Wednesday, January 8, 2014

SOLAT BERJEMAAH

Dirikan Solat Fardu Berjemaah Untuk Mendapat Keredhaan Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardhu Jumaat ialah dua orang. Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.

 Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :“Solat seorang lelaki beserta dengan seorang lelaki lain lebih banyak pahalanya daripada dia bersolat seorang diri dan solat seorang lelaki beserta dua orang lelaki lebih banyak pahalanya daripada dia bersolat dengan seorang lelaki sahaja. Manakala jemaah yang lebih ramai maka jemaah itu adalah lebih dikasihi Allah.”

Tuntutan berjemaah pada solat lima waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.

Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa, Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah apabila mendengar azan tetapi engan menunaikannya solat berjemaah di masjid. Walaupun baginda tidak pernah melaksanakan perkara tersebut, namun amaran keras baginda mengenai perkara ini menunjukkan amalan solat berjemaah di masjid adalah suatu suruhan yang amat penting.

Nabi s.a.w. mewasiati umatnya supaya tidak meninggalkan solat berjemaah di masjid.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya, "Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendiriian solat fardhu berjemaah, maka ianya seperti pahala haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat sunat (iaitu dhuha) , maka ianya seperti pahala umrah sunat".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,Tabrani , Baihaqi )

Dari Ibnu Mas'ud r.a  berkata, " Barangsiapa ingin berjumpa dengan Allah pada hari qiamat sebagai seorang Muslim, maka hendaklah ia menjaga solat lima waktu di tempat azan dikemundangkan (di masjid), kerana sesungguhnya Allah telah mensyariatkan kepada Nabi kamu Sunanul-huda (jalan-jalan petunjuk dan kebaikan), dan sesungguhnya solat berjemaah lima kali di tempat azan dikumandangkan adalah termasuk sunanul-huda. Apabila kamu solat di rumah-rumah kamu sebagaimana solatnya orang yang suka tinggal di rumahnya (tidak mau berjemaah), bererti kamu meninggalkan sunah Nabi kamu. Tiada seorang lelakupun yang berwudhuk dengan sempurna, lalu pergi ke salah satu masjid, kecualai Allah mencatat untuknya pada setiap langkah yang dilaluinya satu kebaikan, mengangkatnya satu darjaat, dan menghapuskan dengannya satu kesalahan (dosa). Sungguh aku melihat di kalangan kami tak ada orang yang meninggalkan solat berjemaah di masjid kecuali orang munafik yang telah jelas kemunafikannnya. Dan sungguh, pernah ada seorang lelaki (kerana uzur) di dipapah oleh dua orang untuk mendatangi solat berjemaah, sehingga ia diberdirikan dalam saf".

Dalam riwayat yang lain disebutkan, : "Sungguh aku telah melihat di kalangan kami tak ada orang yang meninggalkan solat berjemaah di masjid kecuali orang munafik yang telah diketahui kemunafik annnya atau orang sakit. Jika dapat, maka seseorang akan berjalan dengan dipapah oleh dua orang sehingga ia mendatangi solat (berjemaah di masjid)"

Ibu Mas'ud berkata, " Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengajari kamu sunan ul-huda, dan sesungguhnya sebahagian dari sunanul-huda itu adalah solat di masjid yang mana azan dikemanadangkan di dalamnya"
( Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, Nasa'i, Ibu Majah- at Targhib)

Seorang sahabat, Abdullah bin Ummi Maktum pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. kemungkinan adanya keringanan untuk solat di rumah.
"Ya Rasulullah, aku seorang buta. Rumahku jauh dari masjid. Aku punya seorang. Adakah kelapangan bagiku untuk solat di rumah sahaja?."
Rasulullah balik bertanya, "Apakah engkau mendengar azan?"
Abdullah menjawab, "Ya aku mendengarnya."
Rasulullah bersabda, "Aku tidak membenarkan bagimu untuk solat di rumah."
(Hadis Riwayat Muslim dan Nasa'i)

Sahabat yang dihormati,
Sekiranya Abdullah bin Ummi Maktum yang buta mata dan jauh pula dari masjid masih tidak dibenarkan oleh Nabi s.a.w. untuk mengerjakan solat fardu dirumah, apatah lagi kita yang memiliki kenderaan (kereta atau motosikal) yang mana masjid atau surau banyak ada di merata tempat, tidak ada alasan kukuh untuk kita mengabaikan solat fardu berjemaah dan hanya solat bersendirian dirumah.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Kalau seorang tidak pergi ke masjid meskipun dia telah dengar azan (dia lebih suka solat di rumah) tanpa sesuatu 'uzur syar'i yang kuat maka solatnya tidak diterima." Apabila para sahabat bertanya apakah 'uzur syar'i yang kuat itu, maka baginda menjawab, "Ketakutan atau sakit."

Kenapakah Rasulullah s.a.w. begitu menekankan untuk solat berjemaah di masjid? Rahsianya, adalah kerana masjid adalah asas utama dan terpenting bagi pembentukan masyarakat Islam.

Masyarakat Islam tidak akan terbentuk secara kukuh dan rapi kecuali dengan adanya komitmen terhadap sistem, aqidah dan anjuran Islam. Hal ini hanya dapat di tumbuhkan dengan semangat masjid.

Tidak hairanlah kalau sahabat berlumba-lumba mendekatkan dirinya di masjid. Mereka tidak rela satu pun kesempatan solat jemaah berlalu begitu sahaja. Malah, sebahagian sahabat Ansar yang tinggal jauh, ramai yang ingin memindahkan rumahnya berhampiran masjid.

Rasulullah s.a.w. juga menjelaskan bahawa jalan menuju masjid dihampiri pahala dan kebaikan. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Barangsiapa yang pergi ke masjid untuk berjemaah, maka satu langkah menghapuskan kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lainnya dituliskan kebaikan. Hal itu berlangsung pada saat berangkat maupun pulang."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Pada hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Orang yang paling besar mendapatkan pahala solat adalah yang paling jauh perjalanannya ke tempat berjemaah. Sedangkan orang yang menunggu-nungu waktu solat berjemaah pahalanya lebih besar daripada orang yang solat sendirian, setelah itu dia tidur."

Sahabat yang dikasihi Allah,
Salah satu sifat orang Mukmin yang beramal soleh yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupannya adalah solah fardu di masjid secara berjemaah. Sentiasa memakmurkan masjid-masjid Allah.

Masjid adalah jantung kehidupan umat Islam. Surutnya interaksi seseorang dengan masjid mengakibatkan imannya semakin lemah. Semangat untuk beramal soleh pun secara langsung menjadi sukar. Jiwanya gersang, kering kontang. Bagi seorang Muslim, 'Rumah Allah' adalah tempat penyejuk jiwa. Setiap saat menawarkan keteduhan dan kedamaian. Sehingga dimana pun ia berada, hatinya selalu terpaut dengan masjid.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). "
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Musliam)

Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan mendapat banyak fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia berulang alik ke masjid dan semasa dia berada dalam masjid.

Sesungguhnya solat akan jadi 'peguam bela' untuk tuan diri. Disamping itu  juga  sesiapa sahaja hati dan jiwanya sentiasa terpaut di masjid dan sentiasa mendirikan solat fardu berjemaah akan mendapat perlindungan Arsh di Padang Mahsyar nanti .

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, " Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat perlindungan Allah pada saat tak ada lagi perlindungan selain perlindungan-Nya, iaitu :
1. Pemimpin yang adil.
2. Pemuda yang selalu beribadah kepada Allah s.w.t.
3. Seorang yang selalu terikat hatinya ke masjid.
4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, mereka bersatu dan berpisah kerana-Nya.
5. Seorang yang apabila dibujuk (untuk berbuat dosa) oleh wanita cantik dan mempunyai kedudukan, maka orang itu berkata, 'saya takut kepada Allah.'
6. Seorang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi.
7. Dan seorang yang mengingati Allah di tempat yang sepi sampai ia mencucurkan air matanya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat,
Musuh Islam sangat gerun apabila umat Islam melaksanakan solat berjamaah, kerana umat Islam dapat disatukan dalam solat-solat berjamaah dan sekaligus dapat mengumpulkan tenaga untuk menjahanamkan kufar (kafir) yang sentiada mencari jalan menjatuhkan Islam.

Mana-mana kampong yang tidak mengimarahkan masjid atau solat berjamaah , maka kampung tersebut telah dikuasai syaitan dan mudah dipesongkan oleh syaitan. Syaitan tidak akan berputus asa dan tidak akan jemu berusaha untuk merosakkan keturunan adam ataupun manusia.

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya :"Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, samada di kampong atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Kamu hendaklah berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulan)”. 
(Hadis Riwayat Abu Dawud dan An-Nasai)


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML