Saturday, February 15, 2014

ADAB BERPAKAIAN

Adab-adab Berpakaian Menurut Islam

السَّلاَمُ عَلَيْكُم
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,
Akhlak dan keperibadai seorang mukmin adalah terletak pada tutur kata, perbuatan dan pakaian yang dipakai. Keluar daripada lidahnya adalah kata-kata yang baik dan sopan , tidak mencarut dan maki hamun. Setiap tutur katanya adalah mengajak kepada kebaikan dan meninggalkan larangan Allah SWT, ucapannya berupa doa dan mengembirakan siapa yang mendengarnya. Perbuatannya pula membawa contoh dan ikutan yang baik dan dia melaksanakan yang wajib dan meninggalkan yang haram dan syubahat dan dia sentiasa berpakaian yang menutup aurat dan tidak bermewah-mewah.

Sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai kerana pakaian sopan dan menutup aurat adalah cermin seseorang itu mukmin  sebenar.

Islam tidak menetapkan bentuk atau warna pakaian untuk dipakai, baik ketika beribadah atau di luar waktu ibadah. Islam hanya menetapkan bahawa pakaian itu mestilah bersih, menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang mukmin.

Kewajipan menutup aurat ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud  : "Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Surah al-A’raaf ayat 26)

Sebelum kita memakai pakaian Nabi SAW telah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini :

Maksudnya: "Segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan dan memberikan rezeki kepadaku (pakaian) ini tanpa sebarang daya dan kudrat daripada diriku." 
(Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah , lihat 'Irwa al-Ghlil)

Di dalam Islam ada garis panduan tersendiri mengenai adab berpakaian (untuk lelaki dan wanita) iaitu:

1. Menutup aurat.

Aurat lelaki menurut ahli hukum ialah daripada pusat hingga ke lutut. Aurat wanita pula ialah seluruh anggota badannya, kecuali wajah, tapak tangan dan tapak kakinya.

Asma binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah SAW dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah yang bermaksud : ‘Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja.” (Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari).

Hadis dari Jarhad al-Aslami r.a. yang menceritakan; “Rasulullah duduk bersama kami sedang pahaku ketika itu terbuka. Lalu Rasulullah berkata kepadaku;

أما علمت أنَّ الفخذ عورةٌ

Maksudnya : “Apakah kamu tidak mengetahui bahawa paha adalah aurat?”. 
(Hadis Riwayat  Abu Daud, Tirmizi dan Malik)

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Paha itu adalah aurat." (Hadis Riwayat Bukhari)

2. Tidak menampakkan tubuh.

Pakaian yang jarang sehingga menampakkan aurat tidak memenuhi syarat menutup aurat. Pakaian jarang bukan saja menampak warna kulit, malah boleh merangsang nafsu orang yang melihatnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liukkan badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk.
Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh." (Hadis Riwayat Muslim)

3. Pakaian tidak ketat.

Tujuannya adalah supaya tidak kelihatan bentuk tubuh badan.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu termasuk maksud hadis di atas.

4. Tidak menimbulkan riak.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana perasaan sombong, Allah SWT tidak akan memandangnya pada hari kiamat." 

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan pada hari akhirat nanti." (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'iy dan Ibnu Majah)

5. Lelaki, wanita berbeza.

Maksudnya pakaian yang khusus untuk lelaki tidak boleh dipakai oleh wanita, begitu juga sebaliknya. Rasulullah SAW mengingatkan hal ini dengan tegas menerusi sabdanya yang bermaksud: "Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda juga bersabda bermaksud: "Allah melaknat lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim).

Ramai wanita memakai pakaian lelaki seperti kemeja-T (lengan pendek) dan berseluar jeans yang ketat. Pakaian ini sebenarnya adalah dilarang dalam Islam. Tetapi jika semasa berriadah wanita memakai kemeja -T lengan panjang labuh hingga ke lutut dan bertudung labuh dan seluar sukan yang labuh di haruskan.

6. Larangan pakai sutera untuk lelaki dan dibenarkan untuk wanita.

Islam mengharamkan kaum lelaki memakai sutera. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Janganlah kamu memakai sutera, sesungguhnya orang yang memakainya di dunia tidak dapat memakainya di akhirat." (Muttafaq 'alaih)

7. Melabuhkan pakaian.

Apabila seorang muslimah memakai tudung, maka tudung yang seharusnya dipakai sesuai kehendak syarak iaitu bagi menutupi kepala dan rambut, tengkuk atau leher dan juga dada. 

Allah SWT berfirman bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang." (Surah al-Ahzab ayat 59)

8. Memilih warna sesuai.

Pemilihan untuk tudung dan pakaian hendaklah memilih  warna-warna lembut termasuk putih kerana ia nampak bersih dan warna ini sangat disenangi dan sering menjadi pilihan Rasulullah SAW. Baginda bersabda bermaksud: "Pakailah pakaian putih kerana ia lebih baik, dan kafankan mayat kamu dengannya (kain putih)." (Hdis Riwayat an-Nasa'ie dan al-Hakim)

9. Larangan memakai emas untuk lelaki.

Termasuk dalam etika berpakaian di dalam Islam ialah barang-barang perhiasan emas seperti rantai, cincin dan sebagainya.

Bentuk perhiasan seperti ini umumnya dikaitkan dengan wanita namun pada hari ini ramai antara para lelaki cenderung untuk berhias seperti wanita sehingga ada yang sanggup bersubang , berantai dan memakai cincin emas.

Semua ini amat bertentangan dengan hukum Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Haram kaum lelaki memakai sutera dan emas, dan dihalalkan (memakainya) kepada wanita."

10. Mulakan sebelah kanan.

Apabila memakai baju, seluar atau seumpamanya, mulakan sebelah kanan. Imam Muslim meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud: "Rasulullah suka sebelah kanan dalam segala keadaan, seperti memakai kasut, berjalan kaki dan bersuci."Apabila memakai kasut atau seumpamanya, mulakan dengan sebelah kanan dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Apabila seseorang memakai kasut, mulakan dengan sebelah kanan, dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri supaya yang kanan menjadi yang pertama memakai kasut dan yang terakhir menanggalkannya." (Hadis Riwayat Muslim).

11. Selepas beli pakaian.

Apabila memakai pakaian baru dibeli, ucapkanlah doa seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan At-Tarmizi yang bermaksud:
"Ya Allah, segala puji bagi-Mu, Engkau yang memakainya kepadaku, aku memohon kebaikannya dan kebaikan apa-apa yang dibuat baginya, aku mohon perlindungan kepada-Mu daripada kejahatannya dan kejahatan apa-apa yang diperbuat untuknya". 

12. Berdoa.

Ketika menanggalkan pakaian, ucapkanlah : "Pujian kepada Allah yang mengurniakan pakaian ini untuk menutupi auratku dan dapat mengindahkan diri dalam kehidupanku, dengan nama Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia."

Sahabat yang dikasihi,
Sebagai seorang Islam, sewajarnya kita memakai pakaian yang sesuai menurut tuntutan agamanya kerana sesungguhnya pakaian yang sopan dan menutup aurat adalah mencerminkan seorang mukmin yang sebenar. Walaupun dunia fesyen telah berubah, berbagai bentuk reka bentuk baru fesyen pakaian telah dicipta, tetapi sebagai seorang mukmin yang bertakwa kita janganlah mudah terpengaruh dengan suasana semasa yang membelakangkan agama.

Jika fesyen tersebut masih dalam lingkungan menutup aurat, Islam membenarkannya dan tidak salah jika menggunakan fesyen tersebut. Ingatlah bahawa pakaian yg menutup aurat dan sopan adalah ciri-ciri ahli syurga sedangkan pakaian yang mendedahkan aurat adalah pakaian ahli-ahli neraka. Janganlah kalian mengadai masa depan kalian di akhirat dengan berseronok mengikuti peredaran zaman yang menyesatkan.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML