Thursday, July 24, 2014

USAHA LINDUNGI DIRI DARI FITNAH DAJJAL

Keluarnya al-Masih ad-Dajjal adalah antara tanda  besar bahawa Hari Kiamat semakin hampir berlaku.  Dajjal pasti akan keluar menjelang hari kiamat bagi memesongkan ummat manusia agar sesat dari landasan yang sebenar.

Hal tersebut telah dinyatakan oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam melalui hadith-hadith Baginda.

Justeru, kita yang berada  pada akhir usia dunia ini   sangat wajar berhati-hati agar tidak ditipu dan didustai dengan fitnah dan tipu daya si Dajjal itu.  Malah sekalian Nabi hingga Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu mengingatkan ummatnya agar berhati-hati terhadap fitnah Dajjal.

Antara usaha yang dapat dilakukan untuk melindungi diri dari terpedaya dengan fitnah Dajjal ialah:

  •     Memantapkan aqidah supaya dapat mengenali siapa ALLAH dan sifat-sifatNYA.  Kerana Dajjal pada kemunculannya akan mengaku dirinya sebagai tuhan dan banyak tipu helah akan dilakukan bagi memesongkan iman dan aqidah   manusia.

  •     Beramal ibadah dengan sebenar-benarnya menurut seperti yang disuruh ALLAH subhanahu wata’ala melalui teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam.  Ini adalah perkara asas dan umum yang mesti kita lakukan, agar iman menjadi mantap.

  •     Mengenali sifat-sifat Dajjal melalui banyak hadith yang menerangkan nya.  Tujuannya supaya kita jadikan ia sebagai panduan untuk mengelakkan diri dari terjebak mengikuti dan   mempercayainya.

  •     Berdo’a kepada ALLAH agar kita dilindungi dari fitnah  Dajjal.  Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu berdo’a dengan do’a berikut selepas selesai tahiyyat akhir, sebelum memberi salam:

    
اَللَّهُمَّ اِنِّي اَعُوْذُ بِكَ
    
مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ
    
وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ
    
 وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ
    
وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيْحِ الدَّجَّالِ

    “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung denganMU dari azab Neraka, dan dari azab kubur, dan dari fitnah kehidupan dan kematian, dan dari kejahatan fitnah al-Masih ad-Dajjal.”

    (Muttafaqun `alaih)



    Menghafal 10 ayat awal dari surah al-Kahfi.

    “Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal   surah al-kahfi, pasti terlindung  daripada Dajjal.

    (HR Muslim 809)

    Mengamalkan membaca surah al-Kahfi pada setiap hari Jumaat.

    “Barangsiapa membaca surah al-kahfi pada hari Jumaat, nescaya dirinya terpelihara   hingga lapan hari, daripada segala   fitnah yang melanda, dan jika keluar Dajjal sekalipun, dia akan terpelihara daripadanya.”

    (Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5:355)

    Menjauhkan diri dari berjumpa dengan Dajjal jika mengetahui Dajjal sudah keluar.  Atau tinggal di Makkah atau Madinah kerana Dajjal tidak dapat memasuki 2 kota suci tersebut.

    “Barang siapa mendengar ada Dajjal maka hendaklah ia bersembunyi darinya. Demi ALLAH ada seseorang yang mendatanginya dan dia mengira bahawa ia beriman lantas dia mengikutinya kerana banyak syubhat atau kesamaran yang menyertainya.”

    (HR Ahmad, Abu Daud dan Hakim)

    Tidak ada suatu negeri pun yang tidak akan dimasuki Dajjal  kecuali Makkah & Madinah.”

    (HR Bukhari)

Semoga ALLAH `Azza wa Jalla memelihara kita dari fitnah Dajjal dan memasukkan kita bersama golongan hamba-hamba yang diredhoiNYA, amin…

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML