Thursday, January 9, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 97

Soal Jawab Agama Siri 97

(Aqiqah, Tanggungjawab Anak, Adab Bersukan, Hadis Berlapang Dada dan Hadis Dunia Syurga Untuk Orang Kafir)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 98 adalah membicarakan persoalan aqiqah untuk anak angkat, tanggungjawab anak kepada kedua ibu bapanya, adab-adab bersukan, hadis berlapang dada semasa menjual , membeli dan menagih hutang dan huraian hadis bahawa dunia ini syurga untuk orang kafir dan penjara untuk orang mukmin.

Soalan : Saya ada mengambil anak angkat dari kecil. Bolehkah saya buat aqiqah untuknya? Terima kasih

Jawapan :

Aqiqah anak pada hukum asalnya dituntut dari orang yang menanggung nafkah si anak (iaitu bapa atau datuknya). Untuk anak tidak sah taraf aqiqahnya dilakukan oleh ibu kerana ibunya yang wajib menanggung nafkahnya. Jika hendak dilakukan oleh orang lain, hendaklah dengan keizinan mereka. Tanpa keizinan mereka, aqiqah itu tidak dikira. Itulah yang menjadi pandangan jumhur ulama termasuk mazhab Syafiie.

Ada juga ulama berpandangan; Bahawa asalkan berlaku sembelihan untuk si anak dengan niat aqiqah sudah dikira aqiqah untuknya tanpa diambil kira siapa melakukannya. Ini berdalilkan sabda Nabi SAW maksudnya :  “Anak kecil dipertaruhkan dengan aqiqahnya, iaitu disembelih (ternakan) untuknya pada hari ke 7, diberi nama dan dicukur kepalanya” (Jami’ at-Tirmizi; 1522, hasan soheh). 

Dalam hadis ini Nabi SAW hanya menyebutkan "disembelih (ternakan) untuknya" tanpa Nabi SAW menentukan siapa sepatutnya melakukannya, maka dengan berlakunya sembelihan dengan niat aqiqah, terhasillah aqiqah untuk si anak sekalipun dilakukan orang asing (Fathul-Bari; 9/595. Subulussalam; 2/542).

Merujuk kepada soalan saudara, jika bapa atau datuk anak itu masih hidup, seeloknya saudara meminta keizinan mereka untuk melakukan aqiqah untuknya. Jika mereka sudah tiada, tidak dapat dikesan atau sukar dihubungi sekalipun masih ada, bolehlah saudara melakukan aqiqah untuknya dengan memakai pandangan kedua tadi. Insya Allah ia menambah lagi amal kebajikan saudara untuk anak itu selain kesudian saudara menjaga dan membelanya.

Soalan : Apakah tanggungjawab dan bakti anak kepada ibu bapanya apabila mereka telah tua?

Jawapan :

Seorang bapa yang pengasih dan penyayang tidak akan membiarkan anak-anaknya hidup menderita tanpa kasih sayang dan tanpa ilmu pengetahuan. Dia akan sanggup berkorban untuk memastikan anak-anaknya mendapat nafkah yang secukupnya dan diberikannya pendidikan samaada untuk kebahagiaan di dunia dan hari akhirat.

Suatu ketika Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu dan beberapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang lelaki tua. Lalu beliau bertanya kepada perempuan itu, “Apakah perihalnya kamu ini?”

Perempuan itu menjawab, “Yang aku dukung ini adalah ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku”

Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu teruja dengan kejadian itu lalu berkata, “Wahai sahabat, lihatlah perempuan ini. Beliau telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya”

Perempuan itu membalas, “Tidak ya Amir al-Mu’minin. Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjaga aku ketika aku kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku menjaganya ketika dia tua. Aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini akan mati!”

Sesungguhnya kamu jika berbakti kepada kedua ibu bapamu tidak akan dapat menandingi kehebatan kasih sayang mereka pada kamu. Kasih sayang yang mereka limpahan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Sedangkan kamu berbakti kepada mereka dan mengharapkanbalasan, samada ganjaran di dunia atau akhirat dan tidak kurang juga yang menanti-nanti kematian mereka.

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi SAW bersabda maksudnya : “Siapa yang suka untuk dipanjangkan umur dan ditambahkan rezeki, maka berbaktilah kepada ibu bapa dan sambunglah tali silaturrahim dengan kerabat.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Kehinaan bagi sesiapa yang memiliki kedua ibu-bapanya yang tua salah seorang atau kedua-duanya, dan tidak dapat memasuki syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan rendahkanlah dirimu terhadap ibu dan bapa kamu dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, 'Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka telah mengasihi aku pada waktu aku kecil'.” (Surah al-Isra’ ayat 24)

Soalan :  Bolehkan ustaz jelaskan apakah adab-adab bersukan menurut cara Islam?

Jawapan :

Rasulullah SAW sememangnya menggalakkan sahabat-sahabatnya bersukan atau riadah dan baginda pernah menyaksikan aktiviti bersukan mereka bersama-sama Aisyah r.ha.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Aisyah r.ha berkata, (maksudnya), "Sesungguhnya aku telah melihat Nabi SAW menutupku dengan kain selendangnya dan (ketika itu) aku sedang melihat orang Habsyah bermain di masjid sehingga aku membuatnya jemu."

Sukan boleh menjadi suatu ibadah dan mendapat pahala sekiranya kita menjaga adab-adabnya. Antara adab-adab yang perlu dipraktikkan ialah :

1. Niat untuk merai keredaan Allah.

2. Permainan yang tidak menyalahi syarak.

3. Berpakaian menutup aurat. Tidak ketat sehingga menampakkan susuk tubuh dan tidak jarang.

4. Permainan yang tidak melibatkan perjudian seperti mempertaruhkan wang dan seumpamanya.

5. Tidak lalai sehingga meninggalkan kewajipan seperti solat.

6. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan.

Agak malang, kebanyakan sukan yang dipraktikkan masa kini tidak menghiraukan aturan syariat yang disebutkan di atas. Contohnya , sukan wanita seperti renang, gimnastik, tarian dan lumba lari yang kebanyakannya mengenakan pakaian yang mendedahkan aurat, di samping bebas disaksikan oleh kaum lelaki.

Bersukan yang sepatutnya mendapat keredaan Allah sebaliknya menempah kemurkaan Allah SWT.

Soalan : Bolehkan ustaz huraikan maksud hadis riwayat Bukhari daripada Jabir r.a.  "Sesungguhnya Allah SWT  akan merahmati seorang yang lapang dadanya ketika menjual,membeli dan menagih hutang."

Jawapan :

Sifat orang mukmin yang akan mendapat rahmat Allah SWT apabila dia berlapang dada semasa dia berniaga menjual barang kepada pelanggannya. Tidak menipu timbangan dan jelas akad jual beli tidak ada unsur-unsur menipu pelanggannya. Begitu juga ketika dia membeli tidak cerewet dan mudah dan mesra semasa membeli jika dia meminta potongan harga adalah dengan harga yang berpatutan tidak menyakitkan hati penjual. 

Begitu juga sifat mukmin yang terpuji sentiasa berlapang dada semasa menuntut hutangnya dan masih memberi ruang masa jika orang yang berhutang masih belum mampu. Dia tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang berhutang dan sentiasa menjaga ukhwah dan silaturahim.

Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah SWT. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Terdapat katu kisah dizaman Bani Israil seorang lelaki yang kurang amal ibadahnya ketika di dunia tetapi cukup berlapang dada semasa menuntut hutangnya apabila ditanya oleh Allah SWT di hari akhirat tentang amalan kebaikannya. Beliau menjawab semasa menuntut hutang dia berlapang dada dan tidak membebankan orang yang berhutang, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya dan dia dimasukkan kedalam syurga dengan rahmat Allah SWT.

Soalan : Di dalam satu ceramah agama seorang ustaz ada membaca sepotong hadis nabi yang berbunyi  : " Dunia itu penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang kafir." Bolehkah ustaz huraikan maksud hadis tersebut?

Jawapan :

Memang benar terdapat satu hadis Nabi SAW yang bermaksud : " Dunia itu penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang kafir."(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, dan At-Tirmidzi dari  Abu Hurairah. Sahih Al-Jami' - 3412)

Hidup di dunia ini adalah medan ujian untuk orang-orang yang beriman. Hidup di dunia adalah sementara waktu sahaja kerana setiap masa terikat dengan peraturan dan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT . Keadaan yang dikawal dengan undang-undang dan hukum-hakam dan tidak boleh lari daripada peraturan yang ditetapkan adalah dianggap sebagai penjara. 

Jika kita lihat suasana hidup dipenjara tidaklah sama semasa hidup bebas diluar penjara, kerana dipenjara setiap masa dikawal dengan undang-undang , ada warden yang sentiasa mengawasi setiap banduan, waktu untuk makan, bermain, tidur semuanya ada masa-masa yang telah ditetapkan dan setiap banduan diwajibkan untuk mematuhinya.

Di dunia ini adalah syurga untuk orang kafir kerana mereka bebas membuat apa saja yang dapat memuaskan hawa nafsunya. Bagi mereka tidak ada yang haram semuanya boleh belaka seperti berzina, minum arak, menipu, main judi dan bersekedudukan tidak halangan dan peraturan yang menyekatnya. Di hari akhirat nanti mereka tidak berpeluang memasuki syurga sebaliknya akan dimasukkan ke dala neraka Jahanam.

Orang beriman tidak mengenal letih, putus asa dan kecewa dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Dunia tempat bekerja bukan tempat rehat. Oleh itu kalian mesti gigih melaksanakan amal soleh, memperbanyakkan amal ibadah, meningkatkan ilmu fardu ain dan menyampaikannya, berdakwah dan berjihad di jalan Allah SWT.

Ingatlah! Dunia tempat menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menanam memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Tetapi tanpa melalui kesusahan, kita tidak akan dapat menikmati kesenangan. Jangan sekali-kali mengikut ajakan syaitan dan godaan nafsu menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran. Seorang mukmin tahu dengan yakin, dunia bukan negeri yang mulia. Tempat sekadar persingahan yang sementara.

Abu Said meriwayatkan, Rasullullah SAW bersabda : "Nabi Musa a.s. berkata :  "Wahai Rabb, sungguh engkau telah menutup dunia untuk hamba-Mu yang beriman!"

Lalu Allah SWT membukakan salah satuu pintu syurga  seraya berfirman maksudnya :  " Inilah yang Ku- persiapkan untuknya"

Nabi Musa a.s.  berkata : "Demi kemuliaan dan keagungan dan ketinggian kedudukan-Mu, andaikan ada orang yang dipotong kedua tangan dan kakinya lalu diseret wajahnya semenjak Engkau menciptakannya sampai hari kiamat, kemudian ini (syurga) ialah tempat kembalinya, tentu seakan ia sama sekali tak ingat lagi akan seksaan."

Nabi Musa a.s. berkata :  "Wahai Rabb, sungguh engkau memberi kenikmatan  kepada orang kafir..." Lalu Dia membukakan untuknya salah satu pintu neraka, seraya berfirman maksudnya : "Inilah yang Ku-persiapkan untuknya."

Nabi Musa a.s.  berkata : "Wahai Rabb, Demi Kemuliaan-Mu, andai Engkau berikan kepadanya dunia beserta isinya, dan ia seperti itu terus sejak Engkau menciptakannya sampai hari kiamat, kemudian ini (neraka) ialah tempat kembalinya, maka  seakan ia tak pernah merasakan kebaikan sama sekali'."
(Hadis Riwayat Ad-Dailami dengan sanad shahih Abu Said)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML