Monday, November 3, 2014

RASULULLAH : "BAPA POLITIK ISLAM"



Benci politik. Tidak suka politik. Berkecuali dalam politik. Orang-orang ini tidak tahu apa erti politik. Dia juga tidak sedar bahawa Islam juga perlu berpolitik. Memilih pemimpin yang mementingkan rakyat juga adalah salah satu usaha dakwah dalam politik. Antara kita mahu percaya ataupun tidak, politik memang satu kepentingan.

Politik itu seni. Ia memerlukan kualiti pemikiran dan kebijaksanaan kepimpinan untuk menggarapnya. Soal mahu menjadi AHLI POLITIK atau tidak itu adalah soal yang kedua. Tetapi manusia tidak boleh memencilkan diri daripada politik. Benar sekali kata Michael B. Coleman, ahli politik daripada parti Demokrat Amerika Syarikat, " you may not interested in politics, but politics are interested in you".

Muslim tidak mampu untuk tidak peduli kepada politik. Politik itu adalah seni mengatur kehidupan manusia, dan ia adalah salah satu juzuk terpenting dalam agamanya-islam. Memencilkan diri daripada politik bermaksud meninggalkan cabang besar amar makruf nahi mungkar. Tidak mungkin tanggungjawab ini terbiar , melainkan pasti ada dosa dan fitnah yang mengiringinya.

Muslim boleh mengambil sikap non-partisan sebagai bentuk pendirian politiknya. Mereka melaksanakan urus tadbir kehidupan manusia melalui badan-badan NGO atau pertubuhan kebajikan, mengikut kebolehan dan peluang masing-masing. Tetapi muslim tidak boleh mengambil sikap tidak ambil peduli kepada parti.

Jesteru membiaknya spesies Muslim yang alergi dengan politik adalah wabak yang mengundang kehancuran. Dalam sopan mereka oportunis, dalam diam mereka menjadi kaum yang manipulatif. Semuanya gara-gara mahu aman, tetapi tidak mahu berusaha dan menyumbang kepada keamanan. Mahu keselamatan tetapi tidak mahu memperbaiki apa-apa untuk kebaikan bersama. Lantang mengkritik polisi-polisi yang membebankan tetapi terlalu malas untuk bertindak lebih sekadar mengkritik. Mereka menikmati keamanan hasil penat lelah orang lain, mereka menikmati keselamatan hasil jerih payah orang lain.


Apa hukumnya politik dengan agama, adakah kedua-duanya boleh dipisahkan?

Dalam surah Al Maaidah:49 Allah berfirman yang bermaksud :

"Engkau hukumlah antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah engkau turut hawa nafsu mereka dan berwaspadalah terhadap mereka supaya jangan mereka menyesatkan engkau dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepada engkau".

Berdasarkan ayat ini jelas bahawa Allah telah memerintahkan supaya orang-orang Islam yang diberikan kuasa untuk memerintah wajiblah supaya melaksanakan hukum dengan hukum yang telah diturunkan oleh Allah.

Jadi soal politik (pemerintahan) adalah suatu cabang dari syariat Islam yang mulia. Ini kerana telah ada dalil yang jelas di dalam al-Quran. Bila dah ada dalil yang jelas, mana boleh memisahkan politik dari Islam, melainkan yang berfahaman sesat, terutamanya kerajaan yang mengamalkan sistem sekularisme.




ISLAM AGAMA SYUMUL

Tidak ada satu aspek pun dalam kehidupan dapat dipisahkan dari agama islam. Allah telah menjadikan agama islam itu sebagai satu agama yang syumul merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah politik. Imam Hassan Al-Banna menetapkan usul 20 yang mana perkara pertama dalam usul tersebut ialah islam agama yang menyeluruh. Dalam usul pertama ini terdapat 18 perkara penting antaranya ialah islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan ummat. berdasarkan ini kita tahu bahawa politik juga adalah sebahagian dari agama. jadi tidak boleh tidak, politik negara mestilah selari dengan agama islam berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Pendapat mengatakan jika seseorang terlibat dengan politik maka imannya menjadi lemah tidak boleh diguna pakai, ini terbukti kerana Rasulullah SAW juga berpolitik malah menjadi ketua seluruh ummat islam namun baginda tetap teguh dengan agama islam. para sahabat juga berpolitk namun tidak sedikit pun keimanan mereka berkurang malah mereka menjadi lebih tawadhu' dan merendah diri. begitu juga para tabiin, tabi' tabiin, dan khalifah-khalifah islam yang terdahulu.

Politik tidak menjadikan iman mereka lemah dan berkurangan.ini kerana tapak iman dalam diri mereka kuat, tidak rapuh dan tidak roboh dibadai dugaan dan cubaan. itulah bezanya kita dengan mereka. ummat akhir zaman ini ditimpa satu penyakit iaitu cintakan dunia takutkan mati. sebab itu terdapat segelintir dari kita apabila berada di atas mudah lupa diri. mata mereka jadi buta disebabkan gila terhadap dunia yang sementara sehingga sanggup gadai maruah dan  agama. Berkurangnya keimanan mereka itu bukan disebabkan politik tetapi disebabkan penyakit mereka itu dan disebabkan tiada tapak keimanan yang kuat dalam diri mereka. 



RASULULLAH  : AHLI POLITIK BERKREDIBILITI

Rasulullah SAW tidak memimpin secara politik demokrasi, secara diktator atau pun secara autokrasi. Dengan kefahaman yang tinggi tentang jiwa, akal, dan perasaan manusia, Rasulullah SAW telah berjaya memimpin secara fitrah. Maksudnya, Rasulullah SAW membawa manusia ke jalan yang diyakininya tanpa paksaan dan tekanan. Ia mampu memindahkan hasrat yang terpendam dilubuk hatinya menjadi hasrat orang lain. Ertinya politik Rasulullah ialah politik dari hati ke hati. 

Allah SWT berfirman: 

"Tiada paksaan dalam agama, sesungguhnya telah nyata kebenaran daripada kesesatan."

Atas dasar ini, Rasulullah SAW berjaya menawan jiwa manusia dan daripada situlah seluruh harta, tenaga dan nyawa pengikut-pengikutnya diserah bulat-bulat untuk Islam. Di antara fitrah semulajadi manusia ialah mahu pandangannya dihormati dan dihargai. Rasulullah sedar hakikat ini. 

Oleh itu apabila Rasulullah berhadapan dengan ahli ekonomi seperti Abd Rahman bin Auf, yang minat serta kecenderungannya di bidang perniagaan, beliau memupuk bakat itu supaya terus subur dan berkembang. Akhirnya Abdul Rahman Bin Auf pun menjadi pengusaha yang berjaya.

Bila Rasulullah SAW berhadapan dengan pakar di bidang ketenteraan seperti Khalid Al Walid, maka semangat perwiranya terus disuburkan ke arah jihad fisabilillah, kebalikan daripada semangat Assobiyah (Nasionalisme).

Bila baginda berhadapan dengan ahli fikir, pakar strateji dan kepala perancang seperti Umar IbnulKhattab, maka Rasulullah SAW terus mendorong ke arah bagaimana untuk menggunakan kepakaran itu buat kemenangan dan kejayaan Islam. Oleh itu setiap individu di kalangan para sahabat akan rasa dihargai kerana bakat dan kelebihan semulajadinya berperanan dalam perjuangan Islam.

Seorang buruh, petani, peniaga, pentadbir dan semua lapisan masyarakat telah disusun oleh Rasulullah SAW dalam satu barisan yang mempunyai kegunaan dan peranan masing-masing. Atas dasar ini, jika ada gerakan Islam yang menumpukan perhatian mereka kepada golongan 'elit' dan 'intelek' sahaja, perjuangan mereka sebenarnya telah menyimpang daripada sirah Rasulullah SAW!


BELAJAR DARI SIRAH

Rasulullah adalah 'Bapa Politik Islam'. Baginda dapat mencari ruang di celah-celah asakan jahilyyah untuk menegakkan Islam. Rencananya dapat menembusi dinding Darul Nadwah, "Parlimen" orang Arab jahiliyyah dan berjaya menukar orang yang pernah duduk di kerusi Darul Nadwah menjadi "orang penting" dalam pemerintahan Islam. 

Sebab itu bukanlah mustahil jika ada pejuang Islam yang mampu mengubah tokoh-tokoh politik yang sedang berkuasa sekarang kepada cara pemerintahan dan pentadbiran Islam. Sekali lagi, kita katakan "Ini tidak mustahil!"

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML