Saturday, May 17, 2014

Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 1


Wahyu Pertama & Kedua

Jabal Nur

Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam telah mengasingkan diri dari kejahilan dan amalan syirik masyarakat dengan beruzlah di Gua Hira’ di atas Jabal Nur yang terletak kira-kira 2 batu dari Kota Makkah.  Pada bulan Ramadhan tahun ketiga beruzlah di sana, turunlah wahyu pertama daripada ALLAH Subhanahu wa Ta`ala melalui Malaikat Jibril.  Wahyu yang pertama ialah ayat 1-3 dari surah Al-`Alaq.

Menurut pengiraan, peristiwa ini berlaku pada hari Isnin, 21 Ramadhan di waktu malam, bersamaan 10 Ogos 610M.  Ketika itu umur Baginda sallAllahu `alaihi wasallam adalah 40 tahun qamariyyah (perkiraan bulan), 6 bulan dan 12 hari.  Iaitu kira-kira 39 tahun shamsiyyah (perkiraan matahari), 3 bulan dan 12 hari.

Selepas beberapa hari selepas peristiwa tersebut berlaku, turun pula wahyu yang kedua kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Wahyu tersebut ialah ayat  1-5 dari surah Al-Muddaththtir.

Peta Makkah hari ini

Dakwah Secara Rahsia

Peringkat dakwah secara rahsia telah berjalan selama 3 tahun di Makkah.  Dakwah telah disampaikan kepada orang-orang yang paling dekat hubungannya dengan Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, iaitu di kalangan ahli keluarga dan teman-temannya.

Pada hari pertama dakwah, seramai 4 orang telah memeluk ISLAM.  Mereka ialah Khadijah binti Khuwaylid (isteri Baginda), Zayd bin Thabit bin Shurahbil al-Kalbi (hamba Baginda), Ali bin Abu Talib (sepupu Baginda, beliau masih kanak-kanak dan di bawah jagaan Baginda) dan Abu Bakar as-Siddiq (sahabat setia Baginda).

Melalui Abu Bakar as-Siddiq seramai 5 orang memeluk Islam.  Mereka ialah `Uthman bin `Affan al-Umawi, al-Zubayr bin al-`Awwam al-Asadi, `Abdul Rahman bin `Awf al-Zuhri, Sa`ad bin Abi Waqqas al-Zuhri dan Talhah bin `Ubaydullah al-Taymi.

Kemudian, diikuti pula oleh Bilal bin Rabbah al-Habshiy, `Ubaydah `Amir bin al-Jarrah, Abu Salamah bin `Abd al-Asad al-Makhzumi, al-Arqam bin Abi al-Arqam al-Makhzumi, `Uthman bin Maz`un dan 2 beradiknya, iaitu Qudamah dan `Abdullah, `Ubaydah bin al-Harith bin al-Muttalib bin `Abd Manaf, Sa`id bin Zayd al-`Adawi dan isterinya Fatimah binti al-Khattab (adik perempuan `Umar bin al-Khattab), Khabbab bin al-Aratt, `Abdullah bin Mas`ud al-Hudhaliy dan ramai lagi.  Golongan yang terawal memeluk Islam ini digelar sebagai al-Sabiqun al-Awwalun.  Dikatakan bilangan mereka melebihi 40 orang.  Walau bagaimanapun, bilangan mereka dipersilihi di kalangan para ulama.

Antara perintah awal yang diturunkan ialah perintah mendirikan solat.  Pada permulaan Islam, ALLAH mewajibkan solat 2 rakaat pada waktu pagi dan 2 rakaat pada waktu petang.  Sepanjang tempoh rahsia ini, terbentuk persaudaraan akrab di kalangan orang yang memeluk Islam.  Setelah hampir 3 tahun, orang-orang Quraisy Makkah mula mengetahui dakwah sulit itu.  Walaupun pada awalnya mereka tidak mempedulikan, namun mereka tetap menghantar orang untuk mengintip untuk mengetahui hasil dakwah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

Dakwah Secara Terbuka

Dakwah secara terbuka berlaku pada tahun ke-4 kenabian.  Ayat pertama yang turun berkenaan hal ini ialah ayat 214 dari surah Asy-Shu`ara’.  Langkah pertama selepas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menerima wahyu tersebut ialah memanggil Bani Hashim.  Turut serta ialah Bani al-Muttalib bin `Abd Manaf.  Sebelum Nabi sallAllahu `alaihi wasallam berucap, Abu Lahab telah terlebih dahulu memberikan ucapan.  Di dalam ucapan itu, Abu Lahab telah meremehkan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Baginda terdiam dan tidak bercakap di dalam majlis tersebut.

Kemudian, Baginda memanggil mereka lagi pada kali kedua.  Kali ini, Abu Talib telah mengatakan bahawa sokongan akan diberikan terhadap apa yang diucapkan oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Walaupun Abu Lahab sekali lagi menjadi penentang, namun dengan sokongan dan jaminan Abu Talib, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam akan meneruskan usahanya untuk menyampaikan seruan dakwah kepada semua orang.

Di atas Bukit Safa, sekalian  kaum Quraisy telah dikumpulkan bagi mendengar apa yang bakal disampaikan oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Seperti di dalam majlis keluarga yang diadakan sebelum ini, sekali lagi Abu Lahab menjadi penentangnya.  Selesai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam berucap, Abu Lahab telah menjerit, “Celaka engkau seluruh hari ini, adakah kerana ini engkau mengumpulkan kami?” Kemudian, turunlah ayat dari surah Al-Masad bagi mencela perbuatan Abu Lahab tersebut.

Penentangan Musyrikin Makkah

Kemudian turunlah pula firman ALLAH, ayat 94 surah Al-Hijr yang memerintahkan agar Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam agar menyampaikan dakwah secara berterus-terang dan tidak menghiraukan bantahan musyrikin Makkah.  Dengan turunnya ayat tersebut, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam mula mengkritik  segala bentuk kesyirikan yang berlaku di dalam masyarakat.  Dengan penerangan dan krtitikan itu, maka bermulalah penentangan musyrikin Makkah terhadap dakwah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

Antara yang diperbuat oleh musyrikin Makkah ialah:

Menghantar rombongan untuk bertemu dengan Abu Talib untuk meminta kebenaran agar mereka boleh mengenakan tindakan terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.  Namun, Abu Talib telah menjawab permintaan mereka dengan lemah-lembut dan menolak permintaan mereka.

Musyrikin Makkah risau yang dakwah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam akan tersebar kepada jemaah haji yang akan datang beramai-ramai ke Makkah.  Mereka berbincang bagaimana untuk menyekat dakwah Baginda agar tidak sampai kepada jemaah haji.  Mereka menuduh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sebagai ahli sihir.  Abu Lahab mengikut Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam ke mana sahaja Baginda pergi.  Dia mengatakan kepada jemaah haji yang mendengar dakwah Baginda bahawa Baginda adalah orang yang telah keluar agama dan pembohong.  Perbuatan ini tersebar hingga ke seluruh tanah Arab apabila jemaah haji pulang ke tempat masing-masing.

Mengejek, memperleceh, memperolok-olok, mendusta dan mentertawakan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam serta pengikut-pengikut Baginda.  Ini bertujuan untuk membuatkan pengikut-pengikut Baginda berasa lemah semangat dan tertekan.  Rujuk ayat 6 dari surah Al-Hjir, ayat 4 dari surah Sad, ayat 51 dari surah al-Qalam, ayat 53 dari surah al-An`am dan ayat 29-33 dari surah Al-Mutaffifin.

Mengganggu ajaran-ajaran Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, menimbulkan syak serta memperbanyakkan dakyah palsu supaya orang awam tidak mendapat ruang fikir untuk berfikir tentang dakwah Baginda.  Rujuk ayat 5 dari surah al-Furqan.

Membandingkan al-Quran dengan cerita-cerita dongeng dahulu kala.  Al-Nadr bin al-Harith yang mahir tentang cerita-cerita Raja Parsi, Rustam dan Aspandiar selalu menyusuli dakwah Baginda sallAllahu `alaihi wasallam dengan cerita beliau untuk menunjukkan bahawa dia juga pandai bercerita jika dibandingkan dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.
Menghantar penyanyi wanita kepada lelaki yang cenderung kepada dakwah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.  Ini supaya hilang kecenderungan lelaki tersebut untuk mengikuti dakwah Baginda.

Tawar-menawar dengan mempertemukan Islam dan Jahiliyyah.  Antaranya ialah bergilir-gilir sembah tuhan mereka setahun, dan sembah Tuhan Muhammad selama setahun.  Dan ada juga yang tawaran mengajak sama-sama menyembah tuhan di antara satu sama lain untuk melihat tuhan manakah yang lebih baik.  Tawar-menawar ini telah disuruh ALLAH Ta’ala berkata dengan tegas bahawa tiada tawar-menawar di dalam agama.  Perkara ini dirakam di dalam surah al-Kafirun.

Dilakukan penindasan, penghinaan dan penyeksaan terhadap orang-orang yang miskin dan lemah yang mengikuti dakwah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

Disebabkan oleh penindasan yang dahsyat yang dikenakan oleh musyrikin Makkah ke atas orang-orang Islam, maka sebahagian besar terpaksa menyembunyikan keIslaman mereka.  Kerana jika dizahirkan, maka akan berlaku pertumpahan darah dan penghapusan ummat Islam.  Oleh itu, adalah lebih hikmah jika semua aktiviti dan ibadah mereka dilakukan secara tersembunyi.

Rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam al-Makhzumi yang terletak di atas Bukit Safa yang kedudukannya agak terpencil telah dijadikan sebagai pusat dakwah dan tempat berkumpul ummat Islam pada tahun ke-5 kenabian.  Walau bagaimanapun, berbeza dengan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam, Baginda tetap melakukan dakwah secara terang-terangan dan beribadah berhampiran dengan kaum musyrikin tanpa ada yang dapat menghalang.  Antara faktornya ialah Baginda telah mendapat perlindungan dan jaminan daripada Bani Hashim dan Bani `Abd al-Muttalib, khususnya oleh Abu Talib yang merupakan orang penting dan ternama di kalangan Quraisy.

Begitulah sedikit ringkasan kisah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pada awal tempoh Baginda menerima wahyu.  Betapa peritnya halangan yang terpaksa Baginda tempuhi dalam membawa risalah agung dari ALLAH Subhanahu wa Ta’ala ini.

Bukanlah mudah untuk Baginda membawa mesej mulia ini ke tengah-tengah masyarakat, apatah lagi mendapat tentangan yang sangat kuat dari segenap lapisan masyarakat, terutamanya dari golongan pembesar-pembesar dan hartawan.  Justeru, hendaklah kita bersyukur dan mengambil pengajaran dari kisah ini.

Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas dan lebih menyentuh perasaan, kajilah kisah insan mulia ini iaitu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.  Nescaya akan terbit rasa cinta dan sayang kepada Baginda lantaran pengorbanan yang telah Baginda lakukan demi menyebarkan dakwah.  Antara cara yang mudah ialah dengan mendapatkan buku sirah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam yang berada di pasaran seperti buku Ar-Rahiq Al-Makhtum susunan Sheikh Safiyyu ar-Rahman al-Mubarakfuri.  Tulisan di atas diringkaskan dari apa yang terkandung di dalam buku tersebut.

Allahumma solli `ala Muhammad, wa `ala ali Muhammad.

Sekadar menyampaikan,

* Diringkaskan dari merujuk kitab terjemahan ar-Rahiq al-Makhtum yang diterbit oleh YADIM.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML