Friday, January 10, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 68

Soal Jawab Agama Siri 68 

(Mandi Wajib, Fidyah Puasa, Hukum Isbal, Niat Puasa dan Ulama Suk)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Soal Jawab Agama Siri 68 adalah menjelaskan permasaalahan mandi wajib, fidyah puasa, hukum isbal, niat puasa dan ulama suk (jahat)

626 Soalan : Ustaz apa hukumnya berjimak sebelum mandi wajib. Adakah berdosa ustaz? 

Jawapan 

Berdasarkan soalan yang diutarakan kepada saya, ada dua maksud kepada soalan anda iaitu wanita yang kering daripada haid belum mandi dan berjimak kali kedua sebelum mandi wajib. Jadi saya akan terangkan dua-dua perkara ini bagi memenuhi maksud anda yang tidak sampai pada soalan yang diutarakan. 

Berjimak Sebelum Mandi Haid.

Isteri yang baru habis haid dan belum mandi wajib dikira sebagai tidak bersih dan haram melakukan jimak kepada isteri dalam keadaan sebegini. Mengikut Mazhab Syafie wanita yang dikira suci daripada haid adalah bermula selepas ia mandi hadas dan bukan daripada berhenti darah haidnya. Lagipun berjimak semasa isteri belum suci daripada haid atau belum mandi hadas sangat dilarang Islam, kerana ia adalah perbuatan yang sangat jijik dan kotor. Hal ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud : 

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah al-Baqarah ayat 222) 

Jelas di sini, setiap isteri yang habis haid mesti mandi hadas dan suci daripada haid sebelum melakukan hubungan jimak bersama suaminya. Batas suci bagi wanita haid adalah bermula daripada selepas ia mandi hadas. 

Berjimak Kali Kedua Sebelum Mandi.

Berjimak kali kedua sebelum mandi hadas jimak pertama, perbuatan sedemikian dikira makruh. Jadi terlebih baik ia hendaklah mandi hadas terlebih dahulu dan jangan dilengahkan mandi tersebut kerana perbuatan melengahkan juga dikira sebagai makruh. Sekiranya tidak larat atau tidak mampu mandi pada waktu malam, maka disunatkan suami dan isteri membasuh kedua kemaluannya dan mengambil wuduk dan diteruskan tidur dan awal pagi mandi hadas sebelum melakukan solat subuh. Boleh juga mandi pada waktu malam selepas melakukan jimak kerana perbuatan ini juga adalah sunah Rasulullah dan dikhuatiri terlewat Solat Subuh disebabkan mandi hadas. 

Bagaimana berlaku jimak beberapa kali perlukah mandi wajib mengikut jumlah perbuatan jimak? Jawapannya tidak perlu, cukup sekali mandi sahaja sudah memadai dan sudah terangkat semua hadas yang ada pada diri. 

627. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan terdapat perbezaan pendapat ulama dalam mazhab untuk menentukan samaada fidyah puasa wajib digandakan atau pun tidak jika melebihi masa beberapa tahun.?

Jawapan :

Jawatankuasa Fatwa telah dikemukakan dengan persoalan tentang hukum gandaan fidyah dan kifarah. Pihak Jawatankuasa diminta untuk memberi pendapat dan keputusan tentang perkara tersebut.

Keputusan:
1. Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor yang bersidang pada 16 Januari 2001 telah sebulat suara membuat keputusan bahawa pembayaran-pembayaran fidyah dan kifarah yang tertangguh adalah tidak digandakan (harus). Ini menurut sebahagian pandangan mazhab Syafie.

2. Walaubagaimanapun, sekiranya pihak pembayar ingin membuat pembayaran fidyah dan kifarah secara berganda maka ianya boleh diterima.

3. Oleh itu, pembayaran fidyah dan kifarah ini diberi dua pilihan:

3.1. Digandakan pembayaran fidyah dan kifarah mengikut tahun yang ditinggalkan. 

3.2. Tidak digandakan pembayaran.

4. Pandangan ini diambil kira ia berbetulan dengan ajaran Islam yang tidak sama sekali menyusahkan manusia yang menganut ajarannya

Keterangan/Hujah:
Latar belakang.

1. Fidyah ialah satu istilah yang terdapat di dalam fiqh al-Islami. Ia lebih difahami sebagai "satu cara untuk menggantikan puasa Ramadan yang tertinggal disebabkan keuzuran yang diterima oleh syarak atau tidak".

2. Jumlah fidyah yang dibayar adalah berdasarkan kepada bilangan puasa yang ditinggalkan. Sekiranya bilangan puasa yang ditinggalkan itu banyak, maka banyaklah fidyah yang perlu dibayar. Begitu juga sebaliknya.

3. Sekiranya jumlah yang perlu dibayar adalah sedikit, ia tidak menjadi masalah. Tetapi sekiranya jumlah tersebut terlalu tinggi, masalah akan timbul apabila berlaku penggandaan dalam pengiraan fidyah apabila pembayaran ditangguhkan untuk beberapa Ramadan.

Pendapat Ulama.

1. Terdapat dua pandangan terhadap masalah penggandaan kiraan fidyah tertangguh :

1) Tidak digandakan: Ia adalah pandangan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Pandangan ini dikukuhkan dengan hujah bahawa penagguhan terhadap sesuatu ibadah tidak akan menambahkan bilangan ibadah tersebut sebagaimana yang berlaku kepada ibadah haji yang tertangguh.

2) Digandakan: Pandangan ini dikukuhkan dengan hujah bahawa setiap penagguhan tersebut membentuk fidyah yang lain. Fidyah yang bertambah tersebut tidak boleh disatukan menjadi satu.

Wallahu a'lam.

628. Soalan :Apakah hukum isbal (perbuatan melabuhkan pakaian sehingga melepasi mata kaki) bagi lelaki?

Jawapan : 

Hukum "Isbal". tidak haram jika di lakukan bukan kerana sombong.

Dari Ibnu ‘Umar diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya : “Barangsiapa memanjangkan pakaiannya kerana sombong, maka Allah tidak akan melihatnya kelak di hari kiamat.” Kemudian Abu Bakar bertanya, “Sesungguhnya sebagian dari sisi sarungku melebihi mata kaki, kecuali aku menyingsingkannya.” Rasulullah SAW menjawab, “Kamu bukan termasuk orang yang melakukan hal itu kerana sombong.” (Hadis Riwayat Jama’ah, kecuali Imam Muslim dan Ibnu Majah dan Tirmidizi tidak menyebutkan penuturan dari Abu Bakar.)

Dari Ibnu ‘Umar dituturkan bahwa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Isbal itu boleh terjadi pada sarung, sarung dan jubah. Siapa saja yang memanjangkan pakaiannya kerana sombong, maka Allah SWT tidak akan melihatnya kelak di hari kiamat.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, an-Nasa`i, dan Ibnu Majah]

Kata khuyalaa’ berasal dari wazan fu’alaa’. Kata al-khuyalaa’, al-bathara, al-kibru, al-zahw, al-tabakhtur, bermakna sama, yakni sombong dan takabur.

Menjelaskan hadis ini, Ibnu Ruslan dari Syarah al-Sunan menyatakan, “Dengan adanya taqyiid “khuyalaa’” (kerana sombong) menunjukkan bahawa siapa saja yang memanjangkan kainnya melebihi mata kaki tanpa ada unsur kesombongan, maka dirinya tidak terjatuh dalam perbuatan haram. Hanya saja, perbuatan semacam itu tercela (makruh).”

Imam Nawawi berkata, “Hukum isbal adalah makruh. Ini adalah pendapat yang dipegang oleh Syafi’iy.”

Imam al-Buwaithiy dari al-Syafi’iy dalam Mukhtasharnya berkata, “Isbal dalam solat maupun di luar solat kerana sombong dan kerana sebab lainnya tidak diperbolehkan. Ini didasarkan pada perkataan Rasulullah SAW kepada Abu Bakar ra.”

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar, yakni perkataan Rasulullah SAW kepada Abu Bakar ra (“Kamu bukan termasuk orang yang melakukan hal itu kerana sombong.”), menunjukkan bahawa manath (objek) pengharaman isbal adalah kerana sombong. Sebab, isbal kadang-kadang dilakukan kerana sombong dan kadang-kadang tidak kerana sombong. Hadis yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar telah menunjukkan dengan jelas bahawa isbal yang dilakukan tidak dengan sombong hukumnya tidak haram.

Atas dasar itu, isbal yang diharamkan adalah isbal yang dilakukan dengan kesombongan. Sedangkan isbal yang dilakukan tidak kerana sombong, tidaklah diharamkan. Imam Syaukani berkata, “Oleh kerana itu, sabda Rasulullah SAW, ‘Perhatikanlah, sesungguhnya memanjangkan kain melebihi mata kaki itu termasuk kesombongan.’ (Hadis Riwayat Abu Dawud, an-Nasa’i, dan at-Tirmidzi dari haditsnya Jabir bin Salim), harus didahami bahawa riwayat ini hanya berlaku bagi orang yang melakukan isbal kerana sombong.

Dari penjelasan Imam Syaukani di atas kita boleh menyimpulkan, bahawa kesombongan adalah taqyiid atas keharaman isbal. Atas dasar itu, hadis-hadis yang memuthlaqkan keharaman isbal harus ditaqyiid dengan hadis-hadis yang mengandung redaksi khuyalaa’. Walhasil, isbal yang dilakukan tidak kerana sombong, tidak termasuk perbuatan yang haram.

Tidak boleh dinyatakan di sini bahwa hadis yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar tidak boleh mentaqyiid kemuthlakan hadis-hadis lain yang datang dalam bentuk muthlaq dengan alasan, sebab dan hukumnya berbeda. Tidak boleh dinyatakan demikian. Sebab, hadis-hadis tersebut, sebab dan hukumnya adalah sama. Topik yang dibicarakan dalam hadis tersebut juga sama, yakni sama-sama berbicara tentang pakaian dan cara berpakaian. Atas dasar itu, kaedah taqyiid dan muqayyad boleh diberlakukan dalam konteks hadis-hadis di atas. [Tim Konsultan Ahli Hayatul Islam (TKAHI)]

629. Soalan : Ustaz, saya hendak tanya. Adik saya, baru-baru ni dia ada berpuasa ganti bagi Ramadan tahun lepas (1433 H). Tapi, dia baru tersedar yang dia tersalah niat. Niat dia berbunyi, "Sahaja aku berpuasa pada esok hari bagi menggantikan Ramadan tahun ini tunai kerana Allah Taala", sedangkan tahun (1433 H) sudah berlalu. Jadi bagaimana dengan puasa gantinya ustaz? Sah ke tidak? Jadi macam mana ye ustaz? Perlu bayar fidyah ke? Bagaimana? Mintak nasihat ustaz.. Terima kasih.. Wassalam.

Jawapan

Di sini saudari perlu membezakan antara niat dan lafaz niat, ramai masyarakat di luar sana tidak dapat membezakan antara niat dan lafaz niat. Sebab itulah ada sebahagian orang ketika solat angkat takbir ihram berkali-kali sebab niatnya belum masuk. Begitu juga dengan ibadah-ibadah yang lain.

Sebelum saya bincangkan perkara ini dengan lebih lanjut, maka terlebih afdhal saya ceritakan dahulu tentang perbezaan lafaz dan niat.

Lafaz Niat

Lafaz niat secara mudah dikenali sebagai perkataan yang keluar dari mulut dan bukan dari hati. Boleh jadi dilafazkan secara kuat atau memadai di dengari sendiri. Selalunya lafaz niat ini orang akan ikut sebiji-sebiji kalimah niat yang ada di dalam kitab-kitab fiqah. Ada juga pendapat ulama menyatakan bahawa lafaz niat adalah sunat, kerana ia adalah jalan untuk mendatangkan niat di dalam hati.

Jadi secara mudahnya, kalau kita tidak sebut lafaz niat ini sah atau tidak ibadah kita? Jawapannya sah ibadah kerana ia adalah sunat sahaja bukan wajib. Jadi kalau tidak sebut dan tersalah sebut itu tidak mendatangkan masalah kepada ibadah.

Niat

Imam Nawawi mengatakan bahawa niat bermaksud keinginan yang ada dalam hati. Manakala Al-Baidhawi berkata niat adalah dorongan hati untuk melakukan sesuatu sesuai dengan tujuan, baik mendatangkan manfaat atau menolak mudarat, sedangkan syariat adalah sesuatu yang membawa kepada perbuatan yang diredai Allah dan mengamalkan segala perintahNya.

Maka fahamlah kita bahawa niat itu adalah satu gerak hati dan bukan dari bibir. Dalam erti kata yang lain niat adalah tasdiq bi qalbi. niat sangat penting dan merupakan perkara yang asas dan wajib sebelum melaksanakan ibadah. Hal ini bersandarkan kepada sabda Rasulullah SAW :

“Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata mata taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadanya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Peranan niat adalah amat penting dalam kehidupan manusia, kerana niat menentukan segala galanya sama ada jujur atau tidak jujurnya, sama ada ikhlas atau tidak ikhlas seseorang itu atau sebagainya, semuanya bergantung dengan niat.

Ulama kaum muslimin meletakkan niat itu sebagai rukun pertama dalam semua ibadat. Bahkan untuk membezakan antara ibadat dengan adat hanyalah dengan niat. Jika niatnya baik, baiklah amalannya.

Sesuatu perbuatan adat jika diniatkan mengikut tuntunan dan keredaan Allah dan Rasulullah maka ia berubah menjadi ibadat dan mendapat pahala.

Semoga segala penerangan di atas ini dapat memberikan kefahaman kepada saudari yang bertanya dan sekalian pembaca yang lain. 

Sah Atau Tidak Niat Puasa Gantinya

Begini, sekiranya perkataan “Sahaja aku berpuasa pada esok hari bagi menggantikan Ramadan tahun ini tunai kerana Allah Taala” dikeluarkan dengan lafaz, maka itu tidak mendatangkan masalah kepada puasanya dan puasanya juga tetap sah. Tetapi apabila perkataan ini dibuat dengan hatinya, maka puasanya perlu diganti semula selepas satu Syawal dan puasanya tidak dikira ganti tahun lepas kerana niatnya tersalah iaitu “Menggantikan puasa Ramadan tahun ini”.Jika puasa qada tersebut dilakukan selepas Syawal maka perlu dikenakan fidyah kerana melebihi satu tahun.

Secara logiknya pula, selalunya orang yang hendak menggantikan puasa, pada awalnya sudah diniatkan atau hatinya sudah berbisik untuk menggantikan puasa tahun lepas. Cuma di sini ia berlaku dalam keadaan tidak formal seperti perkataan yang kita lafazkan itu. Ada pendapat ulama menyatakan bahawa niat atau gerak hati seperti ini sudah dikira sebagai niat dan amalan atau ibadah yang dilakukan dikira sah.

630. Soalan : Di akhir zama ini terdapat sebahagian ulama yang tidak berani menegakkan kebenaran (ulama suk) dan lebih menjaga kepentingan diri sahaja berbanding menjaga dan mendaulatkan Islam. Apakah jenis ulama sepeti ini menurut pandangan Islam?

Jawapan :

Tahukah kita siapakah yang dinamakan ulamak suk (jahat)? Kadang-kadang kita tertipu dengan hujah yang disertakan dalil Al-Quran dan hadis bagi membolehkan sesuatu tindakan yang dilakukan oleh mereka. Ulamak suk ialah orang yang mempunyai ilmu dan hanya mementingkan keuntungan dunia semata-mata. Ia juga tidak gamak mencegah segala kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah atau orang kenamaan demi menjaga periuk nasinya. Inilah peluang keemasan yang ada untuk mengaut segala keuntungan dan kemewahan dunia dengan mengadaikan prinsip agamanya. Segala ilmu yang dimiliki olehnya digunakan untuk dijadikan hujah atau dalil bagi menghalalkan segala perbuatan yang jelas bercanggah dengan syarak.

Berkata Saidina Umar Al-Khattab bahawa perkara yang aku amat takut dan khuatir adalah orang munafik yang pandai berbicara. Rumusan yang dapat diambil ialah ulama suk sangat bijak bermain kata-kata dengan dimuatkan dalil Al-Quran dan Hadis sehingga dapat mengelirukan orang ramai. Mereka ini juga dikategorikan sebagai orang yang lebih jahat jika dibandingkan dengan dajjal. Kebanyakkan orang tertipu dengan pakaian, penampilan dan percakapan mereka yang dihiasi dengan perumpamaan serta logik. Sangat sedap dan lunak ayat Al-Quran dan Hadis yang dibacakan oleh mereka. Tetapi semua ini bukan untuk mencari kebenaran tetapi adalah untuk menutupi segala kejahatan dan kesalahan yang telah dibuat oleh mereka.

Demi kepentingan dunia, mereka berdiam dan tidak berani menegur kesalahan yang dilakukan oleh pemerintah atau orang yang berkuasa. Segala kezaliman dan penyelewengan dilihat begitu sahaja tanpa ada sedikit pun perkataan membantah. Sangat taat kepada pemimpin yang zalim, munafik dan fasik seperti seekor Kaldai yang mentaati segala perintah tuannya. Hujah yang berani mereka berikan ialah yang tidak menganggu kepentingan diri. Setelah diasak dengan teruk, mereka hanya menyalahkan orang lain dengan mengatakan “Islam melarang kita mengambil tahu hal peribadi orang lain”.

Apabila sesuatu perkara yang diperintahkan Allah ingin ditegakkan oleh orang yang memperjuangkan Islam. Lantas akan dihalang oleh mereka dengan memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah seperti masanya belum tiba, negara ini mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama. Tidak sesuai dilaksanakan perintah tersebut pada zaman sekarang kerana ia sudah tidak reliven. Ada sahaja penentangan demi penentangan dari mereka yang cintakan dunia dan takutkan mati.

Matlamat utama bagi ulamak suk ini adalah kekayaan dunia semata-mata seperti memiliki harta yang banyak, rumah besar, duit yang banyak dan jawatan yang tinggi. Jika mereka menentang habislah semua ini, mereka tidak boleh bermewah dan berbangga dengan kekayaan dunia. “Siapa yang hendak memberi mereka makan dan siapa yang hendak memberikan mereka rezeki” soal hati mereka. Sebenarnya mereka lupa rezeki bukan datang dari manusia, tetapi ia datang daripada Allah, jika Allah tarik semua kemewahan itu sudah pasti hidup mereka akan lebih melarat dari orang-orang faqir yang miskin dunia tetapi kaya akhirat. Sabda Rasulullah SAW :

“Siapa yang mempelajari ilmu selain mencari redha Allah, dan mempelajarinya bertujuan untuk habuan dan ganjaran dunia maka tidaklah dia dapat (diharamkan) mencium bau syurga di hari akhirat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Begitu hebat keburukan atau malapetaka yang akan timbul apabila orang yang berilmu menyembunyikan kebenaran. Masyarakat ketika itu tidak ada tali untuk bertaut dan segala maklumat tentang Islam tidak disampaikan secara jelas dan menyeluruh sehingga menyebabkan mereka tidak tahu mana yang benar dan mana yang dusta. Dari kesan ini, perbuatan maksiat, kezaliman, penindasan dan kesesatan bermaharajalela. Mereka juga sentiasa berada di dalam kekufuran dan dosa. Hal ini berlaku kerana ulama yang ada tidak bertanggungjawab dan tidak menjalankan amanah yang Allah berikan kepada mereka. Dijelaskan oleh Imam Al-Ghazali :

“Rosaknya rakyat berpunca daripada rosaknya pemerintah dan rosaknya pemerintah berpunca daripada ulama suk yang ada kepentingan.”

Perlukah kita cintakan ulama seperti ini yang jelas sekali akan merosakkan kita? Jawapannya tidak sama sekali. Mari kita bersatu di bawah payung Islam untuk menolak dan menentang segala keburukkan yang telah mereka lakukan. Disamping itu juga kita berdoa supaya Allah membukakan pintu hati mereka agar diberikan hidayah serta menyesali segala perbuatan jahat yang telah mereka lakukan. Kembalikanlah mereka ke jalan yang diredhoi agar segala ilmu yang dimiliki oleh mereka dapat digunakan ke arah yang betul.

Bagi mengelakkan diri kita tersalah mencintai ulamak suk, maka kita harus berhati-hati sebelum mengiktiraf mereka sebagai ulamak. Lihat dahulu seluruh kehidupan mereka. Adakah mereka mempunyai peribadi yang baik seperti yang ditunjukkan Rasulullah SAW. Di sini juga dapat digariskan satu panduan untuk kita menilai seseorang ulamak seperti apa yang dikatakan oleh Imam An-Nawawi, kriteria ulama pewaris nabi ialah seorang hamba Allah yang beriman, menguasai ilmu syariah secara mendalam dan mempunyai pengabdian diri yang sangat tinggi terhadap Allah. segala ilmu yang ada, mereka curahkan kepada masyarakat tanpa ada sedikit pun ilmu yang disembunyikan oleh mereka.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML