Wednesday, January 8, 2014

SOLAT TAHAJUD

Kekuatan Solat Tahajjud Membina Hubungan Dengan Allah

 Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang Mukmin, hidup kita hendaklah sentiasa mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Sentiasa melaksanakan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang oleh-Nya. Semua bentuk ibadah samaada yang wajib atau pun sunat semuanya akan difokuskan untuk melahirkan jiwa hamba, tunduk dan patuh dan menyerahkan diri sepenuhnya tanpa banyak bicara. 

Solat satu ibadah khusus solat sunat yang amat dituntut untuk dikerjakan oleh seorang Mukmin adalah solat tahajjud. Kekuatan solat tahajjud adalah dapat membina hubungan hati dengan Allah s.w.t.

“Tahajjud” bermaksud bangun dari tidur pada waktu tengah malam. Solat tahajjud boleh dikerjakan di permulaan, pertengahan atau penghabisan malam, asalkan sesudah menunaikan solat Isyak. Akan tetapi sebaik-baik waktu melakukannya ialah sepertiga malam yang terakhir. Sekurang-kurangnya solat tahajjud dikerjakan dua rekaat.

Sungguh Nabi s.a.w. solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Dalam satu riwayat Aishah berkata kepada Nabi s.a.w.: “Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang.” Baginda bersabda: “Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?”
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari)

Sekarang kita bandingkan amalan Rasulullah s.a.w. ini dengan diri kita sendiri yang bergelumang dengan dosa dan amat kurang sekali melakukan ibadah kepada Allah s.w.t. untung nasib belum dipastikan samada Syurga atau Neraka. Kenapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan solat tahajjud ini? Adakah kita menganggap diri kita sebanding atau lebih baik daripada Rasulullah s.a.w.?

Firman Allah s.w.t maksudnya :
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. 
(Surah al-Israa’ ayat 79)

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”. (Surah al-Dzaariyaat ayat15-18)

Memang benar solat Tahajjud ini hanyalah solat sunat tetapi ianya adalah solat sunat mu’akkad (yang di tuntut). Sekiranya junjungan besar kita Rasulullah s.a.w. begitu bersungguh-sungguh memastikan ibadah ini dilaksanakan sehingga bengkak-bengkak kakinya kenapa kita masih berat hati untuk melakukannya. Apatah lagi solat tahajjud ini merupakan solat yang paling utama sesudah solat fardhu.

Sahabat yang dimuliakan,
Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosaatau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” 
( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)

Dari Sayidina Umar Ibnu Khattab, dari Nabi s.a.w bersabda maksudnya : “Sesiapa yang mengerjakan solat di waktu malam (tahajjud) serta membaguskan solatnya, Allah akan memberikan dia kemuliaan sembilan macam. Lima macam di dunia, dan empat macam di akhirat.

“Yang lima macam di dunia, ialah :

1. Allah akan memeliharanya dari segala macam bahaya.
2. Ditunjukkan tanda-tanda sebagai orang yang taat pada mukanya.
3. Ia akan dicintai di hati orang-orang mukmin dan segenap hati manusia umumnya dan 
4. Pembicaraannya berisi hikmat ,
5. Dijadikan dia orang bijaksana, yakni dia dikurnai fikiran cerdas.

“Yang empat macam di akhirat nanti, ialah :

1. Dibangkitkan dia dari kubur, wajahnya putih bercahaya, 
2. Akan dimudahkan dia waktu dihisab, 
3. Ia akan melintas di atas shirat (titian) seperti kilat, dan 
4. Diberikan buku amalannya di tangan kanannya di hari kiamat."

Sahabat yang dihormati,
Dari Abu Hurairah bahwasanya Rasulullah bersabda maksudnya : “Rabb kita turun ke langit dunia pada setiap malam yaitu ketika sepertiga malam terakhir. Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan, siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku berikan, dan siapa yang yang memohon ampun kepadaKu, maka akan Aku ampuni”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu marilah sama-sama kita perbaiki amal kita dengan mengerjakan solat tahajjud, berdo'a dan bermunajat kepada Allah s.w.t. pada waktu seperiga malam akhir (dari jam 2 pagi -5 pagi). Kerana ketika ini do'a kita dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Ketika hati dan fikiran kita tenang, sunyi dari kesibukan dunia maka ketika saat inilah jika kita bermunajat hingga menitiskan air mata penyesalan dan memohon ampun kepada Allah s.w.t. maka akan mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. di hari akhirat nanti. Jangan sia-siakan masa dan umur kita dan buatlah sesuatu amalan yang boleh memberi kekuatan dalam membina hubungan kita dengan Allah s.w.t.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML