Wednesday, February 19, 2014

CIRI-CIRI PEMIMPIN DALAM ISLAM

Apakah Ciri-ciri Kepimpinan Dalam Islam?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam Islam, menentukan dan memilih pemimpin adalah suatu perkara yang sangat penting dan wajib. Ini dibuktikan dalam sejarah Islam apabila wafatnya junjungan  besar Nabi kita Muhammad  S.A.W, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi mengantikan baginda sebelum pemakaman baginda  S.A.W dilangsungkan. 

Ijmak sahabat sepakat bahawa haram hukumnya kaum muslimin hidup tanpa adanya seorang khalifah atau pemimpin lebih dari tiga hari tiga malam.

Sabda Nabi S.A.W maksudnya, “Apabila keluar tiga orang dalam bermusafir maka hendaklah dilantik seorang ketua”.   (Hadis Riwayat Abu Daud) 

Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,“ Tidak halal bagi tiga orang yang berada di satu tempat melainkan dilantik seorang daripada mereka seseorang sebagai ketua.”  (Hadis Riwayat Ahmad)

(Ini bermakna kepentingan melantik pemimpin untuk mengantikan kepimpinan yang telah berlalu untuk mengurus hal ehwal Islam dan melaksanakan kemaslahatannya adalah wajib.  Atas sebab inilah Islam begitu memandang berat soal memilih pemimpin dalam semua peringkat kehidupan.

Persoalannya, bagaimanakah kita  hendak menjadi pemimpin yang baik? Kita harus sedar bahawa  pemimpin yang baik akan memberikan kesan yang amat besar terhadap masa depan Islam dan umatnya. Kita juga hendaklah memahami bahawa soal  kepimpinan
mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan ia adalah sebahagian tindakan atau perbuatan yang tidak terlepas dari penghakiman Allah terhadap kita pada hari kiamat kelak. 

Firman Allah dalam Surah al-Muddathir ayat 38 yang bermaksud : “Setiap diri terikat (bertanggungjawab) dengan apa yang telah dikerjakannya”.

Sebagai pemimpin, kita hendaklah melaksanakan tugas secara berhati-hati dan tiada berkepentingan peribadi dan sebagainya. Jika kita gagal melaksanakan tugas dengan adil dan mengutamakan kebajikan untuk rakyat maka sudah tentulah amat bersalah dan akan diazab oleh Allah di akhirat kelak. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 41 yang bermaksud : “Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari kiamat  pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan”.  

Sahabat yang dimuliakan,
Islam telah  menjelaskan kepada kita bagaimana untuk menjadi pemimpin yang baik. 

Terdapat lapan ciri-ciri utama sebagai seorang pemimpin yang baik;  

1. Seorang yang berupaya untuk menjaga agama dan menegakkan syariat Allah di atas muka bumi, sebaliknya bukan menjadikan agama sebagai ‘istihza’  atau  dipermainkan. Justeru amanah sebagai pemimpin sebenarnya adalah ganti diri Rasulullah S.A.W ‘niabatan ‘anin nabi SAW’ untuk memelihara, menjaga dan melaksana syariat Allah SWT. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 41 yang maksudnya : “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar.  (Ingatlah)  bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.

2. Seseorang yang memiliki ‘al-Quwwah’ yakni kekuatan dari semua sudut samada fizikal, spiritual, emosi dan mental. 

Dalam al-Quran  telah dijelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu’aib a.s. meminta kepadanya agar memilih pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat 
bekerja dan amanah, inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya yang lebih  luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut dan bidang. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 26 yang maksudnya : “Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (kita), sesungguhnya sebaikbaik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.

3. Seseorang yang memiliki sifat  takwa, kerana ciri-ciri inilah yang menjamin seseorang pemimpin itu berintegriti dan  takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud :“Dan seandainya mereka itu tetap beriman dan bertakwa nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu 
adalah lebih baik, seandainya mereka mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah ayat 103)

4. Seseorang pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada  mereka yang di bawah pimpinannya. Sifat-sifat ini mesti dimiliki oleh mana-mana pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin 
kepimpinannya yang dihormati, disegani dan disayangi. Jauhkan diri daripada pemimpin yang zalim yang tidak memberi keadilan dan hak rakyat untuk  bersuara dan berhimpun secara aman.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 58 maksudnya : “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil…”.

5.Seseorang pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sikap bertanggungjawab kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sikap bertanggungjawab ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad S.A.W), yang mengambil berat  atas sebarang kesusahan yang  menimpa kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap makhluk
terhadap orang yang beriman”. (Surah at-Taubat ayat 128)

6. Seseorang pemimpin itu hendaklah  tegas dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuklah mengambil tindakan sewajarnya dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bersalah, sekalipun melibatkan ahli keluarga, kawan mahupun lawan. 

Hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan memotong tangannya”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

7. Seseorang pemimpin itu hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik dalam semua tindak tanduknya. 

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi S.A.W bersabda (maksudnya) : “Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlaknya”. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

8. Seseorang pemimpin itu hendaklah menunaikan janji-janjinya kepada orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai oleh orang bawahannya, bukan berdusta dan menghampakan orang bawahannya. 

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : “Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Jelaslah kepada kita bahawa dalam soal kepimpinan yang baik tidak boleh dilakukan secara tangkap muat. Sehubungan dengan itu Imam alQurtubi  menjelaskan  dalam kitab ‘Al-Jamik li Ahkamil Quran’ bahawa, “Bagi umat Islam  dalam memilih pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasik dan zalim mereka tidak layak 
menjadi pemimpin”.

Jika kalian diberi mandat untuk mengundi untuk memilih pemimpin yang baik maka pilihlah pemimpin yang amanah, berakhlak mulia dan bertakwa. Kalian akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti sekiranya  kalian silap memilih pemimpin yang tidak berakhlak dan hanya mementingkan pembangunan duniawi berbanding dengan kehidupan di hari akhirat.

Hadis daripada  Huzaifah r.a. bahawa Rasulullah  S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas 
kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga Rasulullah di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak 
membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya  dan dia akan  menemuiku di haudh”.  (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Marilah kita menjadi pemimpin yang takutkan Allah melebihi daripada segala-galanya. Kerana hanya pemimpin yang benar-benar takutkan Allah sajalah yang mampu 
menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dengan jujur, amanah dan berdidikasi.

Ciri-ciri Kepimpinan Dalam Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Suasana sekarang ini rakyat Malaysia sedang demam pilihanraya, para pemimpin parti berada di dalam kesibukan untuk bertanding di dalam pilihanraya ke 13 (PRU13) . Semua parti politik telah pun bersedia menyenaraikan calun-calun mereka untuk di daftarkan sebagai calun di hari penamaan calun nanti iaitu pada Sabtu 20 April 2013 . Ada calun yang terpilih dan ada calun yang digugurkan dan ada pula calun-calun muka baru yang akan mencuba nasib untuk di ketengahkan menjadi pemimpin rakyat. Samaada layak atau tidak , terpilih atau tidak bergantung kepada penilaian rakyat sendiri yang akan menilai dan memilih semasa hari pembuangan undi pada 5 Mei 2013.

Terdapat parti politik yang diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana terdapat pertikaian di dalam Masyuarat Agongnya. Di sana-sini kedengaran suara bantahan daripada penyokong pemimpin kawasan yang tidak puas hati calun pilihan mereka tidak disenaraikan untuk bertanding di PRU 13 samaada sebagai ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Islam adalah agama yang cukup prihatin terhadap pemilihan pemimpin, kerana pemimpin yang jujur, amanah dan berpandangan jauh adalah pemimpin yang di kehendaki dalam Islam. Sebaliknya pula apabila seorang pemimpin itu suka menipu, berdusta, tidak amanah dan mementingkan diri sendiri adalah ciri-ciri pemimpin yang di benci dan dimurkai oleh Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Setiap kalian adalah pemimpin dan bertanggung jawab atas apa yang di pimpinnya. Seorang penguasa adalah pemimpin bagi rakyatnya dan bertanggung jawab atas mereka, seorang isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggung jawab atasnya. Seorang hamba sahaya adalah penjaga harga tuannya dan dia bertanggung jawab atasnya. (Hadis Riwayat Bukhari)

Terdapat beberapa garis panduan umum sebagai perkongsian untuk rakyat Malaysia, khususnya umat Islam untuk memilih pemimpin berdasarkan ciri-ciri yang ditetapkan oleh Islam.

Pertama : Menggunakan hukum Allah SWT. di dalam pentakbirannya.

Dalam berbagai aspek dan lingkup kepemimpinan, ia senantiasa menggunakan hukum yang telah di tetapkan oleh Allah SWT, perkara ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya". (Surah an-Nisaa' ayat 59)

Melalui ayat di atas taat kepada pemimpin adalah satu hal yang wajib dipenuhi, tetapi dengan syarat para pemimpin yang di taati itu adalah pemimpin yang  menggunakan hukum-hukum Allah SWT di dalam pemerentahannya. Dalam hal ini sebagaimana di nyatakan dalam ayat-Nya yang lain yang bermaksud :

"Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya . Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (daripadanya)". (Surah al-A'raf ayat 3)

Dalam ayat yang lain firman Allah SWT maksudnya :

1. "..Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir..." (Surah al-Maaidah ayat 44)

"..Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim..." (Surah al-Maaidah ayat 45)

"..Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.." (Surah al-Maaidah ayat 47)

" Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ?". (Surah al-Maaidah ayat 50)

Dan bagi kaum muslimin Allah SWT telah dengan jelas melarang untuk mengambil pemimpin sebagaimana ayat;

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim". (Surah al-Maaidah ayat 51)

Dari beberapa ayat diatas, boleh disimpulkan, bahawa pemimpin dalam Islam adalah mereka yang senantiasa mengambil dan menempatkan hukum Allah dalam seluruh aspek kepemimpinannya. Jika mereka belum melaksanakan hukum Allah SWT di dalam masyarakat umat Islam tetapi sedang berusaha ke arah perlaksanaan hukum-hukum Allah SWT adalah dikira sebagai pemimpin yang memenuhi ciri-ciri pertama.

Kedua :Tidak meminta-minta jawatan.

Tidak terlalu mengharap atau menginginkan jawatan tertentu. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya kami tidak akan memberikan jawatan ini kepada seseorang yang memintanya, tidak pula kepada orang yang sangat berminat untuk mendapatkannya" (Hadis Riwayat Muslim).

Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud : "Sesungguhnya engkau ini lemah (ketika Abu Zar meminta jawatan di jawab demikian oleh Rasulullah), sementara jawatan adalah amanah, di hari kiamat dia akan mendatangkan penyesalan dan kerugian, kecuali bagi mereka yang menunaikannya dengan baik dan melaksanakan apa yang menjadi kewajiban atas dirinya". (Hadis Riwayat Muslim).

Kecuali, jika tidak ada lagi pemimpin yang layak dan tugas kepemimpinan akan jatuh pada orang yang tidak amanah dan akan lebih banyak membawa mudharat daripada manfaat, perkara ini dijelaskan dalam ayat al-Quran :

Firman Allah SWT maksudnya : "Jadikanlah aku bendaharawan negeri (Mesir), kerana sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga dan berpengetahuan". (Surah Yusuf ayat 55)

Dengan catatan bahawa amanah kepemimpinan dilakukan dengan ;
1. Ikhlas.
2. Amanah.
3. Memiliki keunggulan daripada pemimpin yang lain.
4. Menyebabkan terjadinya kerosakan jika dibiarkan jawatan itu diserahkan kepada orang lain.

Ketiga : Fizikal sihat dan kuat dan amanah.

Firman Allah SWT maksudnya : "Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: "Ya bapakku ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya." (Surah al-Qasas ayat 26).

Keempat : Tekun dan bersungguh-sungguh (profesional).
 
Sabda Nabi SAW maksudnya : "Sesungguhnya Allah sangat senang pada pekerjaan salah seorang di antara kalian jika dilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh (profesional)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

Kelima : Tidak mengutamakan ahli keluarga dan rakan terdekat (kroni).

Rasulullah SAW, "Barang siapa yang menempatkan seseorang kerana hubungan kerabat, sedangkan masih ada orang yang lebih Allah redhai, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang mukmin". (Hadis Riwayat al-Hakim).

Saidina Umar bin al-Khattab berkata : "Siapa yang menempatkan seseorang pada jawatan tertentu, kerana rasa cinta atau kerana hubungan kekerabatan, dia melakukannya hanya atas pertimbangan itu, maka seseungguhnya dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan kaum mukminin".

Keenam : Menempatkan orang yang paling sesuai dan layak.

"Rasulullah bersabda maksudnya, : "Jika suatu perkara telah diberikan kepada orang yang tidak semestinya (bukan ahlinya), maka tunggulah kiamat (kehancurannya)". (Hadis Riwayat Bukhari).

Dalam konteks hadis ini, setidaknya ada beberapa perkara yang perlu kita teliti :

1. Seorang pemimpin mampu melihat potensi seseorang.

Setiap manusia tentunya diberikan kelebihan dan kekurangan.Kesalahan terbesar bagi seorang pemimpin adalah ketika dirinya tidak boleh melihat potensi seseorang dan menempatkannya pada tempat yang semestinya. Begitu pentingnya perhatian bagi seorang pemimpin terhadap perkara ini, maka Rasulullah SAW bersabda sebagaiman hadis ke5 di atas.

Ketidakmampuan pemimpin dalam hal ini hanya akan membuat jamaah, parti atau organisasi yang di pimpinnya menjadi tidak efektif dan efisien, bahkan tidak sedikit kesalahan pemimpin dalam hal ini menimbulkan kekacauan yang membawa kepada kehancuran.

2. Mampu mengasah (meningkatkan) potensi seseorang.

Selain ia boleh melihat potensi pada diri seseorang, seorang pemimpin dengan caranya yang paling baik, ia boleh mengasah potensi mereka yang berada dalam kepemimpinannya. Mengasah potensi seseorang bukanlah suatu yang mudah ianya perlu kepada kesabaran dan istiqamah

3. Meletakkan seseorang sesuai dengan potensi yang ia miliki.

Seorang pemimpin akan berusaha menempatkan seseorang itu di tempat yang paling tepat bagi orang tersebut serta sesuai dengan bidang tugas yang diberikan.

4. Mengatur setiap potensi dari mereka yang di pimpinnya menjadi satu kekuatan yang kokoh.

Bangunan yang baik, kokoh dan indah tentunya tidak hanya terdiri dari satu elemen, tetapi terdiri dari berbagai elemen yang ada di dalamnya. Tentunya, penempatan dan penggunaan masing-masing elemen itulah yang sangat mempengaruhi bagaimana sebuah bangunan itu. Perumpamaan sederhana ini boleh kita gunakan untuk memahami tugas seorang pemimpin dalam menempatkan, menggunakan mereka yang berada dalam kepemimpinannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Dalam susana politik di Malaysia terdapat juga pemimpin yang bukan Islam akan bertanding pada piliharaya kerana amalan demokrasi. Adakah boleh kita memilih pemimpin yang bukan Islam di suatu kawasan yang majoritinya orang bukan Islam?

Pengerusi Multaqa Asatizah dan Du’at, Dr Zaharuddin Abdul Rahman baru-baru ini yang menyatakan boleh mengundi calon bukan Islam untuk dijadikan pemimpin.
Dr Zaharuddin berhujah bahawa orang bukan Islam boleh diundi atas kapasiti MOU yang dibuat, bukan diundi atas kapasiti peribadi.Selain itu, katanya orang bukan muslim yang diundi tidak semestinya akan dilantik memegang jawatan penting dalam kerajaan.

Di dalam amalan sisitem demokrasi di Malaysia, hanya parti yang mempunyai majoriti 2/3 ahli di Parlimen saja boleh mengubah perlembagaan negara dan menentukan dasar dan polisi negara. Jumlah calun bukan Islam yang mengadakan MOU tidak sampai 50% ianya tidak akan mendominasikan majoriti 2/3 ahli Parlimen, tetapi iannya membantu calun-calun Islam untuk mendapat majoriti 2/3 atau pun majoriti mudah.

Jika parti politik mendapat majoriti mudah saja di Parlimen , perubahan perlembagaan negara tidak boleh dibuat. Saya setuju pendapat Dr Zaharuddin bahawa mengundi calun bukan Islam yamg mempunyai MOU atau perjanjian dengan organisasi Islam adalah mengikut kaedah "tahaluf siyasi" yang dibenarkan Islam. Pendapat yang mengatakan tidak boleh langsung berkompromi adalah pendapat yang tidak memahami kaedah syarak untuk di sesuaikan dengan perkembangan semasa. Umat Islam perlu membuka minda dan tidak rijid dan jumud dengan pendapat sendiri yang akan merugikan Islam. Wallahualam.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita membuka minda dan berfikir dengan tenang, pilihlah pemimpin Islam yang akan membawa agenda umat dan mereka yang bersetuju atas dasar keadilan ketelusan dan kebajikan bersama. Kesilapan kalian memilih pemimpin hingga hak rakyat terabai akan dipertanggungjawabkan di hari akhirat nanti.Tangan kalian yang memangkah akan menjadi saksi dan pencil yang kalian gunakan juga akan menjadi saksi di hadapan mahkamah Allah SWT.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML