Sunday, April 27, 2014

CARA NABI MUHAMMAD S.A.W MEMBACA AL-QURAN

Bacalah Al-Quran dan fahamilah ia…

Di dalam tulisan bertajuk Kelebihan Membaca dan Menghayati Al-Quran telah disenaraikan beberapa hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam mengenai anjuran, galakan dan kelebihan berkaitan Al-Quran.  Semoga dengannya kita semakin bersemangat untuk mendampingkan diri kita dengan Al-Quran, in shaa’ ALLAH.

Berikut ini pula diterangkan mengenai cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Quran.  Tujuannya adalah supaya kita sama-sama meniru dan mengikuti cara yang terbaik ini, in shaa’ ALLAH.  Hadith-hadith adalah dipetik dari Syama’il Muhammadiyyah susunan al-Imam at-Turmudzi dan Riyadhus Solihin susunan al-Imam an-Nawawi – rahimahumallah.

1)  Membaca dengan jelas, perkataan demi perkataan.
Ya`la bin Mamlak radhiAllahu `anhu bertanya kepada Ummu Salamah radhiAllahu `anha mengenai cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Quran.  Lalu Ummu Salamah menjelaskan bahawa Rasulullah membaca Al-Quran dengan jelas, perkataan demi perkataan.
(Diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Turmudzi dan Nasa’i)

2)  Memanjangkan bacaan sesuai dengan hukum tajwid
Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, aku bertanya kepada Anas bin Malik radhiAllahu `anhu:
“Bagaimanakah cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Quran?”
Anas menjawab:  “Baginda memanjangkan bacaan (sesuai dengan hukum tajwid).”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, at-Turmudzi, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)

3)  Memotong bacaan pada setiap ayat.
Ummu Salamah radhiAllahu `anha berkata:
“Adalah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam memotong bacaan Baginda (pada setiap ayat).
Baginda membaca ‘  الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ  ‘ lalu berhenti.
Kemudian Baginda membaca ‘  الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ  ‘ lalu berhenti.
Kemudian Baginda membaca ‘  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ  ‘.”
(Diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Turmudzi, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah)

4)  Kadang-kala dengan suara yang perlahan, kadang-kala dengan suara yang kuat.
`Abdullah bin Abi Qais radhiAllahu `anhu berkata:
Aku bertanya kepada `A’ishah radhiAllahu `anha mengenai bacaan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam:  “Adakah Baginda membaca secara perlahan atau pun kuat?”
Beliau menjawab:  “Baginda pernah membaca dengan kedua-dua cara.  Kadang-kala Baginda membaca dengan perlahan.  Dan kadang-kala Baginda membaca dengan kuat.”
Aku membalas:  “Seluruh pujian kepada ALLAH yang memberikan kemudahan dan kesenangan dalam perkara ini.”
(Diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, at-Turmudzi, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)

5)  Membaca dengan suara yang indah
`Abdullah bin Mughaffal radhiAllahu `anhu berkata:
Aku melihat Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam duduk di atas tunggangannya pada Hari Pembebasan Makkah sambil membaca:
إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا.  لِّيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ
(Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.  Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian…)
`Abdullah bin Mugahffal berkata:  “Baginda membaca ayat ini dengan suara yang indah.”
Mu`awiyyah bin Qurrah (seorang daripada yang merekodkan hadith ini) berkata:  “Seandainya orang tidak berkumpul di sekelilingku, pasti akan kubaca seperti itu” atau “sama indah bacaannya dengan Rasulullah.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Turmudzi, Nasa’i dan Ahmad.)
Dari al-Bara’ bin `Azib radhiAllahu `anhu berkata:
“Aku mendengar Rasulullah sallAllahu `alihi wa sallam membaca pada waktu `Isya’ surah وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ.  Aku belum pernah mendengar seorang pun yang suaranya lebih merdu dari suara Baginda.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

6)  Kadang-kala mendengar orang lain membaca Al-Quran
Dari Ibnu Mas`ud radhiAllahu `anhu berkata:
Bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam berkata kepadaku:  “Bacakanlah Al-Quran untukku.”
Aku berkata:  “Wahai Rasulullah, saya membacakan Al-Quran untuk tuan?  Padahal kepada tuan lah Al-Quran diturunkan.”
Baginda bersabda:  “Sesungguhnya aku ingin mendengar Al-Quran dibaca oleh orang lain.”
Maka aku pun membacakan untuk Baginda surah an-Nisa’ sehingga sampai ayat:
فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا
(Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada Hari Akhirat kelak), apabila KAMI datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan KAMI juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?).
Kemudian Baginda bersabda:  “Cukuplah sampai di sini.”
Saya menoleh kepada Baginda, tiba-tiba kedua matanya mencucurkan air mata.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

*Ayat tersebut adalah ayat ke-41, surah an-Nisa’.

Semoga bermanfaat.  Mudah-mudahan hidayah dan taufiq ALLAH tercurah ke atas kita semua, amin…

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML