Saturday, February 15, 2014

AQIDAH TAUHID

Allah Penguasa Mutlak

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada Allah-lah hakikat manfaat dan mudarat. Tiada suatu apapun yang dapat memberikan manfaat maupun mudarat melainkan dengan izin-Nya. Allah-lah yang menghina dan Allah-lah yang memulikan. Sesiapa yang dimuliakan Allah, maka dialah orang mulia. Barangsiapa yang dihinakan Allah, sesungguhnya benarlah dia seorang yang hina. Segalanya adalah milik Allah.


Segalanya bersumber daripada khazanah Allah s.w.t.. Khazanah yang tiada batas dan hadnya. Khazanah Allah yang maha luas, seluas Kudrat dan Iradat Allah yang tiada had dan batasnya. Khazanah yang pintunya tidak pernah tertutup dan isinya tidak pernah berkurang. 

Jika berhimpun seluruh manusia dan jin daripada yang awal sehingga yang terakhir daripada mereka di satu lapangan, lalu dengan serentak masing-masing berdo'a memohon kepada Allah setiap hajat dan keinginan mereka, dengan bahasa masing-masing yang bermacam-macam lagi berbagai, pasti, pasti dan pasti!. Segala permohonan mereka itu dapat didengar dan dapat difahami oleh Allah s.w.t. Dan jika Allah s.w.t. memakbulkan setiap do'a dan permintaan tersebut, nescaya tidak berkurang satu apa pun daripada Allah s.w.t., melainkan ibarat setitis air daripada lautan yang terbentang luas. Inilah Kudrat Allah, itulah khazanah Allah s.w.t. Di tangan Allah ada Sunnatullah (hukum-hukum peraturan Allah), dan di tangan Allah jugalah adanya Kudratullah (kemutlakan kekuasaan Allah).


Sahabat yang dimuliakan,
Allah s.w.t. Maha Berkuasa di atas setiap makhluk ciptaan-Nya. Harus dan bebas bagi Allah untuk menjadikan atau melakukan sesuatu berdasar asbab (sebab-akibat) dan harus bagi Allah untuk melakukan sesuatu menyalahi asbab. Bahkan harus bagi Allah untuk melakukan sesuatu tanpa asbab. Pisau yang sama di tangan Nabi Ibrahim a.s. mampu membelah batu, tetapi pisau yang itu juga tidak dapat melukakan Ismail r.a. Api yang marak membakar ranting-ranting dan puntung-puntung kayu yang membukit dengan lahapnya, tetapi api yang menggunung itulah yang tidak mampu membakar walau sehelai roma Nabi Ibrahim a.s.


Untuk hidup, kita perlukan udara, air dan makanan, tetapi apakah yang dapat menjadi punca kehidupan kepada Nabi Yunus a.s. selama dia berada sekian hari lamanya di dalam perut ikan Nun? Yang ada hanyalah segala kematian; tanpa makanan dan tanpa minuman dan tanpa udara. Inilah yang dinamakan Kudratullah, yang ada bersama Nabi Yunus a.s. ialah Kudrat Allah, bukan hanya sekadar Sunnatullah lagi. Apabila Allah menginginkan sesuatu itu tidak binasa, ia pasti tidak akan binasa.


Sahabatku,
Walaupun yang ada pada masa itu hanyalah segala asbab kebinasaan. Laut yang sama Allah s.w.t. gunakan untuk menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan pengikutnya, dengan laut yang sama juga Allah telah binasakan Fir'aun dan segala bala tenteranya. Manusia pada hukumnya memerlukan pencantuman benih daripada ibu dan bapanya untuk dilahirkan ke muka bumi ini, tetapi siapakah yang telah menjadikan Nabi Isa a.s. tanpa bapa, malah yang menjadikan Nabi Adam a.s. tanpa ibu dan bapa? Dialah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia. Dalam genggaman-Nyalah segala sesuatu.


Bagaimana Allah s.w.t. telah menghancurkan tentera Abrahah dengan dihantar-Nya burung-burung yang kecil, membawa bersama-sama mereka batu kerikil yang kecil. Cukup untuk menyebabkan Abrahah dan tentera bergajahnya hancur berkecai, bagai daun yang dimakan ulat. Sedangkan ketika itu Abdul Mutalip dan pemimpin arab tidak berupaya melawan tentera Abrahah untuk mempertahankan Ka'abah.


Oleh itu marilah sama-sama kita mentauhidkan Allah s.w.t. dengan sifat yakin dan sahih. Yakin dengan sebenar-benar-Nya bahawa kesempurnaan, ketunggalan, kehebatan, kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t. darisegi Zat, Af'aal, Asma' dan Sifat. Kalimah 'Laa ilaaha illallah' ini menuntut supaya kita mengosongkan apa jua sesuatu selain Allah daripada hati kita. Hanya Allah dan kesukaan-kesukaan Allah yang layak memenuhi hati kita. Hanya undang-undang dan peraturan hidup daripada Allah s.w.t. sahaja kita terima dan undang-undang lain kita tolak.


Di dalam sebuah hadis Qudsi ada disebut. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Wahai hamba-Ku! Hatimu adalah taman-Ku; dan Syurga-Ku adalah tamanmu. Sekiranya engkau tidak bakhil kepada-Ku dengan tamanmu bahkan engkau tempatkan makrifah-Ku di dalam hatimu, nescaya Aku tidak akan bakhil kepada kamu dengan taman-Ku dan Aku akan tempatkan engkau di dalamnya!"


Akhirkata, yakinilah bahawa semuanya berada dalam pengetahuan dan perhitungan Allah s.w.t. Hati kita hendaklah dipenuhi keyakinan, hanya dengan mengikut perintah Allah, kita akan berjaya. Dan apabila melanggar perintah Allah pasti ada kegagalan dan kehinaan. Janji Allah adalah benar. Akhirat adalah benar, Barzakh adalah benar. Mahsyar adalah benar. Syurga adalah benar. Neraka adalah benar. Segala janji Allah pasti akan berlaku kerana sesungguhnya :'Tiada Tuhan melainkan Allah'

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML