Friday, September 26, 2014

NIKAH YANG TERHALANG



Isu berkenaan anak muda yang dihalang untuk bernikah, bukan lagi isu baru. Bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia Islam. 

Dan hal ini juga merupakan antara sebab meningkatnya penzinaan. Ini sangat membimbangkan kerana Nabi s.a.w pernah bersabda : 

"Diantara tanda-tanda terjadinya hari kiamat iaitu diangkatnya ilmu, kebodohan bermaharajalela, banyaknya orang yang meminum minuman keras, dan zina dilakukan dengan terang-terangan." (Sahih Muslim)

Ibnu Hajar Al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, maksud zina bermaharajalela (hadith daripada jalur sahih Bukhari) adalah dilakukan secara terang-terangan sehingga tidak disembunyikan lagi kerana banyaknya orang yang melakukannya.

Nah! Berapa banyak zina di sekeliling kita pada hari ini? Tepuk dada, tanya hati.

Syariat Islam berkenaan zina adalah sangat jelas dan tegas, sehinggakan Allah di dalam al quran melarang kita daripada mendekati zina itu sendiri. Berbeza dengan negara-negara bukan Islam, yang menjadikan seks bebas sebagai cara melempiaskan nafsu syahwat sedangkan Islam adalah agama yang suci dan sangat menjaga keturunan. 

Kata-kata yang dikaitkankan kepada saidina Umar r.a, "didiklah anak-anakmu mengikut zaman mereka dan bukan pada zaman engkau dididik" menunjukkan bahawa anak itu perlu dididik berdasarkan cabaran dizaman mereka. 

Apatah lagi di zaman ini yang digelar dunia tanpa sempadan, internet dimana-mana, pusat membeli belah, panggung wayang, televisyen, pergaulan bebas di pusat pengajian, rasa malu semakin hilang dan sebagainya. Oleh sebab itu, maka tidak hairanlah apabila kajian yang dilakukan mengatakan bahawa negara-negara Islam merupakan antara negara yang paling kerap melayari laman web porno (lucah)!



Banyak faktor kenapa pernikahan itu dihalang, antaranya adalah kerana darjat, pekerjaan, harta, rupa paras, anak masih belajar di universiti, dan lain-lain. Ini adalah realiti masa kini.

Kadangkala kasihan melihat beberapa ramai sahabat yang mengadu keinginan mereka untuk bernikah dihalang walhal mereka sudah mampu daripada segi nafkah zahir dan batin. 

Bukan mahu menyalahkan ibubapa, tetapi ibubapa seharusnya bermuhasabah dan merenung kembali, atas sebab apa anak mereka ingin bernikah dan apa implikasinya jika anak kesayangan mereka itu dihalang daripada bernikah. 

Memang mudah sebahagian orang mengatakan bahawa orang Islam di Palestin dan Syria bermatian berjihad sedangkan pemuda dan gadis muslimah di Malaysia terhegeh-hegeh untuk berkahwin. Namun mereka yang berkata seperti ini sebenarnya sendiri tidak memahami apa itu jihad didalam Islam.

Oleh itu saya menyeru kepada ibubapa, permudahkanlah anak kalian untuk bernikah, itu adalah yang terbaik untuk mereka kerana Allah telah memerintahkan kita untuk mengahwinkan mereka yang sendirian antara kita. 



Perkara ini sama dengan ketakutan ibu bapa untuk melepaskan anak kecil bermain air sungai atau memanjat pokok, kerana ia berisiko. Ibu bapa takut melepaskan anak untuk berkahwin awal kerana ia berisiko. Tetapi, ibu bapa yang bijak tidak dengan buta tuli melarang anak mereka bermain air sungai atau memanjat pokok sebaliknya mereka mengajar anak-anak bagaimana untuk berenang dan memanjat pokok serta mengawal anak-anak yang masih baru kepada sungai dan pokok agar bermain di air cetek sahaja dan memanjat pokok rendah sahaja. Apabila mereka sudah pandai berenang dan memanjat dengan hebat, barulah dilepaskan ke air lebih dalam dan pokok lebih tinggi. Jika sejak awal-awal lagi kanak-kanak dilarang bermain air atau memanjat pokok, malah tidak pula diajar berenang dan memanjat, sampai bila-bila pun mereka tidak akan pandai malah suatu hari mereka mungkin mencuri-curi untuk berenang atau memanjat sendiri tanpa ajaran lalu menyebabkan perkara tidak diingini seperti lemas, atau mati lemas, atau cedera terjatuh dari pokok.

Demikianlah perkahwinan. Ibu bapa yang bijak tidak akan melarang perkahwinan dan berdiam diri. Ibu bapa yang bijak akan memandu anak-anak, membantu menunjuk jalan, memberi ajaran, memberi sokongan dan bantuan kepada anak-anak yang memilih untuk kahwin awal semasa belajar. Ibu bapa perlu memberi lebih bantuan dan sokongan hanyalah pada peringkat awal perkahwinan sahaja. Apabila perkahwinan anak-anak telah melalui satu tempoh kematangan, mereka telah stabil dan telah menjumpai rentak kehidupan mereka, maka ibu bapa tak perlu bersusah payah lagi malah boleh senyum gembira kerana anak mereka kini telah ‘selamat’. Selamat diijabkabulkan dan selamat mendirikan rumah tangga.

Ingatlah, sekali anak kita itu berbicara tentang pasangan berlawanan jantina, itu tandanya dia sudah memasuki fasa baru iaitu fasa 'mendekati zina'. Membiarkan anak itu 'mendekati zina bahkan sampai tahap melakukannya' adalah lebih besar mudaratnya daripada membiarkan anak berdikari dan bersusah dalam masa awal perkahwinan.

Disebabkan itu, ada segelintir anak-anak yang terpaksa bertegas, dan memberontak apabila hasrat berkahwin dihalang tanpa sebab sedangkan mereka sudahpun layak untuk berkahwin, ini bukanlah kerana mereka derhaka, tidak mendengar cakap, atau tidak sayang kepada ibubapa, itu adalah kerana mereka ingin memelihara kehormatan mereka, memelihara iman dan agama mereka kerana mereka khuatir apabila mereka tidak bernikah, maka akan ada kerosakan yang lebih besar akan terjadi. Maka, taat kepada perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri adalah tidak dibenarkan. Tetapi si anak perlu berkata dengan baik, berhikmah dan tidak meninggikan suara kepada ibubapa apabila bertegas dengan keputusan untuk bernikah. 

Alhamdulillah, beberapa kitab fatwa karangan Syeikh Ibnu Taimiyah, Syeikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin dan juga Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardawi sempat ditelaah berkaitan permasalahan pernikahan yang dirasa perlu untuk dipaparkan beberapa daripadanya. Dan saya juga terpaksa meringkaskan beberapa bahagian kerana dirasakan terlampau panjang.

Ada pun fatwa-fatwa ulama yang lain, tiada saya berkesempatan mentelaah kerana kelemahan sebagai manusia yang sibuk dengan urusan lain. Semoga Allah memberikan kelapangan  dan keberkatan masa kepada kita semua. InsyaAllah.

..................................................................................................................................................................

Fatwa Syeikh Ibnu Taimiyah

Wanita dipersulitkan atau dipaksa oleh orang di masa jahiliyah dan orang zalim yang menikahkan mereka dengan lelaki yang mereka pilih kerana suatu tujuan dan bukan demi kemashalatan wanita tersebut. Mereka juga memaksa para wanita untuk hal itu atau menakut-nakutkannya untuk melakukannya (nikah dengan orang yang tidak diingini). Mereka juga mempersulitkannya untuk menikah dengan lelaki yang sekufu' dengannya hanya kerana adanya permusuhan (kebencian) atau kerana ada sesuatu tujuan tertentu. Semua ini adalah perbuatan orang-orang jahiliah, orang-orang yang zalim dan orang-orang yang bermusuhan. Semua itu adalah sebahagian daripada apa yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan disepakati oleh kaum Muslimin pengharaman semua itu. (Majmu'ul Fatawa, 32/52)

Fatwa Syeikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin 

Soalan :

Sebahagian wali melarang anak perempuannya bernikah dengan orang yang sekufu dengannya, maka bagaimana hukumnya. Dan bagaimana sikap (tindakan) perempuan tersebut?

Jawapan :

Masalah ini adalah masalah besar, kerana sebahagian lelaki mereka khianat kepada Allah s.w.t dan khianat kepada amanah mereka, melakukan perbuatan keji kepada anak-anak perempuan mereka sehingga wajib ke atas wali untuk mengikuti apa yang diredhai Allah dan RasulNya. Allah s.w.t telah berfirman :


"Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan" (24 : 32)

Nabi s.a.w telah bersabda : 


"Apabila datang kepada kalian orang yang kalian redhai akhlak dan agamanya, maka nikahkanlah (dengan anakmu). Jika tidak kalian lakukan, maka akan terjadi fitnah dan kerosakan yang banyak di muka bumi." (Dinilai hasan dalam sunan Ibnu Majah)

Sebahagian orang (semoga kita dilindungkan daripadanya) menjadikan anak perempuannya sebagai barang dagangan yang dia jual belikan kepada orang yang mereka inginkan  dan menghalanginya daripada orang yang (sebenarnya) mereka redha dengan agama dan akhlaknya.

Jika kita sampai kepada satu tahap, dimana anak perempuan berani, (ketika mana ayahnya menghalang pernikahan dengan orang yang sekufu (sepadan) daripada segi akhlak dan agamanya) lalu pergi kepada qadhi dan mengatakan kepada ayahnya : "Nikahkanlah dia atau wali lain akan menikahkannya", maka ini adalah hak syar'ie bagi anak perempuan tersebut, akan tetapi kebanyakan gadis merasa malu untuk melakukan hal itu.

Dan yang tersisa (daripadaku) adalah nasihat kepada si ayah untuk bertakwa kepada Allah dan tidak melarangnya daripada pernikahan sehingga anak tersebut akan rosak, dan hendaklah dia membandingkan (membayangkan) hal itu apabila terjadi kepada dirinya, seandainya dia dihalang daripada bernikah, maka apa akan terjadi dirinya sendiri?

Sementara anak perempuan yang dia halang untuk bernikah akan menjadi musuh kepadanya di hari kiamat : 


"Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapanya, dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya." (80:34-37)

Sehinggakan para wali, baik ayah atau saudaranya, harus bertakwa kepada Allah dan tidak melarang para wanita (anak perempuan) daripada apa yang menjadi hak mereka untuk bernikah dengan orang yang diredhai agama dan akhlaknya.

Seandainya anak tersebut memilih orang yang tidak diredhai daripada sisi agama dan akhlaknya, maka dia (si wali) boleh menghalangnya. Akan tetapi jika anak tersebut memilih orang yang soleh dan akhlaknya baik, kemudian walinya melarang (untuk bernikah) kerana hawa nafsu dalam diri si wali, maka itu adalah perbuatan yang haram, berdosa dan berkhianat. Apa sahaja yang akan menimbulkan kerosakan kepada anaknya (jika tidak bernikah), maka dosa atas orang yang menghalanginya (wali).


Fatwa Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardawi

Soalan : (telah disingkatkan kerana terlampau panjang) 

Saya terpikat kepada seorang jejaka yang berilmu, berakhlak dan beragama. Namun pada waktu peminangan, saya dan dia diserang hebat dan pinangannya ditolak oleh keluarga saya hanya kerana kedudukan keluarganya yang rendah daripada keluarga kami. Saya tidak boleh hidup tanpa dia dan bersedia melakukan apa sahaja meskipun nyawa. Sekiranya saya dipaksa berkahwin dengan orang lain, ini seolah hukuman bunuh bagi saya. Kalau bukan kepada fizikal saya, tetapi kepada mental saya (tertekan). Apakah ada penyelesaian dari sudut syarak yang mulia?

Jawapan : (telah disingkatkan kerana terlampau panjang)

Saya berpendapat bahawa jika seperti kata pepatah 'kapak telah menyinggahi kepala' , ataupun bila 'sudah jatuh cinta' dan kedua belah pihak saling menyintai dan termasuk dalam cinta yang suci dan berlaku dalam tempoh yang panjang yang membuktikan bahawa ia bukan keinginan secara tiba-tiba ataupun permainan keluarga, dalam keadaan ini sepatutnya keluarga berfikir dengan teliti dan bijak, jangan berkeras dengan permintaan mereka dan menolak peminang atas sebab yang remeh ataupun tanpa sebab sama sekali.

Sepatutnya mereka (keluarga) mendengar dengan baik hadis nabi yang mulia diriwayatkan daripada Ibnu Abbas daripada Nabi s.a.w sabdanya : 


"Tiada yang selayaknya kasih sayang antara dua orang yang bercinta sebagaimana kasih sayang di antara suami dan isteri" (Dinilai sahih dalam Sunan Ibnu Majah)

Maksud rasulullah s.a.w ialah perkahwinan adalah jalan terbaik untuk mengubat perasaan yang telah sampai ke tahap 'kasih' dan 'asyik' di antara lelaki dan perempuan. 

Sesungguhnya Islam adalah syariat yang praktikal, oleh itu ia perlu melihat perlunya ikatan perasaan diikat dengan ikatan syariat dan undang-undang yang dibina diatas keluarga Islam, yang disuburi cinta sebagaimana disuburi agama.

Keluarga yang memaksa pandangan mereka (diterima) dan memekakkan telinga daripada jeritan hati pemuda dan pemudi, serta mengutamakan pandangan masyarakat (yang bersifat riak dan menunjuk-nunjuk) dan kebanggaan jahiliah dengan keturunan dan kekayaan (jawatan yang bagus), akhirnya akan mendatangkan kecelakaan kepada anak-anak (lelaki dan perempuan) atau menyebabkan mereka menentang adat kebiasaan. Dengan itu, 'keturunan' atau keutamaan (yang dipandang) pada hari ini diberikan kepada ilmu, pekerjaan dan kejayaan.

(Walhal) Perkara yang diutamakan oleh Islam bagi lelaki dan pelamar adalah agama dan akhlaknya yang keduanya merupakan unsur terpenting bagi Muslim. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w yang mulia bersabda : 


"Apabila datang kepada kalian orang yang kalian redhai akhlak dan agamanya, maka nikahkanlah (dengan anakmu). Jika tidak kalian lakukan, maka akan terjadi fitnah dan kerosakan yang banyak di muka bumi." (Dinilai hasan dalam sunan Ibnu Majah)



No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML