Friday, January 10, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 41

Soal Jawab Agama Siri 41 

(Tafsir Ayat 7 Surah al-Fatihah, Ahli Syurga, Memberi Makan Orang Miskin Dan Lain-lain)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 41 adalah menjawab persoalan tafsir ayat 7 surah al-Fatihah, ahli syurga, memberi makan orang miskin  dan memberi salam, Padang Mahsyar dan tanda-tanda hati yang hidup.

491. Soalan : Di dalam al-Quran surah al-Fatihah ayat ke tujuh , firman Allah SWT maksudnya." (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepadanya; bukan (jalan) mereka yang dimurkai, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat." Bolehkah ustaz jelaskan siapakan orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah SWT di dalam ayat ini?

Ulama tafsir dalam menafsirkan ayat ketujuh ini menyatakan bahawa orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah SWT adalah dijelaskan di dalam surah an-Nisa' ayat 69-70.

Firman-Nya yang bermaksud :"Dan barangsiapa yang menaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu para nabi, para siddiqun, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah karunia dari Allah, dan Allah cukup mengetahui." (Surah An-Nisa': 69 -- 70).

Allah S.W.T telah memilih dikalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa, dalam hidupnya sentiasa mentaati Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Kedudukan mereka adalah sama dengan kekasih Allah S.W.T. yang telah dimuliakan dan diberi nikmat di dunia dan akhirat,iaitu para nabi, para siddiqun, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh.

492. Soalan : Bagaimana keadaan ahli neraka yang dimasukkan ke dalam neraka kerana dosa-dosa besar yang mereka lakukan di dunia tetapi mempunyai sedikit saja iman di dalam hatinya?
Seorang ahli neraka yang dimasukkan ke dalam neraka kerana dosa-dosa besar yang mereka lakukan di dunia masih berpeluang untuk memasuki syurga apabila di dalam hatinya ada sedikit iman walau pun sebesar biji sawi.

Dari Humaid, ia berkata : Aku mendengar Anas r.a. berkata : Saya mendengar Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Apabila hari kiamat tiba, aku diberi syafaat, kemudian aku berkata : “Wahai Tuhan, masukkanlah ke syurga orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi”. Maka mereka masuk, kemudian aku berkata : “Masukkanlah ke syurga orang yang didalam hatinya ada sedikit- dikitnya sesuatu”. Maka Anas r.a. berkata seolah-olah saya melihat jari-jari Rasulullah SAW (Hadis Riwayat Bukhari).

Dari Abu Said Al Khudri r.a. bahwasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Allah memasukkan penghuni syurga ke syurga, Dia memasukkan orang yang di kehendakiNya dengan rahmat-Nya dan memasukkan penghuni neraka ke neraka, kemudian Dia berfirman maksudnya : “Lihatlah orang yang kamu sekalian dapati di dalam hatinya iman seberat biji sawi, maka keluarkanlah ia”.  Kemudian mereka dikeluarkan dari neraka seperti arang, mereka telah terbakar maka mereka dilemparkan di sungai hidup (nahrul hayat), lalu mereka tumbuh di dalamnya, sebagaimana biji-bijian itu tumbuh di tanah yang dibawa banjir, tidaklah kamu melihatnya, bagaimana ia tumbuh dengan kuning emas”.
(Hadis Riwayat Muslim).

493. Soalan : Adakah amalan bersedekah dengan memberi makan orang miskin dan memberi salam satu amalan yang paling baik di sisi Islam? Bagiamankah adab memberi salam yang di anjurkan dalam ajaran Islam?

Benar amalan memberikan sedekah makanan atau wang ringit kepada fakir miskin yang memerlukan adalah amalan yang mulia di sisi Allah SWT. Begitu juga amalan memberi salam kepada sesama muslim samaada dikenali atau tidak adalah amalan yang disukai oleh Rasulullah SAW.

Terdapat hadis Nabi SAW : Dari ‘Abdullah bin ‘Amru bin al’Ash radhiallahu’anhuma bahwa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ’Alaihi Wasallam, “Ajaran Islam yang manakah yang paling baik”? Baginda menjawab, “Kamu memberi makan (orang yang memerlukannya), dan kamu mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”. (Hadis Riwayat Bukhari 4684 dan Muslim 993).

Terdapat 5 adab-adab memberi salam seperti berikut :

1. Orang menaiki kenderaan memberikan salam kepada orang yang berjalan kaki

2. Orang yang berjalan kaki memberi salam kepada orang yang duduk

3. Orang yang sedikit kepada yang banyak

4. Orang yang lebih muda kepada yang lebih tua.

Demikianlah disebutkan di dalam hadits Abu Hurairah yang muttafaq’alaih.

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ليسلم الصغير على الكبير، والمار على القاعد, والقليل على الكثير. وفي رواية: والراكب على الماشي. متفق عليه.

Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah yang muda memulai memberi salam kepada yang tua, yang berjalan kepada yang duduk  dan yang sedikit kepada yang lebih banyak..” Dan dalam suatu riwayat: “dan yang bertunggangan (berkenderaan) kepada yang berjalan.” (Hadis Riwayat Bukhari 6231, 6234 dan Muslim 2160).

5. Apabila memberi salam dalam nada tegas dan jelas dan demikian pula ketika menjawabnya, kecuali jika di sekitarnya ada orang-orang yang sedang tidur.

Ini bermakna tiada istilah “menjawab salam di dalam hati” kerana kita hendaklah menjawab salam yang diberikan supaya pemberi salam dapat mendengar jawapan salam tersebut.

494. Soalan : Semasa berhimpun diPadang Mahsyar semua manusia akan merasai gelisah kerana masa di sana terlalu lama sementara menanti proses pengadilan daripada Allah SWT. Minta ustaz huraikan sedikit suasan kehidupan di Padang Mahsyar berdasarkan hadis-hadis sahih?

Diriwayatkan dari ‘Abdullah ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu, Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda:

    يَجْمَعُ اللهُ الأَوَّلِيْنَ وَالآخِرِيْنَ لِمِيْقَاتِ يَوْمٍ مَعْلُوْمٍ قِيَامًا أَرْبَعِيْنَ سَنَةً شَاخِصَةً أَبْصَارُهُمْ يَنْتَظِرُوْنَ فَصْلَ الْقَضَاءِ

Maksudnya :“Allah mengumpulkan semua manusia dari yang pertama sampai yang terakhir, pada waktu hari tertentu dalam keadaan berdiri selama empat puluh tahun. Pandangan-pandangan mereka menatap (ke langit), menanti pengadilan Allah.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi ad-Dunya dan ath-Thabrani. Hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih at-Targhib wat-Tarhib, no.3591).

Syafaat Al-Kubra :
Peristiwa di Padang Mahsyar sangatlah dahsyat. Di hari itu, Allah Ta’ala mengumpulkan seluruh makhluk-Nya, yang pertama sampai terakhir di satu tanah luas yang datar. Matahari didekatkan dengan jarak satu batu sehingga manusia benar-benar mengalami kesusahan dan kesedihan.

Ketika kesusahan yang mereka rasakan semakin memuncak, akhirnya mereka mencari orang yang dapat memberikan syafaat, agar Allah Ta’ala segera mempercepat keputusan-Nya. Mereka pun akhirnya berusaha mendatangi Nabi Adam, kemudian Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa bin Maryam untuk meminta syafaat darinya, namun mereka semua menolaknya. Pada akhirnya mereka datang kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam, untuk meminta syafaat dari baginda. Dengan izin Allah Ta’ala, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam memberikan syafaat kepada umat manusia, agar mereka diberi keputusan. (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari, no. 4712 dan Muslim, no. 194 dari sahabat Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu)

Yaumul Hisab

Yaumul hisab atau hari perhitungan amal adalah hari dimana Allah memperlihatkan kepada hamba-hamba-Nya tentang amal mereka. Allah Ta’ala berfirman:

    إِنَّ إِلَيْنَا إِيَابَهُمْ (25) ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا حِسَابَهُمْ (26)

Maksudnya : “Sungguh, kepada Kami-lah mereka kembali. kemudian sesungguhnya (kewajiban) Kami-lah membuat perhitungan atas mereka.”  (Surah al-Ghasyiyah ayat 25 – 26).

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam sering berdoa di dalam solat dengan mengucapkan:

    اَللَّهُمَّ حَاسِبْنِيْ حِسَابًا يَسِيْرَا

 "Allohumma haasibni hisaaban yasiiro (Ya Allah, hisablah diriku dengan hisab yang mudah.”

Kemudian ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bertanya tentang apa itu hisab yang mudah? Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam menjawab: “Allah memperlihatkan kitab (hamba)-Nya kemudian Allah memaafkannya begitu saja. Barangsiapa yang dipersulit hisabnya, nescaya ia akan binasa.” (Hadis Riwayat Ahmad, VI/48, 185, al-Hakim, I/255, dan Ibnu Abi ‘Ashim dalam Kitaabus Sunnah, no. 885. Hadis ini dinilai sahih oleh al-Hakim dan adz-Dzahabi).

495. Soalan : Hati manusia adalah sangat penting kerana jika ia rosak maka rosaklah  manusia  tetapi jika dia sihat maka eloklah manusia. Bolehkah ustaz terangkan apakah tanda-tanda hati yang hidup (sihat)?

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)

Hati perlu di bentuk supaya sihat dan mulia dengan Islam.Hati yang rabbani adalah hati yang setiap ketika dan saatnya berhubung dengan Allah SWT  dan mematuhi segala titah perintahNya.

 Di antara tanda-tanda hati yang hidup :

1.Sentiasa mengingati dan berzikir kepada Allah SWT.

2.Kuat berpegang pada ajaran Islam.

3.Menjauhi larangan Allah SWT dan meninggalkan perkara yang sia-sia.

4.Bersih dari hasad dengki, cepat marah dan menipu.

5.Reda dengan sistem hidup Islam.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML