Monday, February 10, 2014

QADA' DAN QADAR

Konsep Qadha' dan Qadar Dalam Kehidupan Seorang Mukmin

Sahabat yang dirahmati Allah,
Percaya dan beriman kepada Qadha' dan Qadar adalah termasuk salah satu daripada Rukun Iman yang enam. Sesiapa yang mengingkarinya akan merosakkan imannya.

Qadha' dan Qadar ialah ketetapan Allah yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan.

Qadha' dan Qadar terbahagi kepada dua iaitu Mubram dan Muallaq.

Pertama : Qadha' Mubram adalah takdir yang pasti. Sebagai contoh, wanita sahaja yang boleh mengandung dan melahirkan anak,  manusia memerlukan oksigen, makan dan minum yang mencukupi untuk hidup. Itu adalah satu ketetapan yang pasti.  Allah menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya diikuti dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Allah menetapkan satu bahagian oksigen perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen untuk menjadi air dan hakikat ini tidak dapat diubah sampai ke bila-bila.

Allah menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai bila-bila masa. Allah menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang pakar perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini. Semua ini dan yang lain-lainnya tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah sejak dari azali lagi berdasarkan kebijaksanaanNya yang tanpa batas dan ia telah menjadi hukum alam yang dikenali sebagai hukum sebab musabab dan sebab akibat.

Justeru, hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah sebahagian daripada ketetapan Qadha' dan Qadar.

Kedua : Qadha' Muallaq pula adalah ketetapan yang boleh berubah. Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata, “Mengikut pendapat yang hak, Luh Mahfuz menerima penghapusan dan penetapan.”

Salman Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Tidak tertolak Qadha' itu melainkan oleh do'a dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Do'a itu sendiri sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah.Mereka yang berdo'a perlu mempunyai keyakinan kerana ada dinyatakan, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka.

Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas do'a orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Memetik kata-kata Imam al-Ghazali:“Jika ada orang bertanya, apa manfaat do'a itu padahal Qadha' (ketentuan Allah) tidak dapat dihindarkan. Ketahuilah bahawa Qadha' juga boleh menghindarkan suatu bala dengan berdo'a. Maka do'a menjadi sebab bagi tertolaknya suatu bala bencana dan adanya rahmat Allah sebagaimana juga halnya, perisai menjadi sebab bagi terhindarnya seseorang daripada senjata dan air menjadi sebab bagi tumbuhnya tumbuh-tumbuhan di muka bumi.”

Perkara ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 39 yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada sisi-Nya ada ibu segala suratan.”

Berkenaan dengan hal ini kita boleh mencontohi sikap para sahabat Nabi s.a.w  walaupun sudah dijanjikan Syurga namun mereka masih lagi berusaha meningkatkan amal dan berbuat baik.

Sayyidina Umar Al-Khattab r.a pada suatu ketika, telah melafazkan do'a-do'a ini ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”

Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :"Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalankan hubungan tali silaturahim."(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Umur seseorang itu adalah termasuk Qadha' Muallaq boleh berubah-rubah samaada dipanjangkan atau dipendikkan. Dalam hadis tersebut Allah boleh memanjangkan umur seseorang apabila dia menghubungkan silaturahim.

Terdapat satu kisah di zaman Nabi Daud a.s. bahawa menjalin ikatan silaturahim dengan izin Allah dipanjangkan umur. Mengikut riwayat, pada suatu ketika malaikat maut datang kepada Nabi Daud. Pada masa itu kelihatan seorang lelaki duduk di depannya.

Malaikat maut berkata "Enam hari lagi, orang ini akan dicabut nyawanya".

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, Nabi Daud menjenguk lelaki itu yang ternyata dia masih hidup. Bahkan keadaannya bertambah sihat. Lelaki itu juga kelihatan bertambah muda berbanding sebelumnya.

Nabi Daud pun bertanya kepada malaikat maut,"Mengapakah demikian (dia masih hidup) sedangkan katamu tinggal enam hari saja lagi lelaki itu akan dicabut nyawanya?".

Malaikat maut pun menjawab. "Ketika itu, selepas beredar dari hadapanmu, dia sudah menyambung silaturahimnya yang sudah lama terputus, maka Allah menambahkan umurnya hingga 20 tahun lagi."

Sahabat yang dimuliakan,
Syed Sabiq di dalam kitabnya Al-Aqaid Al-Islamiyah berkata: “Imam Al-Khathabi telah berkata: ‘Ramai orang mengira Qadha' dan Qadar adalah pemaksaan Allah ke atas hambaNya dan manusia hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui tentang kejadian yang akan berlaku berhubung semua perkara..’ Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu.”

Di zaman Umar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan beliau telah dibawa menghadap khalifah Umar al-Khattab. Lelaki itu telah disoal: “Mengapa kamu mencuri?” Lelaki itu menjawab: “Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya.” Khalifah Umar r.a amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya.” Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: “Mengapa hukumannya begitu berat?” Berkata Umar al-Khattab r.a: “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah.” Maksudnya, manusia diizinkan Allah utk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan Qadha' dan Qadar.

Manusia dapat menolak takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan oleh Allah bagi manusia. Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat dihilangkan dengan tidur. Mengikut sebuah riwayat yang sahih, Khalifah Umar al-Khattab r.a enggan memasuki kampung tertentu di Syam kerana ketika itu ia sedang dilanda wabak taun. Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah r.a bertanya kepada Umar r.a: “Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan?’ Umar r.a menjawab: “Aku lari dari takdir Allah kepada takdir yang lain.”(Tarikh At-Tabari)

Kesemua ini menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia malah sebaliknya manusia telah diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya sendiri. Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari ruang kemanusiaan yang telah Allah tetapkan dan Allah sejak dari awal lagi telah mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.

Allah berfirman maksudnya : “Keputusan di sisiKu tidak akan berubah dan Aku sekali-kali tidak menzalimi hamba-hambaKu.”(Surah Qaaf ayat 29)

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaun itu sendiri mengubah nasibnya"(Surah Ar-Ra'd ayat 11)

Takdir ini boleh berubah dari masa ke semasa, sebagai contoh, jika seseorang telah ditakdirkan hidup hingga ke usia 60 tahun, dan beliau sering menghubungkan tali persaudaraan dengan manusia, Allah mungkin menambah umurnya melebihi 60 tahun. Atau jika seseorang telah ditulis akan memasuki Neraka kemudian di hujung hidupnya beliau bertaubat dan melakukan amal solih dengan penuh keikhlasan, berkemungkinan beliau akhirnya akan dimasukkan ke dalam Syurga.

Berhubung dengan ini Allah berfirman maksudnya : “Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab.” (Surah Ar-Ra’d ayat 39)

Dalam bab mencari jodoh, Nabi sendiri menyuruh kita memilih pasangan yang betul. Oleh kerana kita disuruh memilih secara yg betul, kita mempunyai pilihan. Justeru, berusahalah dan dalam konteks perkahwinan berusahalah untuk mencari jodoh berdasarkan landasan agama dan mintalah petunjuk Allah tentangnya dengan solat istikharah. Allah tidak pernah menzalimi manusia.

Sahabat,
Terdapat satu kisah . Nabi Musa a.s. pernah bertanyakan Allah bagaimana Allah s.w.t menetapkan suatu takdir kepada mausia di dunia ini. Lalu Allah memerintahkan Nabi Musa a.s. pergi disatu sungai dan terdapat sebuat batu yang besar dan beliau hendaklah melihat saja dicelah-celah batu tersebut peristiwa yang akan berlaku dan biarkan peristiwa itu berjalan jangan diganggu.

Apabila Nabi Musa a.s melihat di celah-celah batu besar tersebut tiba-tiba datang seorang pemuda berkuda dan beliau berhenti ditebing sungai tersebut dan membasuh muka, pemuda tersebut telah meletakkan sebuah uncang berisi emas ditebing sungai tersebut lalu beredar dari situ. Selepas itu datang seorang budak lelaki pergi ketempat tersebut dan terjumpa uncang emas tersebut lantas beliau mengambil uncang tersebut dan beredar dari situ. Selepas itu datang pula seorang lelaki tua yang buta dan sampai ditempat yang sama membasuh mukanya, lalu pemuda yang berkuda tadi datang semula ketempat tersebut dan meminta uncangnya daripada orang buta tersebut . Lelaki buta itu mengatakan beliau buta dan mengaku tak mengambil barang tersebut. Pemuda itu tak puas hati maka berlakulah pergaduhan tersebut sehinggakan beliau mengeluarkan pisau dan membunuh lelaki buta tadi.

Setelah berlaku peristiwa terebut Allah s.w.t menceritakan kepada Nabi Musa a.s. bahawa pemuda tersebut baru saja merompak dirumah budak lelaki tadi . Dan bila terjumpa uncang tersebut budak lelaki itu mengambilnya kerana merasakan barang ini adalah hak milik keluarganya. Orang tua yang buta itu,  20 tahun dahulu adalah orang jahat yang lalu telah merompak keluarga pemuda tersebut dan membunuh kedua  ibu-bapanya ini adalah pembalasan terhadap kezaliman yang beliau lakukan dahulu.

Daripada peristiwa tersebut insaflah Nabi Musa a.s. bahawa balasan Allah pasti berlaku kepada sesiapa yang melakukan kezaliman kepada orang lain dan ianya berlaku di dunia lagi sebelum tiba siksaan  di hari akhirat.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Allah s.w.t berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'."
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah."
(Hadis Riwayat Muslim)

Akhirkata marilah kita redha dan berbaik sangka dengan Allah s.w.t. dan percaya terhadap Qadha' dan Qadar tanpa ragu-ragu. Sentiasalah berdo'a kepada Allah s.w.t semoga Allah s.w.t pilih kita menjadi hamba-hamba-Nya yang di redhai di dunia dan akhirat.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML