Pages

Saturday, March 8, 2014

KORBAN ~ CARA AGIHAN YANG BETUL

Cara Agihan yang Betul Terhadap Daging Korban

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.



Sahabat yang dirahmati Allah,
Semasa berlaku penyembelihan haiwan untuk di laksanakan ibadah korban terdapat banyak kekeliruan di dalam masyarakat terutama agihan dan upah kepada penyembelih dan proses memotong dan melepar daging tersebut.  Dalam hadis yang sahih Rasulullah SAW melarang daging dan bahagian yang lain binatang yang dikorban diberikan kepada tukang sembelih. Perlu disediakan wang yang lain untuk dibayar sebagai upah pengurusan penyembelihan dan juga proses memotong dan melepar.


Cara pengagihan daging korban tertakluk kepada status korban. Jika korban itu adalah korban wajib (yakni korban nazar), tidak harus orang yang melakukan korban dan juga keluarganya (yakni orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya) untuk makan sedikitpun dari binatang yang dikorbannya. Wajib ia mensedekahkan ke semuanya kepada fakir miskin. Kalau ia telah memakannya, wajib ia membayar ganti dengan harga daging yang dimakannya atau dengan daging seumpamanya. Tidak dituntut ia menyembelih lagi binatang korban kerana ia telahpun melakukannya.

Jika korban itu adalah korban sunat, maka harus ia dan ahli keluarganya untuk makan sebanyak mana yang ia kehendaki dengan syarat sebahagian darinya hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin. Mensedekahkan daging korban kepada fakir atau miskin daripada kalangan muslimin adalah wajib sekalipun sedikit iaitu dengan kadar paling minima yang dapat dinamakan sedekah. Dan disyaratkan daging yang disedekahkan itu hendaklah dalam keadaan mentah dimana orang faqir dan miskin yang memperolehnya dapat menggunakannya mengikut kehendaknya sama ada menjualnya, memakannya atau sebagainya. Tidak memadai sekiranya disedekahkan dalam keadaan daging yang sudah dimasak atau pemilik korban memasak daging korban dan menjemput orang fakir atau miskin makan dirumahnya. Begitu juga tidak memadai sekiranya disedekahkan bahagian yang bukan daging seperti kulit, perut, limpa dan sebagainya.




Disunatkan pengagihan daging binatang korban merangkumi tiga bahagian;

1.Satu bahagian untuk dimakan oleh dirinya dan ahli keluarganya
2.Satu bahagian disedekahkan kepada fakir miskin
3.Satu bahagian dijadikan sebagai hadiah kepada rakan-rakan, para jiran atau sebagainya sekalipun mereka kaya.

Pemberian sebagai hadiah tidaklah wajib. Oleh itu, harus pengagihan daging korban berlegar antara dua sahaja iaitu untuk dimakan dan untuk disedekahkan. Lebih banyak bahagian yang disedekahkan adalah lebih afdhal (umpamanya separuh atau dua pertiga (2/3) darinya). Paling afdhal ialah mensedekahkan ke semua daging korban kepada fakir miskin kecuali sedikit darinya yang sunat diambil untuk dimakan bagi mendapat berkat dan beramal dengan sunnah Nabi SAW. 

Terdapat hadis menceritakan; "Adalah Nabi SAW memakan dari hati binatang korbannya." (Hadis Riwayat Imam al-Baihaqi)

Baginda juga bersabda; "Apabila seseorang kamu melakukan korban, maka makanlah dari daging korbannya." (Hadis Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a./al-Jami' al-Saghir, no. 737)

Tidak harus orang yang melakukan korban menjual apapun dari binatang korban sama ada daging, kulit, tanduk, bulu, lemak atau sebagainya. Begitu juga, tidak harus menyewanya kerana sewaan termasuk dalam pengertian menjual (yakni menjual manfaat). 

Ketidakharusan menjual dan menyewa ini merangkumi korban wajib dan juga korban sunat. 

Sabda Nabi SAW maksudnya :  "Sesiapa menjual kulit binatang korbannya, maka tiada (pahala) korban baginya". (Hadis Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.)

Begitu juga, tidak harus menjadikan kulit, bulu dan sebagainya sebagai upah kepada tukang sembelih. Upah hendaklah datang dari sumber lain, bukan dari binatang korban. 

Diriwayatkan daripada Saidina Ali(k.w) yang menceritakan; "Rasulullah SAW memerintahku supaya menguruskan (pengembelihan) unta baginda dan mensedekahkan daging, kulit serta kain/pakaian yang diletakkan di atas belakang unta itu (kepada orang miskin). Dan baginda juga memerintahkan supaya aku tidak memberi kepada tukang sembelih dari unta itu. Kata 'Ali; kami memberi (upah) kepadanya dari harta yang ada pada kami". (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Namun jika ia telah memberi upah kepada tukang sembelih dengan wang darinya, kemudian setelah itu ia memberi pula daging korban kepadanya atas dasar sedekah jika ia miskin (yakni bukan sebagai upah) atau memberinya sebagai hadiah (jika ia kaya), maka itu adalah harus.

Harus bagi orang yang melakukan korban mengambil manfaat dari kulit dan tanduk binatang korbannya dengan segala bentuk manfaat seperti menjadikannya kasut, timba dan sebagainya sekiranya korbannya itu adalah korban sunat. Walau bagaimanapun, jika ia mensedekahkannya kepada fakir miskin adalah lebih baik. Adapun korban wajib, tidak harus orang yang melakukan korban memanfaatkan kulit binatang korbannya. Ia wajib disedekahkan kepada fakir miskin sebagaimana daging.

Tidak harus sama sekali daging korban dimusnahkan walaupun sedikit. Dinyatakan di dalam Raudhah; "Tidak harus bagi orang yang melakukan korban untuk merosak/memusnahkan sebarang apapun dari korbannya, sebaliknya ia memakannnya dan ia memberi makan (kepada orang lain)….". Walaahu a'lam.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita mengamalkan cara sunah di dalam proses ibadah korban yang kita lakukan dan tinggalkanlah mana-mana cara yang kita amalkan sebelum ini yang bertentangan dengan sunah Rasulullah SAW , semoga ibadah korban yang kita lakukan di berkati dan mendapat pahala yang besar di sisi Allah SWT.

No comments:

Post a Comment