Saturday, March 1, 2014

ISTIQAMAH

Istiqamah Amalan Yang Di Sukai Oleh Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya :  “Amalan yang disukai oleh Allah, adalah yang terus menerus (istiqamah) walaupun sedikit.” (Hadis Riwayatkan Bukhari dan Muslim dari Aisyah)

Huraiannya :

Amalan yang disukai oleh Allah SWT adalah suatu amalan yang dilakukan walaupun nampak sedikit tetapi ianya dibuat secara berterusan dan konsisten dan ditingkatkan sedikit demi sedikit semata-mata mencari keredaan Allah SWT.

Orang yang beristiqamah bukan sahaja amalan dan perbuatannya istiqamah tetapi hati, jiwa dan keyakinannya kepada Allah SWT tetap istiqamah yakni tidak ragu-ragu.

Dalam riwayat yang lain daripada Sufyan bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu mengatakan, (maksudnya): “Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang Islam suatu ucapan yang aku tidak akan bertanya lagi mengenainya kepada seorang pun selainmu.’ Baginda bersabda: Katakanlah, “Aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamahlah!” (Hadis Riwayat Muslim)

Al-Qadhi Iyadh mengatakan bahawa, “Ini adalah salah satu (Jawami’al-Kalim) ucapan baginda Nabi SAW yang ringkas tetapi padat.

Menurut Saidina Umar ibn al-Khattab radhiyallahu ‘anhu, sewaktu mendefinisikan maksud istiqamah ialah “Mereka yang beristiqamah, demi Allah dalam ketaatan kepada-Nya dan tidak bersuara dengan suara rubah. Ini bermaksud, mereka yang istiqamah adalah seimbang dari segi kuantiti ketaatan kepada Allah, baik keyakinan, ucapan mahupun perbuatan dan mereka tetap dalam keadaan demikian. Inilah makna pendapat kebanyakan ahli tafsir, dan inilah makna hadis yang dihuraikan tadi.

Sebenarnya istiqamah adalah suatu perkataan yang ringan di lidah namun amat berat untuk diterjemahkan. Ianya juga merupakan amalan yang paling sukar untuk dilakukan.

Hadis ini selaras dengan peringatan yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Hud ayat ke-112 yang bermaksudnya : "Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum- hukum Allah sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan."

Menurut Imam Ibn Daqiq al-’EId ketika mensyarahkan hadis ini, beliau mendatangkan kata-kata Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu dengan katanya:

“Tidak pernah turun kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wasallam di semua al-Quran suatu ayat pun yang lebih berat baginya dibandingkan ayat ini. Ini kerana berdasarkan hadis Nabi Sallallahu ‘Alahi Wasallam dalam sahih Tirmizi dan al-Hakim (maksudnya): “Surah Hud dan sejawat dengannya telah membuat rambutku menjadi beruban.”

Besarnya persoalan istiqamah ini. Memang ianya sukar dipikul oleh orang yang sebarangan. Manakan tidaknya, sehinggakan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri pernah bersabdamaksudnya) : "Beristiqamahlah dan kamu tidak akan sampai pada hakikat istiqamah."

Itulah beratnya perkataan istiqamah. Kita sentiasa merindui gerak lenggok tangan dan seluruh tulang empat kerat kita agar sentiasa beristiqamah dalam ibu segala perbuatan kebaikan iaitu mempertahankan akidah Islam yang bersih sehinggalah kita dipanggil oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Kita juga merindui istiqamah seperti istiqamahnya para sahabat seperti Bilal bin Rabah yang terkenal dalam beristiqamah mempertahankan akidahnya dengan perkataan ‘Ahad’.

Begitu juga istiqamahnya Abu Talhah radhiyallahu ‘anhu dalam berjihad pada jalan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Seperti mana kisah beliau bersama anak-anaknya yang menghalangnya daripada keluar berperang pada jalan Allah ‘azza wajalla. Sedangkan di dalam hati Abu Talhah radhiyallahu ‘anhu terdapat keinginan dan istiqamah yang tinggi yang dimiliki oleh sahabat besar itu untuk berperang dan mati syahid.

Lalu Abu Talhah keluar berperang. Dan diriwayatkan bahawa beliau tidak sempat berperang dan mati sewaktu belayar. Juga dikhabarkan, bahawa jasad Abu Talhah kekal seperti asal walaupun hampir 9 hari belum disemadikan. Kisah ini dapat kita lihat dalam al-Asas fi Tafsir karangan Syeikh Said Hawwa.

Itulah mahar yang tinggi yang dibayar oleh Abu Talhah dalam membeli nilaian syurga. Istiqamah mereka tercatat dalam sejarah.

Begitu juga istiqamahnya keluarga Yaasir iaitu Sumaiyyah, Ammar dan Yaasir. Istiqamah mereka mempertahankan akidah dijanjikan syurga yang tidak ternilai

Sabda Nabi Sallallahu ‘Alahi Wasallam, “Shobran aali yaasir fainna mauídakumul jannah”(maksudnya): “Sabarlah keluarga Yaasir, kerana sesungguhnya telah dijanjikan bagi kamu syurga Allah!”

Sahabat yang dimuliakan,
Orang mukmin yang berilmu sentiasa istiqamah, ikhlas dan berani, ketegasan mereka didorong oleh kesungguhan untuk mempertahankan prinsip kebenaran.

Orang yang berilmu mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Tuhan dan masyarakat. Al-Quran menggelarkan golongan ini dengan pelbagai gelaran mulia dan terhormat yang menggambarkan kemuliaan dan ketinggian kedudukan mereka di sisi Allah SWT dan makhluk-Nya.
Ia sekaligus menunjukkan bahawa daya usaha untuk memperoleh ilmu melalui pelbagai saluran dan pancaindera yang dikurniakan Allah SWT membimbing seseorang ke arah mengenal dan mengakui ketauhidan Rabbul Jalil.
Ini memberi satu isyarat dan petunjuk yang penting bahawa ilmu mempunyai hubungkait yang amat erat dengan dasar akidah tauhid. Orang yang memiliki ilmu sentiasa istiqamah, tidak terhad kepada ilmu pengajian Islam semata-mata - sepatutnya mengenal dan mengakui keesaan Allah SWT dan keagungan-Nya.

Hasilnya, orang yang berilmu akan gerun, tunduk, kerdil dan hina berhadapan dengan kekuasaan dan keagungan Allah SWT dan sentiasa istiqamah. Ibn Mas’ud pernah berkata “bukanlah dinamakan berilmu dengan hanya banyaknya (meriwayatkan) hadis, tetapi berilmu yang sebenar ialah (melahirkan) banyaknya perasaan gerun (kepada keagungan Allah).
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita berpegang teguh dengan prinsip Islam dan beristiqamah dan tidak ragu-ragu berada di jalan yang hak sehingga kita kembali bertemu dengan  Allah SWT. Sesiapa yang sentiasa istiqamah maka dia akan sentiasa berada di dalam rahmat Allah SWT dan mendapat keredaan-Nya.

Sama-samalah kita berdoa agar Allah SWT menempatkan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang kekal beristiqamah.

Sifat Orang Mukmin Sentiasa Istiqamah di Jalan Allah.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup kita di dunia penuh dengan cabaran dan dugaan. Dengan ujian dan dugaan inilah Allah S.W.T. ingin memilih siapa di antara hamba-hamba-Nya yang istiqamah dan tetap pendirian untuk meneruskan perjuangan hidup di dalam dunia yang fana ini.

Dalam kamus bahasa, istiqamah diertikan sebagai sikap teguh pendirian dan sentiasa konsisten.

Sayyidina Abu Bakar As Shiddiq r.a ketika ditanya tentang istiqamah ia menjawab bahwa “Istiqamah adalah kemurnian tauhid (tidak boleh menyengutukan Allah dengan apa dan siapapun).”

Sayyidina Ali bin Abu Talib k.w. berkata: "Istiqamah adalah melaksanakan kewajiban-kewajiban."

Tahap keimanan seseorang itu hendaklah berjalan terus menerus dan meningkat naik kadar dan kekuatannya. Keimanan mesti terus hidup, berjalan serta tiada henti. Keimanan yang diiringi dengan istiqamah memiliki kesan yang luar biasa bagi seseorang yang melakukannya.

Dia akan mendapatkan kurnia Allah di mana para malaikat akan turun kepadanya saat menjelang kematiannya memberitahunya agar dia tidak takut, khuatir, gentar dan panik menghadapi kematian dan jangan pula bersedih dan gundah gulana kerana dia akan mendapatkan syurga sebagaimana yang telah dijanjikan kepada mereka.

Untuk beristiqamah, bukan satu perkara yang mudah. Hati manusia ini senantiasa berdolak dalih dan jiwanya juga senantiasa berubah-ubah. Keimanan kita ada saat ianya segar, bersemangat, dan hidup. Adakalanya ianya lesu, lemah,longlai seakan-akan tak bernyawa. Apabila kita memahami maksud tersirat istiqamah itu sendiri supaya lebih mudah untuk kita melaksanakannya.

Istiqamah bermaksud kita  menempuh jalan (agama) yang lurus (benar) dengan tidak berpaling ke kiri mahupun ke kanan. Istiqamah ini mencakupi pelaksanaan semua bentuk ketaatan kepada Allah samaada zahir  dan batin dan meninggalkan semua bentuk larangan-Nya. Apabila  hati telah istiqamah dalam makrifat kepada Allah, dalam takut pada-Nya, pengagungankan-Nya, malu pada-Nya, cinta pada-Nya, berhajat pada-Nya, keinginan pada-Nya, harapan pada-Nya dan berdoa dan bermunajat pada-Nya, tawakkal pada-Nya dan berpaling dari selain-Nya maka organ tubuh lainnya akan istiqamah. Kerana sesungguhnya hati adalah komanden seluruh organ tubuh dan yang lain adalah prajurit.

Jika kita ingin anggota tubuh badan kita istiqamah maka istiqamahkanlah hati kita dengan Iman. Dan iman  ini tidak akan berlaku istiqamah,  kecuali lisan kita telah istiqamah terlebih dahulu, sebagaimana yang pernah Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya  :"Tidaklah iman seorang hamba itu lurus (istiqamah) hingga hatinya istiqamah, dan hatinya tidak akan istiqamah kecuali lisannya telah istiqamah." (Hadis Riwayat Ahmad)

Sahabat yang dimuliakan,
Sesungguhnya apabila kita istiqamah maka kita akan mendapat rahmat , pertolongan dan syurga Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan Kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian (istiqamah) mereka, maka Malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu". Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat; di dalamnya kamu memperolehi apa yang kamu inginkan dan memperolehi (pula) di dalamnya apa yang kamu minta. sebagai hidangan (bagimu) dari Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah  Fushilat ayat 30-32)

Dari Abu Amrah Sufyan bin Abdillah r.a berkata : “Ya Rasulullah, katakan kepadaku satu perkataan sahaja yang aku tidak akan bertanya kepada siapapun selain engkau! Jawab Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Katakan, aku beriman kepada Allah, lalu istiqamahlah.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Sungguh menakjubkan di mana jawaban Rasulullah S.A.W.  tidaklah panjang dan ringkas sahaja iaitu hanya ada dua kata kunci kehidupan iaitu iman dan istiqamah.

Dalam  hadis yang lain, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya: "Istiqamahlah kamu semua, dan beruntunglah jika kamu istiqamah." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Sebaik-baik amal perbuatan adalah yang berterusan meskipun kuantitinya sedikit."

Rasulullah S.A.W. menganggap perlu menyampaikan pesanan ini  kerana ramai dikalangan umatnya yang mengaku beriman, namun keimanannya cepat layu, tidak bermaya dan tidak subur apabila diuji dangan kesusuahan dan dugaan. Keimanan tanpa istiqamah akan menjadi lemah, tidak berisi dan kering kontang dan akhirnya mungkin suatu ketika ia akan mati.

Sahabat yang dikasihi,
Terdapat 7 perkara perlu dilaksanakan supaya kita tetap istiqamah di jalan Allah S.W.T.

Kesucian dan ketakwaan yang ada dalam jiwa mestilah sentiasa dipertahankan oleh setiap muslim. Ini disebabkan kesucian dan ketakwaan akan mudah terlarut atau hilang sama sekali. Namun, ada beberapa cara yang membuatkan seorang muslim boleh mempertahankan nilai ketakwaan dalam jiwanya, bahkan mampu meningkatkan kualitinya.

Cara-cara tersebut adalah sebagai berikut;

1. Kesedaran dan kefahaman yang benar .

Untuk mencapai darjat istiqamah yang maksima dan berguna, pemahaman terhadap ajaran Islam secara sempurna sangat-sangat diperlukan. Muslim yang memahami ajaran agamanya dengan baik tidak akan bimbang menjalani kehidupan dunia. Ia akan tetap istiqamah menghadapi badai godaan walau sedahsyat mana sekalipun.

2. Memahami dan mengamalkan dua kalimah syahadah dengan baik dan benar.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki.”
(Surah Ibrahim ayat 27)

Qatadah As Sadusi mengatakan :
“Yang dimaksudkan dengan Allah meneguhkan orang beriman di dunia adalah dengan meneguhkan mereka dalam kebaikan dan amalan soleh. Sedangkan di akhirat, mereka akan diteguhkan di kubur (ketika menjawab pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir).”

Perkataan seperti Qatadah diriwayatkan dari ramai ulama’ salaf lainnya. Mengapa Allah teguhkan orang yang beriman di dunia dengan terus beramal soleh dan di akhirat (alam kubur) dengan dimudahkan menjawab pertanyaan malaikat “Siapa Rabbmu, siapa Nabimu dan apa agamamu”? Jawabannya adalah kerana pemahaman dan pengamalannya yang baik dan benar terhadap dua kalimah syahadah.

Dia tentu memahami makna dua kalimah syahadah dengan benar. Memenuhi rukun dan syaratnya serta dia pula tidak melanggar larangan Allah S.W.T. dan tidak  menyekutukan-Nya dengan selain-Nya, iaitu dengan lain perkataan ia tidak melakukan syirik.

3. Mendekatkan diri kepada Allah dan merasakan pengawasanNya (At-Taqarrub wa al-Muraqabah)

Dua perkara ini sangat penting. Ketika seorang Muslim telah merasa dekat dengan Allah, ke mana pun ia pergi, di mana pun ia berada dan bagaimana pun situasi dan keadaannya, dengan keyakinan penuh ia akan sentiasa merasa diawasi dan dilihat oleh Allah. Dengan begitu ia tidak lagi berani menyimpang dari jalan-Nya.

Allah S.W.T.  berfirman yang bermaksud:
"Dan ketahuilah bahwasanya Allah mengetahui apa yang ada dalam hatimu; maka takutlah kepada-Nya, dan ketahuilah bahwa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun. (Surah al-Baqarah ayat  235)

4. Mujahadah untuk mendapatkan istiqamah.

Mujahadah adalah bersungguh-sungguh dalam beribadah dan melaksanakan seluruh nilai-nilai Islam dalam kehidupan. Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Maka istiqamahlah, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan". (Surah Hud ayat 112)

Menurut Ibnu Abbas ra :
“Tidak ada suatu ayat pun dalam Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W. yang lebih berat baginya dari ayat ini.”

Berkaitan dengan perihal istiqamah inilah juga yang menjadikan Rasulullah S.A.W.  keluar uban putih dari kepalanya yang mulia. Baginda sendiri mengaku bahwa :

"Ada satu surah (iaitu surah Hud) yang di dalamnya disebutkan perintah untuk istiqamah."

Dan diriwayatkan dari Al Hasan : ‘Ketika ayat ini turun, Rasululah S.A.W.  menjadi sangat serius dan tidak pernah ternampak baginda  tertawa.’

5. Bergaul bersama orang-orang yang istiqamah.

Ini sangat membantu seseorang untuk sentiasa istiqamah di jalan Allah S.W.T. Sahabat yang soleh dan solehah akan sentiasa mengingatkan kita untuk berbuat baik serta mengingatkan kita dari kekeliruan. Bahkan dalam Al-Quran disebutkan bahwa perkara yang sangat membantu meneguhkan keimanan para sahabat adalah kerana nasihat dan tunjuk ajar Rasulullah S.A.W.

Allah S.A.W. berfirman yang bermaksud :
“Bagaimana mungkin (tidak mungkin) kamu menjadi kafir, sedangkan ayat-ayat Allah dibacakan kepada kamu, dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu? Dan barang siapa yang berpegang teguh kepada (agama) Allah maka sesungguhnya dia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus.” (Surah Ali ‘Imran ayat 101)

"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas." (Surah al-Kahfi : 28)

Salah satu pesanan dari Salman Al-Farisi ra :
"Perumpamaan dua orang mukmin yang bersahabat adalah seperti dua tangan yang saling membasuh satu sama lain. Tidak sekalipun mereka berdua bertemu, kecuali Allah akan menetapkan bahwa salah satu di antaranya akan memberikan kebaikan bagi sahabatya.".

6. Menghayati sirah orang-orang yang istiqamah

Membaca sirah Rasulullah S.A.W.  para sahabat dan para ulama terdahulu untuk mengambil teladan dari mereka. Dengan membaca kisah-kisah mereka, bagaimana perjuangan mereka dalam menegakkan Deenul Islam, maka kita dapat mengambil pelajaran dari kisah tersebut sebagaimana firman Allah S.W.T. maksudnya :

“Dan semua kisah dari rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu (Muhammad), agar dengan kisah itu Kami teguhkan hatimu; dan di dalamnya telah diberikan kepadamu (segala) kebenaran, nasihat dan peringatan bagi orang yang beriman." (Surah Hud ayat 120)

7. Berdoa kepada Allah S.W.T. agar Dia sentiasa memberikan kepada kita istiqamah hingga akhir hayat.

Jalan yang juga paling penting dalam mewujudkan sikap istiqamah adalah memohon pertolongan Allah dalam segala urusan dan keadaan kerana hanya kepada Allahlah semua urusan kelak akan dikembalikan. Doa adalah senjata untuk orang mukmin.

Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha mengatakan bahwa doa yang paling sering dibaca oleh Rasulullah S.A.W. adalah doa berikut :
“Yaa muqallibal qulub tsabbit qalbi ‘ala diinik ”

Maksudnya : “Wahai Zat yang membolak-balikkan hati-hati teguhkanlah hatiku di atas agamaMu.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Ahmad, Hakim, disahihkan oleh Az Zahabi di dalam Shahihul Jami’).

Sahabat yang dihormati,
Marilah kita perbaharui dan meningkatkan iman kita kepada Allah S.W.T. dan sentiasa istiqamah dan janganlah bersedih hati kerana sesungguhnya Allah akan memberi pertolongan-Nya kepada orang-orang yang bertakwa dan sentiasa istiqamah di dunia dan akhirat.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML