruling gembala kemudian melakukan seperti ini? (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah).

Dari Umar bin Hushain, bahwa Rasulullah SAW. berkata tentang umat ini: "Gerhana, gempa dan fitnah. Berkata seseorang dari kaum muslimin:Wahai Rasulullah kapan itu terjadi?? Rasul menjawab: Jika biduanita, musik dan minuman keras berleluasa " (Hadis Riwayat At-Tirmidzi).

Adapun ulama yang menghalalkan musik sebagaimana diantaranya diungkapkan oleh Imam Asy-Syaukani dalam kitabnya, Nailul Authar adalah sbb: Ulama Madinah dan lainnya, seperti ulama Dzahiri dan jamaah ahlu Sufi memberikan kemudahan pada nyanyian walaupun dengan gitar dan biola. Juga diriwayatkan oleh Abu Manshur Al-Bagdadi As-Syafi’i dalam kitabnya bahwa Abdullah bin Ja’far menganggap bahwa nyanyi tidak apa-apa, bahkan membolehkan budak-budak wanita untuk menyanyi dan beliau sendiri mendengarkan alunan suaranya. Dan hal itu terjadi di masa khilafah Amirul Mukminin Ali ra. Begitu juga Abu Manshur meriwayatkan hal serupa pada Qodhi Syuraikh, Said bin Al Musayyib, Atho bin abi Ribah, Az-Zuhri dan Asy-Sya’bi.

Demikianlah pendapat ulama tentang mendengarkan alat musik. Dan jika diteliti dengan cermat, maka ulama muta’akhirin yang mengharamkan alat musik kerana mereka mengambil sikap warak (hati-hati). Mereka melihat kerosakan yang timbul dimasanya. Sedangkan ulama salaf dari kalangan sahabat dan tabiin menghalalkan alat musik kerana mereka melihat memang tidak ada dalil baik dari Al-Quran maupun hadis yang jelas mengharamkannya. Sehingga dikembalikan pada hukum asalnya yaitu mubah.

Oleh kerana itu bagi umat Islam yang mendengarkan nyanyian dan musik harus memperhatikan faktor-faktor berikut:

Pertama: Lirik Lagu yang dinyanyikan.

Hukum yang berkaitan dengan lirik ini adalah seperti hukum yang diberikan pada setiap ucapan dan ungkapan lainnya. Maksudnya bila muatannya baik menurut syarak, maka hukumnya dibolehkan. Dan bila muatanya buruk menurut syarak, maka dilarang.

Kedua: Alat Muzik yang digunakan.

Sebagaimana telah jelaskan di atas bahawa, hukum dasar yang berlaku dalam Islam adalah bahawa segala sesuatu pada dasarnya dibolehkan kecuali ada larangan yang jelas. Dengan ketentuan ini, maka alat-alat musik yang digunakan untuk mengiringi lirik nyanyian yang baik pada dasarnya dibolehkan. Sedangkan alat musik yang disepakati bolehnya oleh jumhur ulama adalah ad-dhuf (alat musik yang dipukul). Adapun alat musik yang diharamkan untuk mendengarkannya, para ulama berbeda pendapat satu sama lain. Satu hal yang disepakati ialah semua alat itu diharamkan jika melalaikan.

Ketiga: Cara Penampilan.

Harus dijaga cara penampilannya tetap terjaga dari hal-hal yang dilarang syarak seperti melahirkan cinta berahi, seks, maksiat adalah dilarang.Berpakaian mendedahkan aurat juga dilarang.

Keempat: Akibat yang Ditimbulkan.

Walaupun sesuatu itu mubah, namun bila ianya boleh menimbulkan hal-hal yang diharamkan seperti melalaikan solat, menimbulkan  emosi penonton cenderung kepada maksiat dan menjauhkan daripada  ajaran Islam akan menjadi terlarang . Sesuai dengan kaidah Saddu Adz dzaroi' (menutup pintu kemaksiatan) .

Kelima: Aspek Tasyabuh (menyerupai)

Islam melarang daripada mengikut model khusus yang telah menjadi ciri kelompok pemusik tertentu yang jelas-jelas menyimpang dari akhlak Islam, harus dihindari agar tidak terperangkap dalam tasyabbuh (menyerupai) dengan suatu kaum yang tidak dibenarkan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Siapa yang menyerupai suatu kaum maka ia termasuk mereka" (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Keenam: Orang yang menyanyikan.

Haram bagi kaum muslimin yang sengaja mendengarkan nyanyian dari wanita yang bukan muhrimnya. Ulama berpendapat suara wanita adalah aurat.

Sebagaimana firman Allah SWT. maksudnya : "Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik (Surah Al-Ahzaab ayat 32) 

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Hidup di dunia ini adalah sementara sedangkan hidup di hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Janganlah kita menghabiskan masa dengan banyak berhibur dan mendengar lagu dan muzik yang melalaikan hati-hati kita. Kita boleh merehatkan fikiran dengar mendengar lagu-lagu yang mengajak kepada kebaikan dan meningkatkan iman dan cinta kita kepada Allah , Rasul-Nya, ibu bapa, berakhlak mulia dan memuji keindahan ciptaan Allah SWT.

Orang mukmin yang bertakwa dan sedang sibuk berjuang di jalan Allah SWT  tidak akan membiarkan masanya di habiskan kepada perkara harus  yang sia-sia dan tidak mendatangkan faedah.

Semoga huraian dan kesimpulan tentang hukum nyanyian dan muzik dalam Islam akan memberi manfaat bagi kaum muslimin dan menjadi panduan dalam kehidupan mereka. Amiin.

Wallahu a`lam bish-sawab, Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh




No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML