Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 40

Soal Jawab Agama Siri 40 (Doa Malaikat, Hukum Faraid, Adab Melamar Dan Kelebihan Zikir)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 40 adalah menjawab persoalan doa malaikat kepada mereka yang bersuci dan duduk menunggu solat, saf pertama dan menyambung saf, hukum faraid, adab melamar dan kelebihan zikir.

481. Soalan : Apakah kebaikan jika seseorang sentiasa berwuduk dan berada di dalam keadaan bersuci?

Jika seorang mukmin itu sentiasa berwuduk dan bersuci samaada ketika hendak tidur atau berada di dalam masjid untuk menunggu solat maka malaikat akan sentiasa berada bersama-sama dengannya dan mendoakannya.

Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa : "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci" (Hadis Riwayat  Ibnu Hibban dari Abdullah bin Umar r.a, hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Sahih At-Targhib wat Tarhib I/37) 

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW. bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang di antara kalian yang duduk menunggu solat, selama dia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, sayangilah dia'." (Hadis Riwayat Muslim  dari Abu Hurairah r.a., Sahih Muslim no. 469)

482. Soalan : Apakah hikmah yang akan kita perolehi jika kita solat  pada saf pertama (terhadapan) dan yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan dalam saf)?

Malaikat sentiasa berselawat (berdoa) kepada sesiapa sahaja yang berada di saf pertama (terhadapan)  dan tidak memutuskan saf ketika solat berjemaah.

Rasulullah SAW.  bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada (orang-orang) yang berada pada saf-saf terdepan"(Hadis Riwayat Abu Dawud (dan Ibnu Khuzaimah) dari Barra' bin 'Azib r.a, hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Dawud I/130)

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang-orang yang menyambung saf-saf" (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim meriwayatkan dari Aisyah r.a, hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Sahih At-Targhib wat Tarhib I/272)

483. Soalan : Seorang lelaki mati meninggalkan seorang isteri dan seorang seorang anak lelaki. Harta yang ditinggalkan ialah: sebuah rumah banglo dan sebuah kereta. Bagaimanakah cara untuk dibuat pembahagian secara hukum faraid?

Penyelesaian: isteri mendapat 1/8, dan 

Anak lelaki mendapat lebihan harta iaitu 7/8. 

Maka, pemilikan isteri terhadap banglo ialah 1/8, dan pemilikannya terhadap kereta ialah 1/8. 

Manakala anak lelaki mendapat pemilikan 7/8 daripada banglo, dan 7/8 daripada kereta.

Ertinya, apabila mereka (isteri dan anak lelaki simati) menyewakan rumah banglo dan kereta itu, keuntungannya hendaklah dibahagi berdasarkan nisbah 1:7. Begitu juga jika mereka menjual aset-aset itu, harganya dibahagi antara mereka berdua dengan nisbah 1:7 (isteri: 1. anak lelaki: 7).

Tetapi selama harta-harta itu tidak dijual, maka selagi itulah pemilikan mereka adalah secara isytirak. Cara ini dinamakan dalam ilmu faraidh sebagai cara nisbah.

484. Soalan : Bagaimanakah sikap ibu bapa jika ada lelaki baik datang untuk merisik dan melamar anak perempuaan mereka untuk dijadikan sebagai isteri? Apakah ciri-ciri yang perlu diutamakan oleh mereka berdua?

Pihak lelaki apabila ingin mencari calun isteri perlulah mengutamakan yang beragama kerana dengan beragama akan memudahkan kehidupan dan akan membawa kebahagiaan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikkannya dan agamanya. Maka pilihlah dalam hal keagamaannya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain daripada mengutamakan agama satu lagi perkara yang perlu di ambil perhatian adalah sekufu (persamaan). Perkahwinan sekufu adalah perkahwinan di antara suami dan isteri yang mempunyai persamaan dari segi keadaan hidup. Adakah Islam mengaku suami isteri itu bertaraf-taraf? Jawapannya ia. Taraf ini diukur dari darjat kehidupan. Tentunya tidak sama orang berilmu dengan yang tidak berilmu, orang yang bertakwa tidak sama dengan orang yang tidak bertakwa, orang yang suka berpoya-poya dan berbuat maksiat dengan orang yang warak. Dari aspek inilah Islam melihat adanya perbezaan hidup manusia. Walaupun begitu dari segi nilai kemanusiaan, manusia itu sama.

Pihak ibu bapa pula perlulah melihat akhlak dan keperibadia bakal suami anaknya yang soleh dan memahami agama walau pun mungkin dia bukanlah orang yang kaya-raya atau berketurunan bangsawan.

Sabdanya lagi yang bermaksud : "Apabila datang seorang lelaki yang elok agama dan akhlaknya melamar anakmu maka hendaklah kamu kahwini anak perempuan mu dengan dia. Jika kamu tidak kahwininya maka akan menyebabkan kerosakan dan fitnah yang besar akan berlaku."(Hadis Riwayat Tirmidzi-hasan sahih)

485. Soalan : Apakah kelebihan mengucapkan kalimah  "Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahu Akbar, Walahaulawala Quwatailla Billah"

Kelebihan banyak membaca zikir di atas adalah dosa-dosa kecil kita akan diampunkan oleh Allah SWT, kerana dosa-dosa besar hanya akan diampunkan dengan taubat nasuha.

Dari Abu Darda r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
"Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahu Akbar, Walahaulawala Quwatailla Billah" Sesungguhnya ia adalah BAQIYAYATUSSALIHAT, kalimat ini menghapus dosa-dosa sebagaimana daun-daun akan berguguran daripada pohonnya di musim dingin dan kalimat ini juga sebagai khazanah di dalam syurga."(Hadis riwayat Tabrani)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Selalulah kamu mengucapkan : Laa Illaaha Illallah dan beristighfar kepada Allah dan banyakkanlah kamu menyebut keduanya itu, kerana Iblis berkata : Aku binasakan manusia dengan noda dan dosa dan aku pula dibinasakan oleh manusia dengan Laa Ilaaha Illallah dan istighfar." (Hadis Riwayat Abu Ya'laa r.a)


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML