Monday, March 10, 2014

MALAM NUZUL AL-QURAN

Malam Nuzul Al-Quran Adalah Malam Al-Quran Di Turunkan.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nuzul al-Quran iaitu masa al-Quran diturunkan kepada Junjungan Besar Rasulullah SAW. pada 17 Ramadan.

Kita sedang berada dipenghujung fasa kedua iaitu pengampunan dari Allah SWT. dan akan memasuki fasa terakhir iaitu pembebasan dari api neraka.Beberapa hari lagi akan sampai kepada Nuzul al-Quran. 

Marilah kita bermuhasabah dan memerhatikan kualiti ibadah puasa yang kita laksanakan dan amalan ibadah-ibadah yang lain. Adakah ibadah puasa yang dilakukan pada zahir dan batin iaitu puasa dalam erti sebenarnya?. Sekiranya kita dapat menjaganya dan mengawal hati, nafsu dan keinginan lahiriah maka kita telah berjaya meningkatkan kualiti ibadah puasa iaitu puasa darisegi zahir dan batin.

Darisegi ibadah yang lain pula berjalan dan berterusan secara konsistan iaitu solat tarawih 8 atau 20 rekaat, solat witir 3 rekaat, solat duha, solat tahajjud, solat taubat,solat hajat, membaca al-Quran, mendengar tazkirah Ramadan, sedekah , bermunajat, berdoa dan berzikir . Tidak ada ruang langsung untuk membuang masa yang sia-sia. Berusahalah semoga Ramadan tahun ini akan menjadi Ramadan terbaik untuk kita. 

Sahabat yang dimuliakan,
Peristiwa Nuzul al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW. 

Ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran. 

Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Untuk pengetahuan kalian pada awalnya Allah SWT menempatkan keseluruhan Al-Quran di LohMahfuz, iaitu satu tempat yang amat mulia dan suci. Ketika ini, Allah SWT sejak awal lagi menunjukkan kemutlakan kebijaksanaan-Nya dengan menentukan segala apa yang tercatat disitu akan benar-benar berlaku. Keyakinan akan kemuliaan al-Quran di Luh Mahfuz dinyatakan begitu jelas sekali dalam firmanNya yang bermaksud :

"Bahkan (yang didustakan itu) ialah al-Quran yang mulia, yang (tersimpan) dalam (tempat) yang terjaga (Loh Mahfuz)" (Surah al-Buruj ayat 21-22)

Langkah kedua ialah, ia diturunkan secara sekaligus dari Loh Mahfuz ke Baitul Izzah yang terletak di langit dunia pada malam yang penuh dengan kemuliaan, iaitu Malam Kemuliaan (Lailatul Qadr) di bulan Ramadan. Hal ini tercatat dalam firmanNya yang bermaksud : " Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu, dan pembeza (antara yang benar dan yang batil).." (Surah al-Baqarah ayat 185)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemulian (Lailatul Qadr). Tahukah kamu apakah itu malam kemuliaan (Lailatul Qadr) itu?. Malam kemuliaan itu (Lailatul Qadar) lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan roh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahtera (malam itu) sampai terbit fajar." (Surah al-Qadr ayat 1-5) 

Kemudian al-Quran itu diturunkan beransur-ansur kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril. Peristiwa itu bermula dengan menjelmanya Malaikat Jibril dihadapan Rasulullah SAW di Gua Hira’, tepatnya ketika baginda berusia 40 tahun.

Ibnu Abbas menyatakan: "Al-Quran itu diturunkan pada malam kemuliaan (Lailatul Qadr) dalam bulan Ramadan ke langit dunia secara sekaligus, kemudian diturunkan secara beransur-ansur."

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Lailatul Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain . 

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah SAW ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira. 

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam kemuliaan (Lailatul Qadr ) pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan. 

Sahabat yang dihormati,
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada kalian semua beberapa panduan iaitu :

1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran.

2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan pena dan tulisan.

3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.

Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; "Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan." Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-Qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. 

Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun 4 bulan. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menghayati di malam nuzul al-Quran ini dengan azam menjadikan al-Quran sebagai peduman hidup kita, membacanya, memahami maknanya dan menghayati maksud yang terkandung di dalamnya . Semata-mata mencari keredaan Allah SWT dan mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML