Friday, January 3, 2014

TAUBAT part 3

Allah SWT Sentiasa Menerima Taubat Para Hamba-Nya Samaada Siang Atau Malam.

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Jika kita kenangkan dosa-dosa yang pernah kita lakukan sepanjang hidup kita bermula daripada umur baligh hingga sekarang terlalu banyak tidak terkira. Namun demikian Allah SWT  tidak pernah menarik balik nikmat penglihatan, pendengaran, percakapan dan kesihatan yang telah dikurniakan-Nya kepada kita. Malah Allah SWT yang bersifat  al-Rahim sentiasa menutup keaiban dan kekurangan diri kita daripada diketahui oleh orang lain.

Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan dosa dalam menjalani kehidupan seharian, kerana manusia bersifat lemah dan sentiasa di dorong oleh kehendak hawa nafsu. 

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah.” (Surah al-Nisa’ ayat 28)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Setiap anak adam sering melakukan kesalahan (dosa) dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan (dosa) ialah mereka yang sentiasa bertaubat”. ( Hadis Riwayat Ibn Majah )

Sesiapa yang mengatakan bahawa dia tidak mempunyai dosa sebenarnya dia telah melakukan dosa dengan ucapan sedemikian. 

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci. Dan Dialah yang Maha Mengetahui siapa yang bertakwa”. ( Surah al-Najm ayat 32 )

Islam memperuntukkan satu amal soleh yang boleh menghapuskan segala dosa yang dilakukan iaitu taubat sebagai mengimbangi kelemahan manusia ini. Allah SWT yang bersifat dengan sifat al-Tawwab ( Maha Penerima Taubat) dan al-Ghafur ( Maha Pengampun) tidak akan membiarkan kelemahan hamba-Nya ini dengan begitu sahaja. Dalam al-Quran banyak dijelaskan keutamaan, dorongan dan perintah agar kita sentiasa bertaubat.

Maksud firman Allah SWT : “Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang yang beriman supaya kamu memperolehi keuntungan.” (Surah al-Nur ayat 31)

Maksud Firman Allah SWT : "Dan bersegeralah menuju kepada keampunan dari Tuhan kamu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. ( Surah Ali Imran ayat 133)

Allah SWT juga berfirman: "Dan dirikanlah solat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya amalan-amalan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat." ( Surah Hud ayat 114).

Hadis-hadis Nabi SAW juga banyak yang menyebut tentang kelebihan dan tuntutan taubat, antaranya ialah ;

Dari Nabi SAW bersabda bahawa Allah berfirman ( hadis qudsi ) : "Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampuni kamu." (Hadis Riwayat Muslim).

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah SWT sangat gembira dengan taubat hambaNya melebihi kegembiraan salah seorang di antara kamu yang kehilangan untanya di padang pasir kemudian menemukannya kembali”. ( Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW yang terpelihara daripada dosa dan diutuskan agar menjadi contoh kepada sekalian manusia juga memohon keampunan kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Begitulah petunjuk sunnah Rasulullah SAW kepada kita semua agar sentiasa bertaubat setiap masa. 

Jangan dibiarkan dosa berlanjutan dan dijadikan koleksi dari semasa ke semasa kerana maut datang tanpa isyarat dan amaran. Dosa yang dibiarkan pasti akan memberi kesan buruk kepada kita di alam barzakh dan hari akhirat kelak.

Allah SWT yang bersifat Maha Penyayang telah mensyariatkan ibadat khusus dan mengalakkan amal soleh yang menjanjikan dosa-dosa diampunkan.

Sahabat yang dimuliakan,
Pada zaman Nabi Musa as, kaum bani Israil pernah ditimpa musim kemarau panjang, lalu mereka berkumpul menemui Nabi Musa as dan berkata: “Wahai Kalamullah, tolonglah doakan kami kepada Tuhanmu supaya Dia berkenan menurunkan hujan untuk kami!”

Kemudian berdirilah Nabi Musa as bersama kaumnya dan mereka bersama-sama berangkat menuju ke tanah lapang. Dalam suatu pendapat dikatakan bahawa jumlah mereka pada waktu itu lebih kurang tujuh puluh ribu orang.

Setelah mereka sampai ke tempat yang dituju, maka Nabi Musa a.s mulai berdoa. Diantara isi doanya itu ialah: “Tuhanku, siramlah kami dengan air hujan-Mu, taburkanlah kepada kami rahmat-Mu dan kasihanilah kami terutama bagi anak-anak kecil yang masih menyusu, haiwan ternak yang memerlukan rumput dan orang-orang tua yang sudah bongkok. Sebagaimana yang kami saksikan pada saat ini, langit sangat cerah dan matahari semakin panas. Tuhanku, jika seandainya Engkau tidak lagi menganggap kedudukanku sebagai Nabi-Mu, maka aku mengharapkan keberkatan Nabi yang ummi iaitu Muhammad SAW yang akan Engkau utus untuk Nabi akhir zaman.”

Kepada Nabi Musa a.s, Allah SWT  menurunkan wahyu-Nya yang isinya: “Aku tidak pernah merendahkan kedudukanmu di sisi-Ku, sesungguhnya di sisi-Ku kamu mempunyai kedudukan yang tinggi. Akan tetapi bersama denganmu ini ada orang yang secara terang-terangan melakukan perbuatan maksiat selama empat puluh tahun. Engkau boleh memanggilnya supaya ia keluar dari kumpulan orang-orang yang hadir di tempat ini! Orang itulah sebagai penyebab terhalangnya turun hujan untuk kamu semuanya.”

Nabi Musa kembali berkata: “Wahai Tuhanku, aku adalah hamba-Mu yang lemah, suaraku juga lemah, apakah mungkin suaraku ini akan dapat didengarnya, sedangkan jumlah mereka lebih dari tujuh puluh ribu orang?” 

Allah SWT berfirman maksudnya : “Wahai Musa, kamulah yang memanggil dan Aku-lah yang akan menyampaikannya kepada mereka!.” Menuruti apa yang diperintahkan oleh Allah SWT, maka Nabi Musa a.s segera berdiri dan berseru kepada kaumnya: “Wahai seorang hamba yang derhaka yang secara terang-terangan melakukannya bahkan lamanya sebanyak empat puluh tahun, keluarlah kamu dari rombongan kami ini, kerana kamulah, hujan tidak diturunkan oleh Allah  kepada kami semuanya!”

Mendengar seruan dari Nabi Musa a.s itu, maka orang yang derhaka itu berdiri sambil melihat kekanan kekiri. Akan tetapi, dia tidak melihat seorangpun yang keluar dari rombongan itu. Dengan demikian tahulah dia bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi Musa as itu adalah dirinya sendiri. Di dalam hatinya berkata: “Jika aku keluar dari rombongan ini, nescaya akan terbukalah segala kejahatan yang telah aku lakukan selama ini terhadap kaum bani Israil, akan tetapi bila aku tetap bertahan untuk tetap duduk bersama mereka, pasti hujan tidak akan diturunkan oleh Allah SWT.” Setelah berkata demikian dalam hatinya, lelaki itu lalu menyembunyikan kepalanya di sebalik bajunya dan menyesali segala perbuatan yang telah dilakukannya sambil berdoa: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah derhaka kepada-Mu selama lebih empat puluh tahun, walaupun demikian Engkau masih memberikan kesempatan kepadaku dan sekarang aku datang kepada-Mu dengan ketaatan maka terimalah taubatku ini.”

Beberapa saat selepas itu, kelihatanlah awan yang bergumpalan di langit, seiring dengan itu hujanpun turun dengan lebatnya bagaikan hanya ditumpahkan saja dari atas langit. Melihat keadaan demikian maka Nabi Musa a.s berkata: “Tuhanku, mengapa Engkau memberikan hujan kepada kami, bukankah di antara kami tidak ada seorangpun yang keluar serta mengakui akan dosa yang dilakukannya?”

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Wahai Musa, aku menurunkan hujan ini juga di sebabkan oleh orang yang dahulunya sebagai sebab Aku tidak menurunkan hujan kepada kamu.”

Nabi Musa a.s. berkata: “Tuhanku, lihatkanlah kepadaku siapa sebenarnya hamba-Mu yang taat itu?”

Allah SWT berfirman maksudnya: “Wahai Musa, dulu ketika dia derhaka kepada-Ku, Aku tidak pernah membuka aibnya. Apakah sekarang. Aku akan membuka aibnya itu ketika dia telah taat kepada-Ku?

Sahabat yang dikasihi,
Allah SWT telah menutup aib seorang hamba-Nya yang melakukan maksiat berpuluh-puluh tahun tetapai apabila dia bertaubat dan kembali menyesali perbuatannya itu taubatnya di terima dan dia bersih daripada segala dosa.

Nabi SAW bersabda maksudnya :“Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada siang hari, dan Allah membentangkan tangan-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada malam hari, sampai matahari terbit dari barat .” (Hadis Riwayat Muslim )

Oleh itu marilah sama-sama kita bertaubat kepada Allah SWT setiap masa tanpa tunggu bala turun atau hingga hati kita menjadi hitam disebabkan selaput dosa yang banyak kita lakukan. Jangan biarkan kita dosa-dosa menguasai diri kita dan bersihkannya dengan beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT kerana kita tidak mengetahui bila masanya ajal datang menjemput kita tanpa kita sedari.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML