Wednesday, March 12, 2014

PAKAIAN AHLI SYURGA

Neraka di Sediakan Oleh Allah Untuk Mereka yang Kufur dan Melakukan Dosa.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Neraka adalah tempat balasan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang berdosa dan melakukan perbuatan maksiat dan tidak mahu mentaati perintah-Nya ketika di dunia.

Pakaian ahli neraka adalah daripada api. Dituangkan ke kepala mereka dengan air yang sedang mendidih. Dengan tuangan itu hancur luluh segala isi perutnya serta kulit-kulitnya. Setelah itu mereka dipukul dengan cambuk daripada besi. Apabila mereka hendak keluar dari neraka; mereka dicampakkan kembali ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka; "Rasakan seksaan yang membakar ini!"

Firman Allah SWT maksudnya : "Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian daripada api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak,." (Surah al-Hajj (22) ayat 19)

Firman Allah SWT maksudnya : "Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka. Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka. Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: "Rasalah kamu azab seksa yang membakar!" (Surah al-Hajj (22) ayat 20-22) 

Semoga dijauhkan Allah daripada terjadi seperti ini kepada kita. Diberikan pakaian daripada api hinggakan melolong, meraung, merintih,lalu  ingin lari tetapi setiap kali ingin keluar ditarik kembali dan dicambuk.

Apa kata malaikat penjaga neraka? "Rasalah kamu azab seksa yang membakar!"
Ada pula seksaan ahli neraka iaitu dahi, lambung (rusuk) dan ponggong (belakang) mereka dipanggang dengan api neraka. Kita di dunia ini tertusuk pakupun; untuk berjalan bukan main pedihnya. Tertusuk duripun sudah bukan main pedihnya inikan pula dahi, lambung dan ponggong disalai atau dipanggang.

Firman Allah SWT maksudnya : "(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu." (Surah at-Taubah (9) ayat 35)

Kita mohon perlindungan daripada Allah SWT daripada azab neraka yang menyeksakan. 

Ada lagi di kalangan penduduk neraka leher diikat dengan rantai dan diseret dengan sekeras-kerasnya dan dilemparkan ke dalam lautan air yang sedang mendidih, kemudian mereka dibakar dalam api yang menjulang dan bernyala-nyala. Ini dinyatakan dalam surah Ghaafir seperti di bawah.

Firman Allah SWT maksudnya : "Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka, diseret. Ke dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api neraka." (Surah Ghaafir (40) ayat 71-72)

Ada lagi penduduk neraka yang dipegang jambulnya lalu diseret ke tengah-tengah neraka kemudian kepala mereka dituang dengan air yang mendidih seperti yang dijelaskan dalam surah ad-Dukhaan ayat 47 dan 49.

Firman Allah SWT maksudnya : "(Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga neraka): "Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah neraka. (Surah ad-Dukhaan (44) ayat 47)

Firman Allah SWT maksudnya : "(Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): "Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)" (Surah ad-Dukhaan (44) ayat 49)

Pendeknya azab dan seksa neraka itu sesuai dengan amalan dosa manusia ketika mereka berada di dunia.

Dalam Israk dan mikraj Rasulullah SAW ditunjukkan pelbagai penglihatan sebagai contoh dan tamsil daripada kehidupan di dunia ini.  Rasulullah SAW diperlihatkan pelbagai perkara mula dari awal perjalanan hinggalah ke syurga dan neraka dan seluruh azabnya.

Sebagai contoh semasa Nabi diberikan sebelum mikraj dengan dua gelas minuman, satu berisi arak  dan satu lagi berisi susu, Nabi tanpa ragu-ragu mengambil minuman yang berisi susu dan minum. Selepas baginda minum malaikat Jibril berkata; " Engkau telah benar wahai Muhammad, pilihanmu tepat."

"Kenapa ya Jibril?"tanya baginda,

lalu Jibril berkata; "Untung susu yang kamu minum kalau arak yang kamu ambil pasti umatmu akan jadi umat yang tidak baik."

Ini harus dijadikan contoh bahawa dalam kehidupan kita, jika kita berhadapan dengan hak dan batil maka hati-hati jangan tersalah membuat pilihan.

Banyak perkara yang berlaku di neraka ditunjukkan kepada baginda, baginda melihat sekelompok manusia yang dilontari kepalanya dengan batu daripada api neraka, tiap-tiap kali dilontar kepala itu hancur berkeping-keping, otak berantakan lalu dikembalikan kepala itu ke bentuk asal, setelah kembali ke bentuk asal dilontarkan pula api neraka hingga berkecai kembali. Menjerit, meraung, merintih kesakitan, terus menerus tidak pernah berhenti.

Bila ditanya kenapa begitu keadaannya, Jibril menjawab ya Muhammad itulah contoh daripada umatmu yang berat untuk sujud kepada Allah SWT. Tidak pernah mendirikan solat ertinya sombong kepada Allah SWT.

Selompok lain pula perutnya besar sebesar rumah dililit dengan kala dan ular daripada api neraka diseret-seret dijurang neraka, Dipatuk oleh ular hancur perutnya, lalu dikembalikan ke bentuk asal dan diseret lagi, begitulah berulang-ulang. Ini adalah balasan untuk orang yang suka makan riba dan harta anak yatim.

Ada sekelompok lagi kukunya terbuat daripada tembaga api neraka, panjang kukunya lalu mencakar-cakar mukanya.dan mengoyak-ngoyakan mukanya sendiri, hancur muka dan dikembalikan lagi ke bentuk asal begitulah berulang-ulang. Ini balasan untuk mereka yang sentiasa bermusuh-musuhan sesama saudara muslim, suka cari aib orang lain, menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.

Sahabat yang dimuliakan,
Nabi SAW berwasiat kepada Saidina Ali k.w. : "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu Syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

Wahai Ali ! Ketika Allah mencipta Syurga, maka Syurga bertanya kepada Allah :
'Ya Tuhanku, untuk apakah Engkau menciptakan aku?'

'Untuk setiap orang yang bermurah hati dan orang-orang yang bertakwa,' jawab Allah s.w.t.

'Kalau begitu saya senang sekali.' ucap Syurga.

Kemudian Neraka pun bertanya kepada Allah ketika ia diciptakan :
'Ya Tuhanku, untuk apakah Engkau menciptakan aku?'

'Untuk setiap orang yang bakhil (kedekut) dan sombong.'

'Ooh.....,baiklah saya untuk mereka,' ucap Neraka.

Wahai Ali ! Barangsiapa menentang hawa nafsunya, Syurgalah tempat ia kembali. Dan barangsiapa yang menuruti hawa nafsunya, Neraka Jahannamlah tempatnya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita memohon perlindungan Allah SWT daripada azab neraka Jahanam


رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ، رَبَّنَا إِنَّكَ مَنْ تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ


Maksudnya : "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka" "Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun" (Surah Ali-Imran ayat 191-192)

Semoga Allah SWT melindungi kita daripada azab seksaan-Nya dihari akhirat dan memasukkan kita semua kedalam syurganya dengan rahmat-Nya.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML