Monday, June 23, 2014

KEUTAMAAN IBADAH PUASA DI BULAN RAMADHAN




Ramadhan yang mulia bakal menemui kita, in shaa’ ALLAH.  Sama-samalah kita berdo`a kepada ALLAH `Azza wa Jalla agar dipanjangkan umur kita untuk hidup di dalam bulan Ramadhan, diberikan hidayah dan taufiq serta daya kekuatan agar dapat mengambil manfaat dari kebaikan-kebaikan yang telah ALLAH `Azza wa Jalla sediakan di dalamnya, Ramadhan Mubarak.

Sungguh, golongan yang bersungguh-sungguh untuk menjadikan diri mereka sebagai orang yang bertaqwa pastinya sangat rindu dan menanti-nantikan kehadiran bulan yang mulia ini.  Marilah kita contohi usaha mereka yang saban masa sentiasa mengejar kebaikan dan keredhaan ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.

Berikut disenaraikan kalam ALLAH yang Maha Mulia dan kalam Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, agar dapat sama-sama kita meneliti dan menghayati dengan sungguh-sungguh akan kelebihan bulan Ramadhan yang bakal kita hadapi beberapa hari lagi, in shaa’ ALLAH.

1.    Puasa adalah ibadah fardhu yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, dengan tujuan agar yang melakukannya memperolehi taqwa.  ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman yang maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah 2:183)

2.    Ibadah puasa sangat tinggi nilainya di sisi ALLAH dan ALLAH sendiri yang akan mengganjarinya.  Puasa boleh menjadi perisai dari perbuatan tidak berfaedah dan ia menjadi kegembiraan yang besar bagi orang-orang yang beriman yang melakukan ibadah puasa ini.

Hal ini telah disebut di dalam sebuah hadith qudsi dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alahi wasallam bersabda yang maksudnya:

“ALLAH ‘Azza wa Jalla berfirman: “Semua amal perbuatan anak Adam (manusia) itu bagi dirinya sendiri kecuali puasa.  Sesungguhnya puasa itu untukKU dan AKU yang akan membalasnya. 

Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak.  Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata:  “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”. 

Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada dalam genggamanNYA, sungguh bau mulut orang yang berpuasa itu di sisi ALLAH lebih harum dari bau minyak kasturi. 

Bagi orang yang berpuasa ada 2 kegembiraan iaitu gembira ketika ia berbuka dan gembira ketika ia menghadap Tuhannya kerana besar pahala puasa.”

(HR al-Bukhari & Muslim)

3.    Ibadah puasa pada bulan Ramadhan boleh menghapuskan semua dosa-dosa yang pernah kita lakukan pada masa lampau.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala daripada ALLAH, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”


(HR al-Bukhari & Muslim)

4.    Pada bulan Ramadhan, sekalian manusia mempunyai peluang yang besar untuk melakukan kebaikan dan menggandakankannya kerana manusia didorong ke arah itu dan malah para syaitan yang selalu menjadi ejen kejahatan telah diikat dan dibelenggu sepanjang Ramadhan.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Apabila bulan Ramadhan datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga dan ditutuplah pintu-pintu neraka, serta dibelenggu syaitan-syaitan.” 

(HR al-Bukhari & Muslim)

Banyak hikmah yang boleh kita perolehi daripada kalam-kalam mulia yang disenaraikan di atas.  Dengan meneliti dan menghayatinya, in shaa’ ALLAH kita akan dapat membuka, menyedia dan menggerakkan minda, jasad dan roh kita untuk sama-sama mengejar kebaikan-kebaikan yang telah ALLAH sediakan di dalam bulan Ramadhan.  Kepada ALLAH lah kita memohon hidayah dan taufiq.

Selamat menyambut dan menghayati Ramadhan.

Semoga kita beroleh taqwa, amin…


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML