Saturday, January 4, 2014

SYURGA UNTUK YANG BERBUAT AMAL

Syurga Untuk Orang Mukmin Yang Sentiasa Beramal Soleh

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Adakah manusia yang tidak mencintai keindahan? Jawabannya tentu saja tidak. Bahawa siapa saja samaada muslim atau bukan, orang jahat atau orang baik semuanya cinta pada keindahan yang selari dengan fitrahnya sebagai manusia. Itulah salah satu karunia yang Allah S.W.T.  berikan kepada manusia. Sehingga bila ada seseorang yang tidak mencintai keindahan ciptaan Tuhan ini, maka sesungguhnya dia bukanlah seorang yang waras pemikirannya. Bahkan Allah S.W.T. itu sendiri indah dan mencintai keindahan.

Ketika kita menikmati keindahan ciptaan Allah yang Maha Perkasa; langit dengan bintang-bintang yang bertaburan dan bercahaya indah, bumi dengan hamparan laut dan pemandangan alam yang menakjubkan, maka semua itu menjadi tanda bagi kita untuk lebih ber-marifah dan ber-taqarrub kepada-Nya, seraya memuji kebesaran dan keagungan-Nya, “Wahai Tuhan kami, sungguh Engkau tidak ciptakan ini semua dengan sia-sia.”

Ketika kita terpesona dengan berbagai keindahan ciptaan Allah di muka bumi, maka keindahan taman syurga dengan segala isinya adalah keindahan abadi yang tak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga atau bahkan terlintas dalam hati. Saat kita membaca ayat-ayat Allah Ta’ala atau hadis-hadis Rasulullah S.A.W. yang menggambarkan keindahan syurga; taman-taman indah, buah-buahan dan makanan lazat, minuman segar, sungai berair madu, susu dan arak, lalu terbayang di hati kita berbagai keindahan itu, maka yakinlah bahwa seluruh ciptaan Allah di taman syurga tidak pernah sama keindahan yang muncul dalam hati kita kala itu.

Demikianlah Allah Ta’ala ciptakan syurga bagi orang-orang yang beriman kepada-Nya lalu beramal soleh, ikhlas, bertakwa, berjuang di atas jalan-Nya dan berbagai kriteria yang harus  ada dalam diri seorang mukmin sebagai jalan untuk mendapatkan syurga yang abadi, yang  mana ketika mendapat kenikmatannya membuat seorang mukmin lupa dengan segala derita dunia yang pernah dialaminya.

Sebagaimana penghuni neraka, tatkala ia rasakan sesaat seksa dan azabnya membuat ia lupa segala kenikmatan dunia yang pernah dirasakannya.

Keindahan taman syurga dan berbagai kenikmatan yang Allah sediakan di dalamnya adalah impian bagi setiap mukmin. Kerana itulah, seorang dermawan dengan ikhlas menginfakkan hartanya, seorang profesional mencipta alat-alat cangih untuk keperluan manusia dalam rangka ibadah, seorang ahli perniagaan senantiasa jujur dalam usahanya jual beli ketika di dunia, seorang daie tidak pernah merasa penat menyeru manusia ke jalan Allah, dan dengan gagah berani seorang  mujahid  maju ke medan perang mengharapkan mati syahid sebagaimana musuhnya mengharap kehidupan.

Daya tarikan syurga bahkan menjadi kerinduan bagi Khalifah Umar bin Abdul Aziz, hingga membuatnya tampil sebagai pemimpin yang adil, bijaksana dan dicintai rakyatnya. Walau masa menjadi khalifah terlalu singkat namun kejayaan kepemimpinannya terukir dengan tinta emas dalam sejarah kejayaan Islam dan kaum Muslimin pada masa pemerintahan Bani Umayyah; dimana saat itu tiada seorang pun rakyatnya merasa berhak menerima zakat.

Kalimat rindu itu beliau ungkapkan sebagai berikut:
Sungguh jiwaku memiliki jiwa perindu;
Tak pernah ia raih sebuah kedudukan
Melainkan ia pasti merindukan
Kedudukan yang di atasnya
Kini ia sampai pada kedudukan tertinggi di dunia (Khalifah)
Dan tak ada yang melebihi kedudukan ini
Tapi kini,
Jiwaku mulai merindukan syurga

Kerinduan pada taman syurga yang menggelegak dalam jiwa seorang khalifah, membentuk dirinya menjadi pemimpin yang adil, zuhud, alim, dan lebih mengutamakan kepentingan rakyatnya daripada keluarga dan dirinya sendiri. Sejarah kepemimpinannya yang cemerlang itu membuat para ulama sepakat mengelarnya sebagai Khalifah Rasyidin yang kelima.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : “Sungguh orang yang beriman dan beramal soleh untuk mereka disediakan Syurga Firdaus sebagai tempat tinggal”
(Surah al-Kahfi ayat 107)

Pesanan terakhir As-Syahid Syed Qutb sebelum syahid ditali gantung :

Saudara!
Seandainya kau tangisi kematianku,
dan kau sirami pusaraku dengan airmatamu..
maka di atas tulang-tulangku yang hancur luluh,
nyalakan obor buat umat ini dan...
teruskan perjalanan ke gerbang jaya.

Saudara!
Kematianku adalah suatu perjalanan,
mendapatkan kekasih yang sedang merindu,
taman-taman di syurga Tuhanku bangga menerimaku,
burung-burungnya berkicau riang menyambutku,
bahagialah hidupku di alam abadi....  

Jenis-jenis syurga dan kenikmatannya :

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan bahwa surga itu ada 100 tingkat, yang pertama dari perak, ke-2 dari emas, ke-3  dari mutiara, selebihnya 97 tingkat adalah penuh dengan kelezatan dan kenikmatan yang  tidak boleh dibayangkan oleh akal manusia. 

Syurga itu bertingkat-tingkat (100 tingkat) dan setiap tingkat berbeza-beza pula. Jarak antara satu tingkat dengan tingkat yang lain ialah seperti jarak antara bumi dan langit. Adapun tingkatan syurga yang paling tinggi darjatnya dinamakan “Al-Firdaus”. Di atas Al-Firdaus inilah terletak “Arsy Rahman (Mahligai Tuhan).  Selain itu, keistimewaan syurga Al-Firdaus ialah para penghuninya akan dapat melihat wajah Allah dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Sedangkan nikmat yang tertinggi di dalam syurga ialah apabila manusia dapat menatap wajah Allah. Adapun cara melihat Allah bukanlah seperti halnyakita melihat dengan mata biasa seperti yang lazim berlaku, tetapi caranya ialah dengan penglihatan mata yang telah ditentukan Allah buat para penduduk syurga.

Al-Quran menyebutkan kata jannah (syurga) sebanyak 120 kali atau lebih. Kata itu disebutkan untuk menggambarkan bagaimana keindahan syurga serta orang-orang yang berhak menikmatinya. Taman-taman syurga itu adalah:

1.  Syurga Firdaus (Teratas)

Syurga teratas dan paling istimewa akan didiami oleh para nabi dan Rasul Allah serta orang-orang yang memiliki amalan terbaik ketika di dunia. Rasulullah S.A.W. mengajarkan kepada kita agar ketika memohon syurga kepada Allah Ta’ala, maka mintalah Syurga Firdaus.  Mereka yang paling layak untuk memasuki Syurga Firdaus adalah mereka yang memiliki 7 ciri-ciri amal soleh :

1. Sentiasa  khusyuk dalam solat

 2. Mengelak dari perkara yang tidak memberi faedah (mengerjakan amal soleh)

3. Membayar zakat

4. Menjaga kehormatan dirinya (tidak berzina)

5. Menjaga Amanah

6.Menunaikan janji

7. Menjaga solat

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya beruntung orang-orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna, dan orang yang menunaikan zakat, dan orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba  sahaya yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Tetapi sesiapa yang cari dibalik itu (zina dan sebagainya) maka mereka itulah orang-orang yang melampau batas. Dan (sungguh beruntung) orang yang memelihara amanat-amanat dan janjinya, serta orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi (yakni) yang akan mewarisi (syurga) Firdaus. Mereka kekal didalamnya." (Surah al-Mukminun ayat 1-11)

2. Syurga Makwa:

Syurga ini Allah peruntukkan orang-orang yang memiliki ciri-ciri berikut:

1. Senantiasa berzikir

2. Tawaduk (tidak sombong)

3. Sentiasa solat malam

4. Beriman dan amal soleh

5. Para dermawan 

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, hanyalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengannya (ayat-ayat Kami) mereka bersujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya, dan mereka tidak menyombongkan diri. Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan penuh harap, dan mereka menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Maka tidak seorang pun mengetahui apa yang di sembunyikan untuk mereka iaitu (macam-macam nikmat) yang menyenangkan hati sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan. Maka apakah orang yang beriman seperti orang yang fasiq (kafir)? Mereka tidak sama. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka mereka akan mendapat Syurga Makwa (tempat tinggal), sebagai pahala atas apa yang telah mereka kerjakan." (Surah As-Sajdah ayat 15-19)

3. Syurga ‘Adn

Syurga ini adalah untuk orang-orang yang memiliki ciri-ciri berikut :

1. Beriman dan mengerjakan amal soleh

2. Memiliki khasyyatullah (rasa takut kepada Allah Azza wa Jalla)

3. Reda terhadap ketetapan dan ketentuan Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "   Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah Syurga'Adn yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun reda kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut terhadap Tuhannya." (Surah al-Bayyinah ayat 7-8)

4. Syurga Na’im

Taman syurga ini Allah peruntukkan untuk para kekasih Allah yang dekat dengan-Nya. (Surah al-Waqiah ayat 88-89)

5. Syurga Dar Muqamah

Taman ini Allah izinkan untuk dinikmati oleh orang-orang yang kebaikannya lebih  banyak daripada  pada keburukannya
(Surah Fatir ayat 32-35)

6. Syurga Darus Salam

Orang-orang yang akan menikmati taman syurga ini adalah orang-orang yang gemar berbuat kebaikan yang di asaskan dengan  keimanan yang benar.
(Surah  Yunus ayat  25-26)

7. Syurga Maqom Amin

Orang-orang yang Allah izinkan untuk menghuni dan menikmati taman syurga ini adalah orang-orang yang bertakwa.
(Surah Ad-Dukhan ayat  51-52)

Keindahan Taman Syurga

Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah S.A.W. telah menceritakan keindahan syurga tiada tolok bandingnya. Sesungguhnya di dalam Syurga itu berupa sesuatu yang belum pernah di lihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga dan belum pernah terlintas oleh hati manusia. Ahli Syurga bagaikan raja bersenang-lenang dengan penuh kenikmatan sedangkan umur mereka sentiasa muda tidak makan tua. Usia mereka kekal selamanya 33 tahun yakni seusia ketika Nabi Isa a.s. di angkat ke langit, manakala tinggi mereka pula setinggi Nabi Adam a.s.  yakni setinggi 60 hasta dan dalamnya lintang 7 hasta.

Keluasan syurga

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebatang pohon dan bayang -bayang pohon itu ditempuh oleh seseorang yang bepergian dengan mengendarai kendaraannya memerlukan seratus tahun tanpa henti”
(Hadis Riwayat Muslim)

Cuaca di syurga

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Di dalamnya mereka duduk bertelakan di atas papan, mereka tidak merasakan di dalamnya terik matahari dan tidak merasakan dingin yang menusuk. Dan naungan pohon-pohon syurga itu dekat di atas mereka dan buahnya dimudahkan untuk memetiknya dengan semudah-mudahnya” (Surah Al-Insan ayat 13-14)

Hidangan di syurga

Firman Allah S.W.T maksudnya : “Diedarkan kepada mereka piring-piring dari emas dan piala-piala dan di dalam syurga itu terdapat segala yang di ingini oleh hati dan sedap (dipandang) mata dan kamu kekal di dalamnya” (Surah Az-Zukhruf ayat 71-72)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Perumpamaan taman syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa; di sana ada sungai yang airnya tidak payau, dan sungai air susu yang tidak berubah rasanya dan sungai khamr (anggur yang tidak memabukkan) yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai madu yang murni” (Surah Muhammad ayat 15)

Kecantikan bidadari di syurga
Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang membatasi pandangan, yang tidak pernah tersentuh oleh manusia dan jin sebelumnya” (Surah ar-Rahman: 56)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Seandainya saja wanita surga menengok kepada penduduk dunia nescaya dia akan menerangi langit dan bumi dan dia akan menaburkan wangi yang memenuhi bumi. Dan belahan rambut dikepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya” (Hadis Riwayat Bukhari)

Sahabat yang dimuliakan,
Taman-taman syurga yang Allah ciptakan dengan segala keindahannya tentu tidak diperuntukkan bagi ahli maksiat yang kehidupannya di dunia ia terjerumus di dalam amalan dosa, menentang perintah Allah dan hanya menghambakan dirinya kepada kehidupan untuk dunia semata-mata. Namun, syurga ciptaan Allah S.W.T adalah untuk orang mukmin yang sentiasa beramal soleh iaitu mereka yang mencintai kebenaran sekaligus sebagai pejuang-Nya, senantiasa ikhlas dalam ibadah dan amal soleh yang dilakukannya tanpa mengharap pujian serta ucapan terima kasih daripada manusia.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML