Saturday, January 11, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 21

Soal Jawab Agama Siri 21 

(Hati Terhijab, Bersabar Dengan Musibah, Jauhi Sifat Marah dan Maki Hamun dan Aurat Wanita)

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

.بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Siri 21 adalah menjawap persoalan kenapa hati terhijab, perlu bersabar ketika datangnya musibah, jauhi sifat marah dan suka maki hamun dan kenapa wanita ramai di neraka dan permasaalahan aurat wanita.

401. Soalan : Apakah sebabnya hati kita terhijab untuk menerima kebenaran dan bagaimana cara-cara mengatasinya?

Setiap manusia dilahirkan mempunyai hati. Samaada hati itu hidup atau mati bergantung kepada pemilih hati itu sendiri. Jika ia berusaha mengenali Allah SWT dan mencari kebenaran maka hatinya akan jadi baik, bersih dan sihat. Sebaliknya jika ia menjauhkan diri dengan Allah SWT dan melanggar perintah dan larangan-Nya maka hatinya akan menjadi sakit, berpenyakit dan terhijab. Inilah kelebihan manusia daripada haiwan-haiwan iaitu mempunyai hati yang dapat mengenal Allah SWT dengan sebenarnya hingga ia menjadi hamba Allah yang benar-benar takutkan kepada-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta."
(Surah Al Baqarah ayat 10)

Terdapat 4 sebab kenapa hati kita boleh terhijab (tertutup) :

Pertama : Memakan makanan yang haram atau syubahat .

Bukan sahaja hati terhijab tetapi doa pun tidak diterima oleh Allah SWT.

Dalam hadis Nabi SAW : "....seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut masai rambutnya, dan berdebu mukanya menghulurkan kedua tangannya ke langit (berdoa) Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya haram, dan pakaiannya haram dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya." (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua :Makanan halal tetapi berlebih-lebihan di dalam pemakanan.

Rasulullah SAW. bersabda maksudnya :"Wadah yang paling dibenci oleh Allah ialah perut yang penuh dengan makanan yang halal".

Allah SWT. benci kepada perut yang penuh dengan makanan sebab perut yang ketat itu akan melemahkan kegiatan hati yakni tidak kuat untuk memandang pada alam ghaib. Bila hati lemah maka manusia jadi lalai dan malas (mahu tidur sahaja). Malas beribadah dan mudah terjebak dalam maksiat. Atas dasar inilah para solafussoleh hanya sedikit makannya.

Ketiga : Pandangan dan Pendengaran yang Haram.

Telah sepakat orang-orang kita mengatakan: “Dari mata turun ke hati.” Ertinya hasil dari pandangan (termasuk pendengaran) bukan setakat di mata dan telinga tetapi akan bersambung dan berkesan ke hati. Kalau apa yang kita pandang dan dengar itu baik, maka hati kita akan menerima kebaikannya. Sebaliknya kalau yang kita pandang dan dengar itu maksiat dan mungkar (haram), maka hati kita akan bersalut kejahatan dan kemungkaran.

Allah SWT menyuruh lelaki beriman supaya menundukkan pandangan matanya kepada wanita yang bukan mahram, begitu juga Allah SWT menyuruh wanita beriman  supaya menundukkan pandangan mereka kepada lelaki yang bukan mahram. Hikmah arahan ini adalah supaya mereka akan merasa kemanisan iman dan terpelihara hati mereka daripada cenderung kepada kemungkaran.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya..." (Surah an-Nur ayat 31)

Keempat : Melakukan dosa akan berlaku titik hitam di hati. 

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah).

Hadis ini selari dengan firman Allah yang bermaksud "Sekali-kali tidak! Bahkan apa yang mereka kerjakan itu (dosa dan kekufuran) telah menutup hati mereka." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14).

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak akan masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan kita untuk mengamalkannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud "Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya, dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan." 
(Surah al-Baqarah, ayat 74).

402. Soalan : Kawan saya telah ditimpa musibah dengan penyakit barah tahap yang serius, dia sentiasa mengeluh dan sedih diatas musibah yang di alaminya. Telah banyak wang dihabiskannya untuk mengubati penyakit tersebut tetapi masih belum sembuh.  Apakah cara terbaik dapat saya menasihatinya supaya hatinya tenang dan dia redha terhadap qada dan qadar yang berlaku keatas dirinya?

Saudara perlu menasihatinya supaya redha dengan qada dan qadar yang berlaku keatas dirinya kerana seorang mukmin yang beriman dan bertakwa perlu redha dengan ketentuan takdir daripada Allah SWT. Di balik penyakit yang di alaminya pasti ada hikmah yang ada di sisi Allah SWT yang mana kita sendiri tidak mengetahuinya. Jika dia bersabar ganjaran pahala besar menantinya , dihapuskan dosa-dosa dia yang telah lalu dan ditingkatkan satu darjat kedudukannya di sisi Allah SWT.

Orang yang tawakal selalu menggantungkan diri dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Mereka sentiasa berlapang dada dan tidak resah bila dilanda musibah. Mereka tidak cepat berputus asas, sebaliknya sentiasa yakin dan percaya kepada kemampuan diri sendiri. Mereka hanya berserah (tawakal) kepada Allah SWT selepas segala usaha dan ikhtiar untuk berubat telah dilakukannya.

Mereka yang mendapat petunjuk adalah mereka yang sentiasa berlapang dada  untuk  dengan penyakit yang alami  tanpa kecewa dan putus asa. 

Allah SWT berfirman :

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ لا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

"Katakanlah :'Hai,hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri , janganlah kamu terputus asa dari rahmat Allah . Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya . Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang." (Surah az-Zumar ayat 53)

Hadis dari Jabir bin Abdillah menyebut: “Tidak wajar bagi seseorang itu meninggal melainkan dia sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT.” (Hadis Riwayat Muslim).

Baginda juga menyebut yang bermaksud: “Allah SWT sentiasa memerhatikan prasangka seorang hamba terhadap segala kurniaan-Nya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penjelasan daripada Allah SWT sudah cukup untuk kita fahami segala ketentuan Allah SWT dan betapa bahaya mereka yang bersangka buruk terhadap-Nya.

Sehubungan itu, Rasulullah SAW .bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang redha dengan musibah itu maka baginya keredhaan Allah. Dan barang siapa yang marah (tidak redha) dengan musibah berkenaan, maka baginya kemurkaan Allah.”  (Hadis riwayat Tirmidzi) 

403. Soalan : Saya bekerja di syarikat swasta, pengurus syarikat yang saya bekerja sifatnya suka marah-marah dan maki hamun pekerja dibawahnya walau pun mereka melakukan kesilapan yang kecil. Minta pandangan ustaz adakah saya boleh membalasnya dengan maki hamun kepadanya atau saya perlu bersabar menghadapai perangai buruk beliau.?

Peribadi seorang mukmin dia tidak akan membalas kejahatan dengan kejahatan, maki hamun dengan maki hamun tetapi dia tetap bersabar dan tidak meluahkan perasaan marahnya tanpa kawalan.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

Dalam satu hadis Nabi SAW melarang seseorang yang membalas maki hamun dengan makin hamun.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Bertakwalah kepada Allah dan jangan sedikit pun memandang kecil kepada kerja kebajikan walaupun sekadar mencurahkan air dari timba ke dalam bekas orang yang meminta air dan menemui saudara dengan muka yang riang. Jauhilah melabuh-labuhkan pakaian kerana melabuhkan pakaian itu dari sifat takbur, satu sifat yang tidak disukai Allah. Andainya ada orang yang memaki dan mencaci dengan sifat yang tidak ada pada kita,maka janganlah mencacinya dengan sifat yang ada padanya, biarlah ia yang menanggung padah dan kita mendapat pahalanya dan janganlah memaki seorang yang lain. (Hadis Riwayat At Tayalisi dari Jabir bin Sulaiman).

Perlu diingat bahawa ucapan negatif yang lahir daripada mulut seseorang sebenarnya ucapan negatif tersebut akan kembali balik kepada orang yang mengucapkannya. 

Rasulullah Sallallaahu Alaihi Wasalam bersabda, yang maksudnya  :”Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaknya ia berkata yang baik atau diam.” ( Muttafaq 'alaih).

404. Soalan : Semasa Israk dan Mikraj Rasulullah SAW melihat ramai wanita di neraka, dan baginda melihat sendiri gambaran seksaan yang akan diterima oleh wanita kerana dosa-dosa besar yang mereka lakukan semasa di dunia. Bolehkan ustaz terangkan apakah yang menyebabkan wanita ramai di neraka?

Rasulullah SAW. sewaktu Israk dan Mikraj telah diberi kesempatan oleh Allah SWT melihat ke dalam neraka. Ternyata kebanyakan penghuninya terdiri daripada wanita. Mereka menerima azab dan seksa yang amat menggerunkan.

Rasulullah ketika baginda dalam Israk dan Mikraj baginda bersabda yang maksudnya "Aku menjenguk ke dalam neraka, maka kulihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, yang demikian disebabkan oleh kerana kurang taat kepada Allah dan Rasulullah dan suami mereka dan kerana banyak bertabarruj dedah aurat dan berhias-hias".

Berdasaarkan riwayat di atas jelaslah bahawa wanita ramai dalam neraka kerana :

1. Kurang taat kepada Allah dan Rasulullah.

2. Kurang taat kepada suami mereka.

3. Tabarruj dedah aurat dan berhias-hias.

Sebuah hadis yang yang diriwayatkan oleh At Tarmizi, perempuan itu aurat. Maka apabila ia keluar, mendongaklah syaitan memandang dia. Cuba kita bayangkan, bagaimana dengan keadaan seorang wanita keluar rumah dalam keadaan mendedahkan aurat, tiba-tiba berlaku kemalangan atau sebagainya menyebabkan kematian, bukankah kematian itu berlaku dalam keadaan melakukan derhaka kepada Allah SWT?

Allah SWT tunjukkan kepada nabi dalam peristiwa Israk dan Mikraj sebagai pengajaran bahawa begitu besar dosa dan begitu ngeri azab yang bakal diterima oleh wanita-wanita yang menderhaka kepada suami dan mendedahkan aurat malahan suami atau bapa mereka turut menerima tempiasnya sekali pada akhirat kelak jika mereka tidak mensihati wanita.

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : "Perempuan-perempuan yang memakai pakaian tetapi masih seperti telanjang (dedah aurat) sehingga memalingkan pandangan lelaki ajnabi atas mereka, kepala mereka seperti bonggol unta Khurasan dan tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya pun" (Hadis Riwayat Muslim). 

Malahan bagi wanita yang menutup aurat tetapi menggunakan warna-warna yang garang atau menarik perhatian lelaki ajnabi juga dilarang.

Sekarang kita melihat ada wanita yang menutup aurat tetapi masih terkinja-kinja di atas pentas, terjerit-jerit tidak sopan sebagai artis, sebahagiannya pula pakai tudung tetapi baju dan seluar yang dipakai cukup ketat hingga menampakkan susuk badan dan peha meraka. Wanita  begini tidak lebih hanya mempersenda-sendakan syariat Allah SWT kerana wanita yang ikhlas, yang benar-benar menutup aurat kerana perintah Allah SWT, dia akan menjaga pandangan, pergaulan, lisan serta adab sebagai wanita beriman, jika tidak, tidak ada bezanya mereka dengan wanita yang bukan Islam.

405. Soalan : Saya sungguh hairan kenapa wanita tahu bahawa menutup aurat adalah wajib dan seksaan di akhirat cukup berat dan azab jika tidak menutup aurat tetapi kenapa majoriti wanita Islam hari ini tidak tutup aurat malah mereka berbangga pula dengan fesion pakaian morden yang mereka pakai. Bagi yang memakai tudung pula tudung yang dipakai terlalu nipis dan masih tidak sempurna kerana aurat mereka masih terdedah kerana baju dan seluar yang di pakai terlalu ketat?

Faktor yang paling besar kenapa wanita masih tidak mahu menutup aurat adalah kerana jiwa dan imannya terlalu lemah sehinggakan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya tidak mendorong mereka untuk melaksanakan dengan rasa insaf dan takut akan seksaan-Nya di hari akhirat. Mereka juga tidak suka menuntut ilmu agama di masjid untuk menambahkan kesedaran dan kefahaman Islam hingga menyebabkan jiwa mereka kosong. Mereka lebih seronok melayan nafsu untuk berhibur dengan artis-aris pujaan mereka dan menghabiskan masa di depan television daripada mendalami ilmu agama atau mengikuti tarbiah dan tazkirah di masjid-masjid.

Suami-suami dan bapa-bapa mereka pula tidak berilmu dan tidak pula memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada isteri-isteri atau anak-anak gadis mereka akan perintah dan larangan daripada Allah SWT. Kesan daripada ini maka maka ramailah kita lihat wanita Islam tidak menutup aurat dan yang memakai tudung pula masih tidak sempurna menutup aurat seperti kehendak ajaran Islam.

Untuk mengatasi masaalah ini perlulah Jakim, Jabatan Agama, Jemaah Islam, NGO Islam, Pertubuhan Dakwah, pendakwah bebas dan alim ulama bekerjasama untuk  mengadakan kuliah-kuliah agama, kursus-kursus dakwah, kursus motivasi Islami, penyebaran risalah Islam, tazkirah khusus untuk kaum wanita di hujung minggu dan di perkasakan peranan dan tanggungjawab suami dan bapa untuk mendidik orang-orang dibawah tanggungan mereka terutama isteri dan anak-anak mereka.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML