Monday, June 23, 2014

KESEMPATAN RAMADHAN : HOTEL, RESTORAN, PASARAYA DAN KITA


Kedatangan Ramadhan biasanya disambut gembira oleh hotel-hotel, restoran-restoran dan pasaraya-pasaraya di sekitar tempat.  Mereka telah dapat menghidu bau duit yang bakal masuk ke mesin-mesin duit mereka.  Masing-masing telah dapat membayangkan berduyun-duyun manusia masuk ke premis hotel, restoran atau pasaraya mereka lalu menghulurkan kertas-kertas bernilai kepada mereka.

Pada mereka tidak lain dan tidak bukan, keuntunganlah yang mereka kejar.  Ramadhan menyediakan kesempatan yang sangat besar buat mereka mengaut keuntungan berlipat kali ganda.  Mereka dengan suka hati menawarkan diri menyediakan perkhidmatan memuaskan nafsu manusia.  Dalam hal ini, nafsu yang dimaksudkan ialah nafus makan, nafsu sombong, nafsu bergaya dan nafsu bersaing.  Apa tidaknya?  Lihat sahaja hotel-hotel, restoran-restoran atau pasaraya-pasaraya dengan promosi mereka sepanjang Ramadhan ini.

Kesempatan Buat Hotel-Hotel

Sepanjang Ramadhan, dipacakkan bunting, banner dan malah diiklankan di media seperti TV, radio dan internet mengenai tawaran-tawaran pemuasan nafsu makan yang dinamakan sebagai ‘Bufet Ramadhan’.  Hendak bunyi lebih insaf dan ala-ala ibadat sedikit, mereka menamakannya dengan ‘Bufet Ramadhan Amal’.



DI ATAS ADALAH BANNER2 "BUFET RAMADHAN 2013 YANG LALU...TAHUN NI TAK DIIKLANKAN LAGI..HEE





Dengan bayaran puluhan ringgit satu kepala, peserta bufet boleh menikmati bermacam-macam jenis makanan.  Semua kesabaran sepanjang hari berpuasa bakal dilempiaskan dendamnya sejurus azan Maghrib berkumandang.  Perut yang kosong diserbu dengan bermacam-macam jenis makanan ala-barat dan ala-timur.  Makan sampai tersandar…

Bufet Ramadhan – Nabi sallAllahu `alaihi wasallam tidak berbuka puasa dengan cara begini.


Jika dibandingkan 17 tahun lalu, seingat saya ‘Bufet Ramadhan’ hanya hotel-hotel besar sahaja yang mengadakannya.  Kini, pada tahun 2014 ini, hampir semua hotel mengadakannya.  Betapa bisnes ‘Bufet Ramadhan’ ini suatu kesempatan besar buat hotel-hotel mengaut keuntungan.

Kesempatan Buat Restoran-Restoran & Gerai-Gerai

Restoran-restoran  pula, selain mengadakan jamuan bufet, banyak juga yang menyediakan pelbagai juadah makanan.  Siap dengan banner ‘Juadah Ramadhan’.  Hendak dimakan di restoran semasa berbuka puasa boleh.  Hendak dibeli lalu dibawa balik pun boleh.  Pokoknya, semua juadah yang tersusun bermeja-meja itu mesti dipastikan ada pembelinya.  Ia mesti ditukar dengan wang.

Nafsu makan dipupuk semula di tempat sebegini.


Begitu juga gerai-gerai.  Ramadhanlah bulan mereka boleh menggandakan keuntungan.  Istilah baru iaitu ‘Bazar Ramadhan’ yang wujud sekitar 17 tahun kebelakangan ini khas bagi memenuhi selera besar ummat manusia di Malaysia pada bulan Ramadhan.  Di sinilah mereka melunaskan hutang sabar dan lapar mereka.  Para penjual yang bijak pastinya akan mengambil kesempatan ini semahu-mahunya.

*Tuan/puan boleh membaca tulisan bertajuk ‘Bazar Ramadhan Jangan Jadi Bazir Ramadhan’ di sini:

Kesempatan Buat Pasaraya-Pasaraya

Jika hotel-hotel, restoran-restoran dan gerai-gerai mengambil kesempatan atas nama ‘Ramadhan’ (contohnya ‘Bufet Ramadhan’, ‘Juadah Ramadhan’, ‘Bazar Ramadhan’) sebagai peluang mereka menggandakan keuntungan; pasaraya-pasaraya bagaimana pula?

Pasaraya-pasaraya tidak menggunakan nama ‘Ramadhan’ sebagai daya penarik pelanggan mereka.  Mereka menggunakan nama ‘Raya’, ‘Aidilfitri’, ‘Hari Lebaran’ sebagai daya pemikat dan pujukan.  Ya, bulan Ramadhanlah masanya untuk mereka mengaut duit dalam poket, dompet dan akaun bank kita.  Dengan diskaun-diskaun yang menggiurkan, tak ramai yang dapat menahan diri dari terpesona lalu menyerahkan diri dan wang kepada pasaraya-pasaraya ini.

Helah Jualan Murah Raya

Ini cerita berdasarkan pengalaman saya dan keluarga menjelang raya tahun lepas. Semasa kami sekeluarga pergi membeli belah di KB  Niatnya hendak beli pakaian baru untuk adik-adik.  Dah lama tak beli pakaian baru untuk mereka.  Disebabkan ‘mood’ nak raya mula bersinar-sinar di kebanyakan pusat membeli-belah, malah diskaun-diskaun mula dipacakkan, maka kami pun cuba mengambil peluang ini untuk membeli-belah.

Adik lelaki bongsu saya memujuk-mujuk saya, “Along, nak baju Ben-10, nak baju Ben-10!”

Sepanjang berjalan di dalam pusat membeli belah tersebut, asyik dengan pujukannya.  Ditariknya baju saya.  Puas saya pujuk dia agar bersabar dan tunggu dulu.  Memang tak makan saman betul.  Maklumlah budak-budak.  Saya pun malas nak layan.

Tiba-tiba ternampak diskaun 30% di bahagian baju kanak-kanak.  Ben-10 pulak tu. Umie saya pergi menjenguk sebentar, sementara saya pula melilau cari baju melayu,,heee...  Selepas beberapa minit menjenguk dan survey, Umiesaya datang kepada saya.

“Long, dia bagi diskaun 30%.  Ada satu baju tu Apih dah ada dah.  Umie dah beli tahun lepas kat T.Merah.  Lepas dicongak, harganya sama macam hari biasa sebenarnya…”  kata Umie saya.

Menurut Umie saya, tertera di baju itu harganya RM25.90.  Selepas diskaun 30%, harganya jadi RM18.90.  Sedangkan baju yang sama yang pernah dibeli tahun lepas di T.Merah pada hari biasa (bukan ketika musim perayaan, tidak juga ada diskaun) adalah RM19.  Takde beza sebenarnya.

“Cit, diskaun konon!”  Saya bengang.  Terus merudum ‘mood’ saya nak membeli-belah.

Pengajaran

Perkara ini memang sudah dimaklumi oleh ramai orang.  Ramai sudah maklum akan helah jualan murah sempena nak raya ini.  Mereka menaikkan harga barangan yang hendak dijual, lalu meletakkan peratus diskaun yang besar-besar.  Tujuannya untuk menarik perhatian para pembeli.  Hakikatnya, harganya sama sahaja jika dibeli pada hari biasa.  Atau mungkin murah sedikit sahaja.

Peristiwa di atas membuatkan saya lebih berhati-hati.  Bukan tak tahu hal tersebut, tapi kadang-kadang tu terlupa dan leka dengan tawaran yang dicanangkan.  Selepas ini, saya mesti lebih berwaspada agar tidak mudah percaya dengan helah jualan murah sebegini.

Fitrah manusia yang suka akan tawaran menarik ditambah pula dengan semangat untuk membeli-belah sempena hari raya yang bakal menjelma, membuatkan ramai tidak berfikir panjang, lalu membayar harga yang ditawarkan.  Kita mudah termakan pujuk rayu dan tawaran diskaun yang kononnya hebat itu.

Disebabkan sifat tidak berhati-hati inilah, maka para peniaga mengambil kesempatan atas lemahnya sifat psikologi pengguna yang mudah terpengaruh dengan tawaran-tawaran menarik dan diskaun-diskaun.  Sedangkan ia bukanlah tawaran dan diskaun yang ‘genuine’.  Ia hanyalah helah para peniaga yang memain-mainkan harga.

Selamat membeli-belah dengan bijak.  Berhati-hatilah, jangan mudah tertipu.



Kesempatan Buat Kita

Hambakanlah dirimu kepada ALLAH…


Tuan/puan yang dikasihi ALLAH,

Sebagaimana hotel-hotel, restoran-restoran, gerai-gerai dan pasaraya-pasaraya mengambil kesempatan ke atas Ramadhan yang berlaku setahun sekali, begitu jugalah dengan kita.  Bezanya ialah cara mereka mengambil kesempatan dan cara kita mengambil kesempatan lain.  Sebagai entiti perniagaan, sesuai sangatlah dengan fungsi mereka untuk mencari peluang dan ruang yang ada untuk menambahkan keuntungan perniagaan sepanjang Ramadhan.

Kita yang muslim ini, yang mukmin ini, yang mengejar taqwa ini, yang hamba ALLAH ini, mestilah terlebih-lebih bersedia dan bergembira untuk mengaut keuntungan yang bakal tersedia sepanjang Ramadhan yang penuh keberkatan tersebut.  Pelbagai strategi mesti kita susun, perancangan mesti dibuat dan azam mesti ditanam untuk mencapai keuntungan yang berlipat kali ganda pada bulan Ramadhan dalam bentuk keredhaan dan pahala dari ALLAH Ta`ala.

Mari kita didik diri kita semua agar dalam bulan yang mulia, bulan Ramadhan ini, kita perbanyakkan amalan-amalan ibadah seperti solat, tadabbur al-Quran, dzikrullah, solawat ke atas Nabi, belajar ilmu agama, menjaga lidah, mata dan lain-lain pancaindera serta mengeratkan ukhuwwah Islamiyyah sesama muslim.  Tinggalkan perkara-perkara yang tidak menguntungkan.

Jika kita tidak mengambil kesempatan atas peluang yang ALLAH sediakan sepanjang Ramadhan untuk menaikkan darjat kita di sisiNYA, malah diambil kesempatan pula oleh hotel-hotel, restoran-restoran, gerai-gerai dan pasaraya-pasaraya ke atas diri kita, maka kerugian sahajalah yang kita perolehi pada bulan Ramadhan.

*Tuan/puan boleh membaca tulisan bertajuk ‘Keutamaaan Ibadah Puasa Bulan Ramadhan’ sebagai motivasi awal untuk menaikkan semangat untuk mengambil kesempatan ke atas Ramadhan, insyaALLAH.  Pautannya di sini:

Semoga ALLAH Ta`ala mengurniakan hidayah dan taufiqNYA buat kita semua untuk sama-sama beribadah dalam bulan yang penuh keberkatan dan maghfirah ini.  Dan semoga ALLAH menerima semua amalan-amalan kita di sisiNYA Yang Maha Mulia, amin…

“La hawla wa la quwwata illa bi ALLAH…”

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML