Monday, December 30, 2013

ANAK SOLEH III

Berbakti Kepada Ibu Mendapat Balasan Syurga.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Nabi Musa a.s. ingin benar mengetahui siapakah yang akan menjadi temannya di syurga. Setelah diwahyukan oleh Allah mengenai sifat-sifat lelaki itu, Nabi Musa a.s. terus mencarinya.

Lelaki itu seorang penjual daging dipasar. Setelah menemui lelaki itu, Nabi Musa a.s. menyatakan hasratnya untuk menjadi tetamu lelaki itu beberapa hari. Lelaki itu bersetuju memerimanya.

Sebenarnya, Nabi Musa a.s. mahu melihat apakah amalan yang menyebabkan lelaki itu menjadi temannya di syurga kelak, Nabi Musa a.s. tetap merahsiakan tujuannya.

Setelah Nabi Musa a.s. memasuki rumah lelaki itu, baginda serta merta dihidangkan dengan sup daging. Sewaktu baginda menikmati sup, lelaki itu masuk kebilik dan keluar mendukung seorang wanita yang sangat tua lalu meletakkan diatas tilam. Lelaki itu menyuapkan sup daging kemulut wanita tua itu hingga kenyang. Selepas makan, lelaki itu menukar pakaian wanita tua tadi yang kotor terkena sup. Dia membasuh pakaian itu di sebuah telaga berhampitan rumahnya.

Agak lama barulah lelaki tadi menemui Nabi Musa a.s.yang sedang memerhatikan perbuatannya. Nabi Musa a.s. bertanya :
"Siapakah perempuan tua itu?"

Lelaki itu menjawab dengan suara sayu, "Itulah ibu saya. Dia sekarang ini sudah terlalu tua.Tidak berdaya lagi menguruskan dirinya, sebab itu saya membuat segala-galanya. Maafkan saya kerana tidak melayan saudara makan sebentar tadi."

Nabi Musa a.s. merasa terharu mendengar kata-kata lelaki itu, hatinya berbisik, 'Alangkah besar bakti dan kasih sayang lelaki itu kepada ibunya. Patutlah Allah telah menyediakan baginya Syurga di akhirat kelak.'

Kemudian Nabi Musa a.s. menghampiri lelaki itu dan menerangkan tujuan sebenar baginda ingin menjadi tetamu hari ini, "Saya ingin sangat melihat apakah amalan yang menyebabkan Allah s.w.t. menjadikan saudara teman saya di Syurga kelak."

Sebaik mendengar penjelasan baginda, lelaki itu terus sujud syukur dan terus berazam akan meningkatkan keimanannya kepada Allah serta berbakti kepada ibunya sehingga keakhir hayat.

Sahabat yang dimuliakan,
Begitulah pahala dan kebahagiaan yang di teriama oleh seorang anak yang soleh, yang mana Allah SWT. menjanjikan syurga kepada hamba-Nya yang mengasihi ibu bapa dan menabur bakti kepada mereka berdua sehingga akhir hayat.

Rasulullah SAW mengajar kita untuk mendoakan kedua ibu bapa samaada mereka masih hidup atau pun telah meninggal dunia, "Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihani diriku sewaktu aku kecil dahulu. Amin yarabbal 'alamin."

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML