Friday, January 10, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 64

Soal Jawab Agama Siri 64 

(Zakat Fitrah, Solat Sunat Wuduk, Beralih Tempat Solat dan Solat Ghaib)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  Soal Jawab Agama Siri 64 adalah menjelaskan persoalan zakat fitrah, solat sunat wuduk, beralih tempat selepas solat fardu untuk melakukan solat sunat dan solat ghaib

606. Soalan : Zakat fitrah diwajibkan oleh Allah SWT. Siapakan yang wajib membayar zakat fitrah dan jumlah yang perlu dibayar?

Jawapan :

Sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilfitri umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah.

Ibnu Umar meriwayatkan: “Rasulullah SAW. mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadan kepada setiap orang Muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu (jumlahnya) segantang kurma atau gandum.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Zakat fitrah dikenakan kepada semua umat Islam, sama ada merdeka mahu pun hamba sahaya. Ini berbeza dengan zakat harta, kerana tidak dikenakan kepada hamba. Mana mungkin seorang hamba mampu berzakat, andai dirinya sendiri pun dimiliki oleh orang lain. Bahkan, demi mengangkat taraf seorang hamba maka Islam memberikan hak zakat untuk mereka menebus diri.

Zakat fitrah juga mempunyai nisab yang berbeza dengan zakat harta. Untuk menunaikan zakat fitrah, Islam menetapkan bahawa seseorang itu mempunyai makanan yang cukup baginya pada malam hari raya sehingga ke siang hari raya. Jika seseorang itu mempunyai makanan yang cukup bagi tempoh itu, maka wajiblah zakat fitrah ke atasnya.

Manakala, nisab zakat harta pula mesti disandarkan kepada nilai emas semasa. Apabila harga emas tinggi, maka tinggilah nisabnya. Kadar zakat fitrah pula ialah sekadar segantang Baghdad yang dikenakan berdasarkan makanan asasi. Jika di Malaysia, beraslah zakat fitrahnya. Segantang Baghdad itu pula menyamai 2.7 kg. Maka, darablah harga beras semasa dengan 2.7 kg bagi mendapatkan kadar zakat fitrah. Manakala, kadar zakat harta pula ialah 2.5 peratus dari keseluruhan harta. 

Contohnya harga sekilo beras pada masa kini rm2.60 kemudian dikali dengan 2.7kg, bersamaan  rm7.00 (kadar bayaran zakat fitrah)  jumlah kadar zakat fitrah berubah mengikut harga beras dipasaran.

607. Soalan :  Apakah hikmah zakat fitrah diwajibkan kepada umat Islam?

Jawapan :

Zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri. Akan tersingkaplah tirai kesombongan dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi.

Ibnu Abbas menyatakan: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Agihan zakat fitrah selalunya difokuskan kepada fakir dan miskin. Inilah pandangan sebahagian ulama. Misalnya dinyatakan oleh Ibnu Qayyim, Ibnu Rusyd, Sayid Sabiq dan Dr. Abd. Karim Zaidan

608.  Boleh ustaz ulas mengenai solat sunat selepas wuduk? Adakah ini solat sunat Qabliah? ustaz di surau itu ada cerita mengenai Bilal r.a. bila dia cakap pasat solat sunat selepas wuduk .Rasulullah mendengar tapak kaki Bilal r.a. di syurga, Rasulullah bertanya apakah yang dilakukannya oleh beliau, beliau mengatakan bila saja batal wuduk belaiu akan mengambilnya dan solat sunat wuduk 2 rekaat.


Jawapan : 

Ya, ada kisah Bilal bin Rabah r.a. Dalam hadis riwayat al-Bukhari 4/428 [no 1149]dan Muslim 16/141 [no 6478] :

حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ نَصْرٍ حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ أَبِى حَيَّانَ عَنْ أَبِى زُرْعَةَ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ - رضى الله عنه - أَنَّ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ لِبِلاَلٍ عِنْدَ صَلاَةِ الْفَجْرِ « يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِى بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِى الإِسْلاَمِ ، فَإِنِّى سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَىَّ فِى الْجَنَّةِ » . قَالَ مَا عَمِلْتُ عَمَلاً أَرْجَى عِنْدِى أَنِّى لَمْ أَتَطَهَّرْ طُهُورًا فِى سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ إِلاَّ صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِى أَنْ أُصَلِّىَ . قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ دَفَّ نَعْلَيْكَ يَعْنِى تَحْرِيكَ

Maksudnya : “Rasulullah SAW bersabda kepada Bilal ketika solat Subuh : Wahai Bilal, ceritakan kepadaku dengan amalan paling baik engkau lakukan disisimu dalam Islam, Sesungguhnya aku mendengar bunyi hentakan seliparmu di hadapanku dalam Syurga. Jawab Bilal : Aku tidak melakukan sebarang amalan yang paling aku harapkan disisiku, aku tidak bersuci (berwuduk) pada satu-satu masa waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wuduk tersebut, dengan apa yang tidak diwajibkan bagiku untuk solat”

Manakala tentang solat sunat wuduk, ia bukan solat sunat qabliah. Solat sunat wuduk adalah merupakan solat sunat lain. Ia disunatkan selepas seseorang mengambil wuduk.
Dalam hal ini al-Nawawi ada menjelaskan :

ثم أفضل الصلوات بعد الرواتب والتراويح الضحى ثم ما يتعلق بفعل كركعتي الطواف إذا لم نوجبهما وركعتي الاحرام وتحية المسجد ثم سنة الوضوء

Maksudnya : “Kemudian yang solat paling afdal selepas sunat rawatib [sunat qabliah atau ba’diyah], dan tarawih ialah solat duha, kemudian apa yang berkaitan dengan sesuatu perbuatan seperti dua rakaat tawaf jika kita tidak berpendapat mewajibkannya, dua rakaat ihram, tahiyyat masjid dan kemudian sunat wuduk” [al-Majmuk jil.4, hlm. 26]
Dalilnya ialah hadis kisah Bilal di atas.

609. Soalan : Apakah maksud apabila selesai berjemaah fardu Isyak, jemaah berpindah tempat sembahyang (yakni samada ke kiri, ke kanan, ke belakang atau ke depan saf) untuk menunaikan solat sunat lepas Isyak?

Jawapan :

Sebahagian ulama yang mengatakan sunat beralih tempat berdalilkan dengan hadis Muawiyah r.a:

فإن رسول الله صلى الله عليه و سلم أمرنا بذك أن لا توصل صلاة بصلاة حتى نتكلم أو نخرج

Maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam memerintahkan kami melakukannya, iaitu tidak menyambung satu solat dengan solat yang lain sehingga kami bercakap atau keluar". (Hadis Riwayat Muslim (no: 883). Wallahu a'lam. 

610. Soalan : Apabila ada ahli keluarga kita meninggal di luar negeri dan kita tidak sempat ziarah dan solatkan jenazah untuknya adakah kita boleh solatkan dengan solat ghaib?

Jawapan :

Solat Ghaib adalah solat jenazah terhadap mayat yang berada di negeri lain yang jauh.

Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersembahyang ke atas jenazah Raja Najasyi, Raja Habsyah yang meninggal dunia. Dalam hadis Abu Hurairah:

أن رسول الله صلى الله عليه و سلم نعى النجاشي في اليوم الذي مات فيه خرج إلى المصلى فصف بهم وكبر أربعا

"Bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengumumkan berita kematian Najasyi pada hari beliau wafat. Baginda keluar ke musolla, membuat saf dengan sahabat, dan bertakbir sebanyak empat kali". (Hadis Riwayat Bukhari no: 1188 dan Muslim no: 951).

Sebahagian ulama mengambil hukum dari umum hadis ini, iaitu boleh dilakukan solat jenazah ke atas mayat yang berada jauh seperti di negara lain.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML