Facebook oh Facebook…
Engkau datang ke dalam hidup insan penuh dengan sensasi,
Semua orang cakap pasal dirimu setiap hari,
Yang dewasa, remaja dan kanak-kanak pun tak terkecuali,
Malah para pemimpin mempromosi dirimu ke seluruh negara dan negeri,
Facebook sebagai medium bersosial terkini.
Facebook oh Facebook…
Bukan setakat itu sahaja,
Malah ramai ulama berbincang baik dan buruknya,
Samada memberikan manfaat atau memudharat sifatnya,
Ibarat pisau yang memotong makanan atau meluka manusia,
Ia berbalik pada niat dan cara si pengguna.
Facebook oh Facebook…
Engkau dibuka manusia hampir setiap waktu,
Ada yang berdakwah, ada yang merapu,
Ada yang berukhuwwah, ada yang jadi seteru,
Dulu hanya di depan komputer manusia mengadapmu,
Kini dalam telefon bimbit ke sana ke sini asyik denganmu.
Facebook oh Facebook…
Banyak aib manusia telah engkau dedahkan,
Aurat si gadis dan wanita menjadi tontonan,
Masalah rumahtangga habis ditelanjangkan,
Hilanglah malu, tergadailah maruah ramai insan,
Zaman fitnah semakin jelas kelihatan.
Facebook oh Facebook…
Akal dan nafsu selalu berperang tatkala menggunakanmu,
Kaum Adam dan Hawa berbual kurang malu,
Ada yang nakal terus tersangkut melulu,
Syaitan ketawa kerana ‘ikan dah masuk bubu’,
Gejala sosial ganda beribu-ribu.
Facebook oh Facebook…
Banyak rahsia dan cerita manusia telah terdedah,
“Hari ni aku makan di restoran Mak Kiah”,
“Oh, aku sangat rindukan si Milah”,
“Alamak, bulu hidung aku panjang sebelah”,
“Fuyyo, dahsyatnya kereta orang jiran sebelah”,
“Ah, aku kesedihan hari ini kerana dimarahi mak dan abah”,
“Cit, kucing tu berak lagi…aarghhh!”
“Best, hari ni RM50 aku sedekah”
Macam-macam gelagat manusia terkisah,
Ada yang betul caranya dan ada yang salah.
Facebook oh Facebook…
Engkau beri juga ruang untuk kongsi tips dan juga nasihat,
Supaya terpapar hal bermanfaat untuk dunia dan akhirat,
Mengingatkan manusia yang leka dan selalu tak ingat,
Kerana sedar ia adalah tuntutan syariat,
Menjadi bekalan hasanah, membaiki diri dan masyarakat.
Facebook oh Facebook…
Keasyikan terhadapmu membuatkan ramai gian,
Walaupun niat di hati nak berdakwah dan buat kebajikan,
Ada yang sampai anak dan isteri dilupakan,
Mereka lupa itulah permata hati dan warisan,
Dakwah yang paling utama dan mesti didahulukan.
Facebook oh Facebook…
Engkau membuatkan manusia selalu sibuk dengan Facebook,
Tengah berbual dengan kawan di gerai, orang berFacebook,
Tengah makan dengan anak dan isteri, sempat lagi berFacebook,
Tengah mesyuarat pun ada orang berFacebook,
Tengah berbincang dengan mak ayah pun, tangan menaip di Facebook,
Tengah pensyarah memberi ilmu, aik sempat lagi Facebook?
Aduh, kenapa begitu sekali wahai Facebook?
Ramai orang tidak lagi di alam nyata, mereka asyik di alam Facebook,
Makan: Facebook, minum: Facebook, bermain: Facebook, berjalan: Facebook…
Facebook…Facebook…Facebook!
Facebook oh Facebook…
Engkau kini semakin dahsyat,
Memberi kesan baik dan buruk pada masyarakat,
Terpulang pada kami untuk memanfaatkan atau ditimpa mudharat,
Mudah-mudah engkau akan menjadi saksiku di akhirat,
Bahawa aku telah menggunakanmu untuk berbuat taat.
No comments:
Post a Comment