Saturday, March 22, 2014

SOALAN LAZIM TENTANG ZAKAT

GAMBAR HIASAN



1. Mengeluarkan Zakat Kepada Orang Yang Dikenali
Soalan: 
Assalamu'alaikum. Saya ingin bertanya, jika saya berzakat fitrah atau berzakat harta benda (wang) apakah boleh saya kirimkan melalui wang pos kepada orang-orang yang saya telah kenal pasti. Jika ia dibenarkan, bagaimana pula dengan akadnya?

Termizi, KL

Jawapan: 
Dalam mazhab Asy-Syafi'i wang zakat baik zakat fitrah mahupun zakat wang ringgit tidak boleh dipindahkan dari tempat si pengeluar zakat itu berada, kecuali jika penduduk di kawasan itu sudah tidak memerlukan wang zakat itu, di waktu itu barulah boleh dipindahkan ke kawasan lain yang bersebelahan dengannya berdasarkan kebijaksanaan 
pihak pemerintah.

Justeru itu saudara tidak boleh memindahkan wang zakat saudara itu diluar dari kawasn tempat saudara tinggal walaupun kepada orang yang saudara kenal, sebaliknya hendaklah saudara membayarnya kepada amil yang dilantik oleh pihak berkuasa di tempat saudara, kerana amil lebih mengetahui siapa yang lebih berhak menerima zakat di tempat saudara itu, di samping memudahkan urusan pembahagian zakat itu sendiri.

Ketika membayar zakatnya niatnya ialah " Inilah zakat fitrah atau zakat wang ringgit yang diwajibkan ke atasku untuk tahun ini". Sesetengah ulamak mengharuskan seseorang mengeluarkan zakatnya kepada saudara yang dikenalinya walaupun diluar dari kawasannya asal sahaja saudaranya itu orang miskin atau fakir. Bagaimanapun dalam konteks sekarang ini urusan pengeluaran zakat adalah lebih elok dilakukan melalui amil yang dilantik, kerana urusan pengagihannya akan dapat dilakukan dengan baik.

Boleh jadi jika saudara mengeluarkan zakat kepada sahabat saudara yang saudara  kenali itu menyebabkan berlakunya pertembungan perolehan zakat. Dengan kata lain pihak berkuasa di kawasan sahabat saudara itu telahpun memberikan wang zakat kepadanya untuk urusan hariannya kemudian selepas itu saudara pula  mengeluarkan kepadanya . Di sini menampakkan wujud pertembungan dari sudut perolehan wang zakat itu sendiri. Justeru itu mengeluarkannya kepada amil adalah lebih baik, kerana maslahah umum.

2. Tuntutan Bersedekah 
Soalan: 
Sebagaimana yang kita ketahui amalan bersedekah adalah dituntut di dalam Islam. Apakah hukumnya? dan boleh tak Ustaz perjelaskan kenyataan "Amalan bersedekah dapat mengeratkan perpaduan ummah".

Ana, Raub

Jawapan: 
Hukum bersedekah dalam Islam adalah sunat sahaja. Walaupun begitu fadhilatnya sangat besar. Kerana itu tidak hairanlah Rasulullah SAW sangat-sangat menggalakkan umatnya supaya rajin bersedekah dan baginda sendiri sangat kuat bersedekah. Amalan bersedakah ini dapat menjadi amalan yang bermanfaat kepada tuannya setelah ia meninggal dunia nanti.

Bagaimanpun jika seseorang itu bernazar hendak melakukan sedekah kepada seseorang, maka wajib kepadanya melunaskan sedekahnya itu kepada individu yang dimaksudkan. Maksud sedekah dapat menguatkan perpaduan ummah ialah:

1. Dengan bersedekah akan menghilangkan rasa kurang senang golongan yang miskin terhadap golongan yang berharta dan kaya.

2. Bersedekah akan menimbulkan rasa kasih sayng sesama masyarakat Islam baik yang kaya mahupun yang miskin. Sifat dengki akan hilang.

3. Bersedekah akan mendatangkan keberkatan. Apabila datang keberkatan dan hilanglah kecelakaan.

4. Bersedekah dapat menghilangkan kesusahan yang dialami oleh orang-orang yang kesempitan. Ini ,menggambarkan wujudnya sifat saling membantu antara satu sama lain dalam masyarakat.

Keempat-empat faktor yang kita bincangkan ini menjadi faktor utama ke arah kekuatan perpaduan antara sesama masyarakat Islam. Apabila wujud perpaduan di peringkat masyarakat, ia akan membawa kepada perpaduan di 
peringkat negara, dari peringkat ini ia akan bergerak ke peringkat ummah seluruhnya. Inilah yang dimaksudkan bersedekah menguatkan perpaduan ummah.

3. Hukum Zakat bagi Pelajar 
Soalan: 
Wajibkah para pelajar yang  menerima biasiswa membayar zakat sepertimana zakat pendapatan  yang dibayar oleh orang yang bekerja?

Abdullah, Germany

Jawapan: 
Wang biasiswa tidak diwajibkan ke atasnya zakat kerana melibatkan wang perbelanjaan seharian untuk urusan pembelajaran. Tambahan pula ia sentiasa berkurang dari semasa ke semasa dan tidak cukup haul atau tidak cukup setahun yang telah ditetapkan oleh ulama untuk melayakkan ianya dikeluarkan zakat. Apalagi saudara yang bertanya sedang menuntut di negara Germany, yang mana situasi ini amat-amat memerlukan kepada bantuan kewangan dari pihak berkuasa dan umat Islam.

4. Zakat bagi Wang Umum 
Soalan: 
Adakah wang umum (misalnya wang persatuan/wang kutipan) yang akan digunakan untuk buat sesuatu projek dan disimpan cukup haul dikenakan zakat?

Halim, Ipoh

Jawapan: 
Ulamak telah bersepakat di antara syarat wajib zakat itu ialah pemilikan yang sempurna. Untuk itu harta yang tidak dimiliki oleh individu tertentu seperti harta rampasan perang, harta rompakan, keciciran dan sebagainya tidak dikenakan zakat. Begitu juga harta awam, kerana hukumnya seperti harta Baitul Mal, manakala harta persatuan tertentu atau untuk projek tertentu tidak dihukumkan sebagai harta awam, kerana kegunaannya untuk golongan tertentu sahaja, kedudukannya boleh diumpamakan sebagai harta syarikat.

Jika harta ini diniagakan dan mendapat keuntungan, hendaklah dikeluarkan zakat darinya, kerana menurut Al-Qardawi dalam bukunya Fiqh Az-Zakat sebab-sebab diwajibkan zakat pada sesuatu harta itu ialah kerana ia bertambah. Ini didasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: "Ambillah dari harta mereka zakat semoga ia menjadi suci dan akan bertambah jumlahnya." ( Surah At-Tawbah ayat 103). Sebaliknya harta umum yang tidak bertambah kerana tidak diniagakan, tidak perlu dikeluarkan zakat, kerana ia sentiasa berkurangan kerana digunakan untuk menampung kegunaannya. Jadi bebannya akan bertambah dengan mengeluarkan zakat.

Sabda Rasulullah SAW, "tidak diwajibkan ke atas orang Islam mengeluarkan zakat dari kudanya dan hamba abdinya." Hadis riwayat imam Muslim. Imam An-Nawawi ketika membahaskan hadis ini mengulas: Hadis ini menjadi asas yang jelas bagi menunjukkan harta yang beku atau harta tidak berkembang tidak dikenakan zakat. 

5. Nisab Wang Dikenakan Zakat
Soalan: 
Berapakah jumlah wang ringgit malaysia yang dikumpul dalam masa setahun yang boleh dikenakan zakat?

Asri, Sabah

Jawapan: 
Jumlah wang yang dikenakan zakat adalah mengikut kadar nisab zakat emas atau perak iaitu sebanyak 20 dinar bagi emas atau 200 dirham bagi perak. Nisab zakat  wang mengikut nilaian emas atau perak ini ditentukan oleh majlis agama negeri masing masing di Malaysia. Contohnya di Terengganu nilaian tersebut bersamaan RM2,689.59. Untuk itu, saudara hendaklah menghubungi Majlis Agama Islam Negeri Sabah untuk keterangan lanjut berhubung dengan perkara ini.

6. Mengeluarkan Zakat Pendapatan
Soalan: 
Pendapat dari seorang ustaz : 
Beliau mengatakan kita tidak perlu membuat potongan gaji untuk zakat pendapatan kerana ia belum cukup haul (setahun). Malah ia berkata tidak perlu untuk mengeluarkan zakat pendapatan kerana tidak ada dalil untuknya dan dengan menguatkan hujah beliau bahawa wang pendapatan ingin kita gunakan untuk keperluan hidup keluarga?

Azhar, USJ

Jawapan: 
Kerja yang dilakukan seseorang dapat dibahagi kepada kerja bebas atau persendirian yang tidak terikat dengan negara seperti doktor swasta, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan lain-lain atau kerja yang terikat dengan kerajaan atau institusi atau syarikat kerajaan atau swasta. Pegawai terlibat dibayar gaji bulanan. Kemasukan yang diperolehi oleh setiap orang yang bekerja secara bebas atau persendirian ini dikenali menurut istilah fekah dengan nama "Almaalu al mustafaadu" ertinya harta yang boleh diambil faedah.

Dalam mazhab empat telah diputuskan bahawa "Almaalu al mustafaadu" tidak wajib dikeluarkan zakat melainkan setelah mencukupi nisab dan sempurna haulnya. Menurut fuqaha As Sayfie harta yang disimpan perlu dikeluarkan zakat, sekalipun didetik yang terakhir sebelum berakhirnya haul setelah cukup nisab.

Jika berpegang dengan pendapat sesetengah sahabat seperti Ibnu Abbas, Ibnu Mas'ud dan Muawiyah dan pendapat sesetengah tabi'in seperti (Az Zahiri, Al Hasan Basri dan Makhul) pendapat Umar bin Abdul Aziz, Al Baqir, As Sidiq, An Nasir dan Daud Az Zahiri. Bahawa dinyatakan zakat wajib dikeluarkan ke atas "Almaalu al mustafaadu" sebaik sahaja diambil harta itu, sekalipun belum cukup haul.

Kadar wajibnya ialah 2.5% berdasarkan umum nas yang mewajibkan zakat ke atas wang ringgit iaitu 2.5% samada telah sempurna haul atau tidak atau sebaik sahaja diambil faedah. Apabila seseorang Islam mengeluarkan zakat pendapatan ketika mengambil pendapatan itu tidak perlu lagi mengeluarkan zakat sekali lagi di akhir haul.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML